SPORTS

BUKIT FRASER 'QUEEN STAGE' LTDL 2025

27/02/2025 05:16 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Pusat peranginan Bukit Fraser dinamakan ‘Queen Stage’ bagi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Sept hingga 5 Okt ini, menggantikan pendakian ke Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Seramai 132 pelumba daripada 22 pasukan dijangka menyertai saingan lapan peringkat yang melibatkan jarak keseluruhan 1,257.8 kilometer (km).

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, yang melancarkan edisi ke-29 LTdL hari ini, berkata perlumbaan kali ini akan merentasi kesemua 12 negeri di Semenanjung Malaysia.

Padang Besar di Perlis serta Tangkak dan Medini di Johor bakal mencipta sejarah sebagai venue baharu dalam siri jelajah ini.

LTdL 2025 akan bermula dengan peringkat pertama sejauh 96.5km di Pulau Langkawi, diikuti laluan Padang Besar-Kepala Batas (170.1km), laluan sukar merentasi Banjaran Titiwangsa dari Gerik ke Pasir Puteh (198.2km), peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km) serta pendakian mencabar dari Temerloh ke Bukit Fraser (133.7km).

Jelajah diteruskan dari Shah Alam ke Port Dickson (123.4km), diikuti peringkat terpanjang dari Melaka ke Medini sejauh 214.6km sebelum berakhir di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, dengan perlumbaan sejauh 180.5km bermula dari Tangkak.

“Urus setia telah memilih laluan ini dengan penuh penelitian untuk memastikan perlumbaan dapat merangkumi kesemua negeri. Tahun lalu, kami membawa perlumbaan ke Sarawak, tetapi kosnya tinggi. Jika ada bajet mencukupi, kami mahu menjelajah seluruh Malaysia, namun buat masa ini, laluan ini adalah yang paling optimum,” kata Hannah kepada pemberita.

Beliau turut menyeru lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pihak lain supaya tampil memberi sokongan kepada LTdL.

Hannah juga memaklumkan pihaknya akan mengumumkan bagaimana LTdL 2025 akan menyokong Kepengerusian ASEAN tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata walaupun pendakian kali ini tidak melibatkan Genting Highlands dan Cameron Highlands, Bukit Fraser tetap menawarkan cabaran sengit kepada pelumba.

“Laluan dari Bentong melibatkan pendakian sejauh 27km untuk mencapai puncak pada ketinggian 1,221 meter. Saya telah berbincang dengan komisar Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), dan walaupun elevasi tidak mencukupi untuk diklasifikasikan sebagai Hors Class, tahap kesukarannya masih cukup tinggi untuk kategori tersebut,” katanya.

Mengenai laluan Gerik-Pasir Puteh yang sering dikaitkan dengan kehadiran haiwan liar, terutamanya gajah, Emir berkata pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa khas bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy