P
erasaan bimbang dan sedih jelas terpancar di wajah lelaki yang menjadi penunjuk jejak untuk saya meninjau kawasan bukit dan sungai berhampiran kampungnya.
Dengan sebilah parang yang digelar “isterinya” terselit di pinggang, dia melemparkan pandangan ke arah bukit berdekatan kampungnya, Kampung Orang Asli Sungai Tonggang yang terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Kinta, Perak. Gambar yang dirakam satelit Google Earth pada 16 Februari 2024 menunjukkan kawasan itu penuh dengan pokok dan tumbuhan.
Kini, bahagian atas bukit itu sudah gondol, ditarah menjadi lereng, mendedahkan tanah berwarna kuning. Di kaki bukit itulah terdapat Sungai Semat yang tampak lebih sebagai anak sungai. Lebarnya sekitar satu meter dan mengalir terus ke Sungai Kinta, salah satu sungai utama di Perak. Pada waktu tengah hari bulan Jun itu, jelas kelihatan kawasan tebingnya tiada tumbuhan, kecuali sedikit belukar.
Penduduk kampung berkenaan terdiri daripada suku kaum Temiar dan sesama mereka berkata, kerajaan negeri membuka kawasan itu untuk petani bebas atau pekebun kecil untuk menanam pokok durian.
Penunjuk jejak, Long “Rambo” Kamaruddin, 64, di Kayuh d'Tonggang di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang. Beliau memberitahu Bernama, dengan ketiadaan zon penampan sungai, sudah terdapat tanda-tanda Sungai Semat yang berdekatan akan “tercemar” semula. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
Semua cakap-cakap itu tidaklah merungsingkan penunjuk jejak, Long “Rambo” Kamaruddin, 64, berbanding kebimbangannya melihat bukit yang gondol dan keadaan tebing sungai. Dia memberitahu Bernama, dengan ketiadaan zon penampan sungai, sudah terdapat tanda-tanda sungai itu akan “tercemar” semula.
“Hari itu ada sedikit hujan dan air sungai menjadi keruh. Hujan sekejap itu hari, air dah keruh dah. Macam air susu tak cukup teh. Tapi ini susu terus, takde teh. Itu belum hujan lebat lagi, tau, ” katanya, tangannya memegang secawan teh susu.
Meskipun Sungai Semat tidaklah mengancam teruk Sungai Seno’oi, sungai utama yang menjadi nadi utama masyarakat Orang Asli di Kampung Tonggang, Long tidak suka melihat kesan akibat kawasan hutan yang ditebang. Sungai yang seakan “air susu” bermakna sekali lagi ikan dan serangga akan pupus, seperti apa yang berlaku lebih dua dekad lalu, apabila kegiatan pembalakan dijalankan di kawasan hulu sungai kampung itu.
Long betah hidup di hutan daripada di dalam rumah dan dia langsung tidak mempunyai telefon bimbit. Apa yang berlaku seolah-olah kehidupannya terperangkap antara hutan dan sungai.
“Kami tebang untuk ladang kan, jauh dari tepi sungai. Nak tanam ubi ke, nak tanam apa, kami tak tebang tepi sungai,” katanya.
Namun, dalam pertarungan antara mata pencarian dan alam sekitar, wang dan kuasanya, selalu akan menang. Ada juga Orang Asli yang terlibat dalam penebangan pokok di atas bukit. Buat kerja itu, mereka boleh dapat sekitar RM3,000 yang mungkin dua kali ganda lagi banyak daripada buat kerja di tempat lain.
“Apa nak buat? Nak cari makan,” katanya, sambil mengeluh.
SUNGAI SATU KEHIDUPAN
Selain menjadi sumber air minuman, sungai mempunyai makna yang besar untuk penduduk negeri Perak. Sumber alam semula jadi ini memainkan peranan penting dalam sejarah dan budaya di negeri itu.
Di sungailah Residen British yang pertama, sebelum British menjajah negeri-negeri Melayu, menemui ajalnya. Untuk Istiadat Bersiram Tabal Sultan Perak, air diambil daripada tujuh kuala sekitar Sungai Perak.
Pada masa ini, sungai-sungai di Perak adalah antara yang paling bersih di negara ini. Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak melaporkan pada 2 April 2024, sebanyak 56 daripada 68 sungai di Perak diklasifikasikan sama ada Kelas Satu, yang bermakna sungai-sungai itu memerlukan sedikit rawatan air dan menyokong spesies hidupan marin paling sensitif seperi ikan kelah, atau Kelas Dua, yang memerlukan rawatan air konvensional, untuk menyokong kehidupan spesies marin lain dan sesuai untuk kegiatan rekreasi.
Sungai Seno'oi, sungai utama yang mengalir melalui Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, merupakan sebahagian daripada kawasan perlindungan alam semula jadi dan tarikan Kayuh d'Tonggang. Pembukaan hutan berdekatan untuk aktiviti pertanian menimbulkan kebimbangan di kalangan sesetengah penduduk kampung, yang khuatir ia akan mencemari Sungai Semat, yang seterusnya mungkin memberi kesan kepada Sungai Seno'oi. --NINA MUSLIM/BERNAMA
Para pakar bersetuju bahawa kebanyakan sungai di Perak, yang di sebelah timurnya terdapat Banjaran Titiwangsa, secara relatifnya berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun, mereka mengingatkan bahawa sesetengah tindakan melibatkan sungai-sungai di Perak, seperti kegiatan menebang hutan tanpa kawalan serta kegiatan menceroboh zon penampan sungai, mungkin menjadikan keadaan lebih buruk untuk masyarakat setempat, ekosistem, alam sekitar serta ekonomi.
“Secara perlahan-lahan, tetapi kesudahannya, kualiti air akan menurun. Kedua-dua kualiti dan kuantiti,” kata Prof (bersara) Maketab Mohamed, sebelum ini berkhidmat dengan Universiti Teknologi Malaysia.
Pakar kualiti air itu memberitahu Bernama, ini kerana zon penampan mempunyai beberapa fungsi dalam mengekalkan kesihatan dan kebersihan sungai, seperti mengawal larian air tanah, dengan memperlahankannya, dengan demikian menyekat berlakunya hakisan tanah. Ia juga menapis pencemar daripada larian air tanah sebelum air masuk ke dalam sungai.
Beliau menambah, satu lagi fungsi zon penampan sungai ialah ia menyediakan habitat mini untuk hidupan liar, “dari serangga kepada burung kepada mamalia.”
Di sebalik kepentingan itu, pencerobohan ke atas zon penampan sungai sering kali menjadi aspek yang ‘terlepas pandang’ dalam mengekalkan kebersihan sungai. Kurang terdapat beberapa undang-undang yang menangani isu zon penampan sungai di Malaysia. Sebagai contoh, Akta Air 1920 yang digubal lebih 100 tahun lalu, ada menyebut tebing sungai tetapi bukan zon penampan, secara khusus. Hukuman untuk menceroboh tebing sungai antara RM500 hingga RM1,000, bergantung kepada bentuk kesalahan.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang terletak di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), mempunyai garis panduan berapa luas sepatutnya zon penampan. Seperti garis panduan, keluasan zon penampan seharusnya kira-kira lebar sungai di kedua-dua bahagian, kepada lebar maksimum 50 meter.
Bagaimanapun, JPS mempunyai kurang kuasa penguatkuasaan, kerana tebing sungai, dianggap berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Tahun lepas, Persidangan Dewan Negeri Perak meluluskan Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) 2023, yang memberikan kuasa kepada kerajaan negeri memperuntukkan tanah bagi zon penampan sungai serta mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah, sehingga kepada sebanyak RM300,000 dan/atau tidak lebih daripada lima tahun penjara. Kesalahan termasuk tidak mengambil sebarang tindakan untuk mencegah larian air tanah, endapan atau pencemar, daripada memasuki sungai.
Pemandangan Sungai Kinta yang dipenuhi dengan sampah sarap berdekatan kawasan Kampung Permatang Pelandok ketika tinjauan fotoBernama di Kampung Gajah. Di bahagian hilir sungai di mana Sungai Kinta bertemu dengan Sungai Perak di Kampung Bandar, terdapat beberapa buah kebun kecil kelapa sawit di sepanjang sungai tanpa mengendahkan zon penampan sungai. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
MATA PENCARIAN, KESIHATAN SUNGAI
Di bahagian hilir sungai di mana Sungai Kinta bertemu dengan Sungai Perak di Kampung Bandar, terdapat beberapa buah kebun kecil kelapa sawit di sepanjang sungai. Bernama menaiki bot untuk menelusuri sepanjang sungai, meninjau kegiatan pertanian, kebanyakannya di bahagian timur Sungai Kinta.
Kebanyakan pekebun kecil menanam kelapa sawit, ada yang sehingga di tebing sungai. Terdapat beberapa batang pokok kelapa sawit yang tumbang ke dalam sungai, akibat hakisan sungai. Ada juga yang hampir-hampir hendak tumbang.
Meskipun kedua bahagian tebing sungai dipenuhi kehijauan, anggota Kumpulan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Ahmad Nizar Kamaruddin berkata, hanya satu tebing mempunyai kehijauan yang betul.
“Zon penampan ni, kita dah teroka. Pokok-pokok kita tebang dan kita tanam pokok sawit ke apa ke pokok, jadi bukan pokok asal. Ni tanah dah tak selamat, kawasan tu dah tak selamat. Itu punca rebak atau runtuh tu,” katanya.
Beliau menambah, syarikat perladangan besar jarang menceroboh zon penampan sungai kerana mereka mempunyai sumber untuk menampung kerugian tanah seluas sekitar 50 meter sepanjang sungai. Bagaimanapun, petani dan pekebun kecil tidak mempunyai kemampuan itu, dan itu sebabnya mereka akan menggunakan setiap inci tanah yang boleh, untuk memaksimumkan keuntungan.
Ahli Kumpulan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Ahmad Nizar Kamaruddin bercakap pada Bernama ketika menelusuri tebing sungai yang terjejas berikutan aktiviti penanaman pokok kelapa sawit di sekitar ketika tinjauan fotoBernama di Sungai Kinta berdekatan kawasan Kampung Permatang Pelandok di Kampung Gajah.
Setakat ini, tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas petani-petani itu.
Alasan utamanya kerana tidak adil untuk pekebun kecil dan petani perseorangan yang akan teruk terjejas mata pencarian mereka sekiranya kerajaan berkehendakkan mereka mencabut pokok, yang kebanyakannya masih berbuah. Mereka juga perlu membayar untuk kawasan zon penampan ditanam dengan tumbuhan yang sering terdapat di tebing sungai.
Satu perkara lagi, tiada peruntukan bagi membayar pampasan kepada pekebun kecil untuk menyerahkan sebahagian tanah mereka untuk mewujudkan zon penampan sungai, demikian menurut Adzmi Hassan, Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH).
“Jika kerajaan hendak mengambil alih tanah itu hanya untuk mewujudkan zon penampan, sebetulnya tidak perlu membayar pampasan. Tetapi untuk pekebun kecil, apa pun yang mereka fikir tentang perkara itu, mereka perlu diberi pampasan.”
Menurut laporan Institut Yusof Ishak ISEAS 2020, pendapatan bulanan kebanyakan pekebun kecil adalah sebanyak kira-kira RM1,600 iaitu di bawah garisan kemiskinan Malaysia.
Exco kerajaan negeri Perak Teh Kok Lim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau memberitahu Bernama, petani-petani perseorangan sudah sekian lama menceroboh tanah simpanan sungai.
“Sebelum ini, pencerobohan mereka tidak menimbulkan isu. Tetapi kemudian ia menjadi besar. Proses penguatkuasaan mungkin mengambil sedikit masa. Kadang-kadang mereka mungkin memohon sedikit masa sehingga habis menuai hasil,” katanya menerusi Zoom.
“Ada kalanya sebagai kerajaan, sekiranya tanah itu tidak perlu digunakan secara mendesak, kita mungkin .. bukan untuk menyatakan kita akan menimbang, kerana jika kita kata begitu, orang akan teruskan kegiatan haram. Ia bergantung sama ada mendesak atau tidak, ok? Tapi kita cubalah,” tambah Teh.
Pokok kelapa sawit menjadi matang selepas tiga tahun ditanam dan menghasilkan buah, setiap dua minggu, sehingga 30 tahun.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH) Adzmi Hassan ketika sesi temu bual bersama Bernama mengenai pensijilan minyak sawit Malaysia baru-baru ini. Adzmi berkata, negara lain cenderung untuk mengikut undang-undang EU, bagi mengelakkan daripada tindakan tidak dapat memasuki pasaran EU. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA
MENANGANI MASALAH
Sama ada mata pencarian atau tidak, pekebun kecil mungkin tidak mempunyai pilihan, tidak lama lagi. Sejak Jun 2023, Kesatuan Eropah (EU) mengharamkan minyak sawit dan derivatif, sekiranya ada kaitan dengan penebangan hutan selepas tahun 2019.
Adzmi dari NASH berkata, negara lain cenderung untuk mengikut langkah itu, bagi mengelakkan daripada tindakan tidak dapat memasuki pasaran EU.
Pada masa ini, pensijilan minyak sawit Malaysia tidak menghukum pekebun kecil kerana tidak memenuhi peraturan zon penampan sungai. Bagaimanapun, perkara itu adalah antara keperluan alam sekitar untuk mendapat pensijilan.
Wan Muqtadir Wan Abdul Fatah, Ketua Sustainability at British Standards Institution (BSI) Malaysia memberitahu Bernama melalui emel, pencerobohan bukan suatu selalunya menjadi perkara utama untuk pensijilan memandangkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) bertujuan membantu pekebun kecil dalam tempoh peralihan kepada amalan mampan.
“Kadang-kadang ia melibatkan pemberian masa dan sumber untuk memenuhi peraturan alam sekitar,” katanya.
Beliau menamnbah, lebih banyak latihan dan penerangan diperlukan untuk membantu pekebun-pekebun kecil memahami kepentingan amalan mampan.
Sebuah tapak semaian yang diuruskan oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA). Ahli-ahlinya menanam pokok-pokok dan tumbuhan renek tempatan untuk mengukuhkan tebing sungai dan menutup kawasan yang terjejas akibat penebangan hutan. --NINA MUSLIM/BERNAMA
Berita baiknya ialah bukan sukar untuk membaiki zon penampan. Perkara penting adalah untuk menanam pokok dan pokok renek yang akarnya boleh menggenggam kuat tanah.
Banyak pertubuhan bukan kerajaan mempunyai tapak semaian yang menanam pokok semula jadi tepi sungai serta pokok lain, yang dapat membantu memulihkan zon penampan. Dan masa masih ada untuk berbuat demikian.
Masih segar dalam ingatan Long ketika kegiatan membalak dihentikan. Keadaan sungai menjadi pulih tidak lama selepas itu, dan kebanyakan ikan dan serangga kembali membiak.
“Satu tahun, dah tak hakis dah sungai. Rumput-rumput akan naik. Dah tutup, tak kena hakislah bila kena hujan,” kata Long.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff