FOKUS BERNAMA

COP29 - Peluang Terbaik Untuk Malaysia Terus Perjuang Usaha Perangi Perubahan Iklim 

14/11/2024 10:03 AM
Daripada Soon Li Wei

Laporan terkini oleh pakar-pakar kesihatan menekankan risiko kesihatan yang semakin parah akibat perubahan iklim, ketika suhu global melonjak dan mengakibatkan gelombang haba yang boleh membawa maut.

Ia turut memburukkan sekuriti bekalan makanan di samping memudahkan penyakit berjangkit merebak.

Laporan Lancet Countdown 2024, analisis tahunan berpangkalan di United Kingdom (UK) mengenai impak iklim yang disiarkan pada 30 Oktober lepas mendapati, kematian dalam kalangan orang berusia melebihi 65 tahun akibat terdedah kepada haba meningkat 167 peratus berbanding pada tahun 1990-an, dikaitkan dengan pembakaran bahan api fosil.

Laporan berkenaan juga menyebut bahawa pada tahun 2023 - tahun paling panas menurut rekod - manusia biasa mengalami tambahan 50 hari suhu berbahaya, yang mereka mungkin tidak alami tanpa perubahan iklim. Namun di sebalik banyak bukti yang menunjukkan bagaimana dunia semakin panas membawa risiko kepada kehidupan manusia, dunia terus membakar bahan api fosil dan tahun 2023 mencatat rekod tinggi pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Di tengah-tengah kemelut senario ini, sudah tentunya sidang kemuncak pemimpin dunia - Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29) di Baku, Azerbaijan, bermula Isnin (11 November) hingga 22 November, akan menjadi perhatian banyak pihak.

COP29 di Baku menghimpunkan sekitar 50,000 orang pegawai kerajaan, para pembuat dasar, pelabur serta pembuat kempen. COP kali ini digelar 'Climate Finance COP' kerana sasaran utamanya iaitu mencapai persetujuan untuk pembiayaan tahunan bagi membantu negara-negara sedang membangun menangani kos berkait iklim.

Negara sedang membangun, termasuk Malaysia, yang dilanda teruk bencana iklim, menuntut negara-negara maju agar memenuhi ikrar mereka untuk menyekat pelepasan GHG dan membiayai projek adaptasi iklim.

 

FOKUS MALAYSIA PADA COP29

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), delegasi Malaysia terdiri daripada 250 anggota termasuk pembuat dasar, agensi kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),  perniagaan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan perwakilan belia. Delegasi ini akan diketua Menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad. 

(Nik Nazmi dijadual berlepas ke Baku pada 18 November, berserta 13 perwakilan lain dan dijangka pulang ke Malaysia pada 24 November)

pic-3

Malaysia dijangka memberi tumpuan kepada pembiayaan iklim dan menarik perhatian persidangan kepada ikrar-ikrar yang dibuat negara maju kepada negara sedang membangun, yang belum dipenuhi.

Malaysia yang akan menyandang kerusi ASEAN tahun depan (2025) dijangka membuat gesaan agar ditingkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota di samping menyeru tindakan yang lebih tegas untuk pembangunan mampan serta ekuiti sosial. Ianya selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN untuk melonjakkan kemajuan rantau berkenaan ke arah mencapai sasaran sifar bersih. 

Di COP29 Baku, Malaysia mendirikan sebuah Pavilion yang menampilkan tujuh bidang utama, iaitu Kewangan dan Ekonomi, Perdagangan dan Perindustrian, Sumber Asli, Tenaga, Teknologi dan Inovasi, Pembangunan Mampan di samping Belia dan Adaptasi. 

Pavilion ini diletakkan di bawah NRES dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

Mengulas mengenai peranan Malaysia di COP29, sekutu penyelidik kanan Asia School of Business, Ganesha Pillai mencadangkan agar negara ini menggunakan peluang untuk mewakili ASEAN sebagai sebuah blok, sama seperti Kesatuan Eropah (EU), terutamanya kerana ia akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

"Kita semakin hampir untuk muncul sebagai sebuah blok yang bersatu di sebalik perbezaan yang ada … ASEAN adalah sebuah rantau yang penuh kepelbagaian dengan negara seperti Singapura yang sudah mencapai pembangunan tinggi - setanding Switzerland dalam lingkungan EU— atau bertindak sebagai hab kewangan ASEAN.

pic-4

"Dengan kelebihan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun depan, ia bukan sahaja mewakili ASEAN tetapi juga akan mengetuai blok bersatu. Ini memberi peluang untuk mempengaruhi lebih banyak negara kerana Malaysia sudah memegang kuasa 10 buah negara, dengan potensi keanggotaan ASEAN akan terus bertambah.

"Jadi, sekiranya Malaysia membawa suara ASEAN ke COP29, ini mungkin boleh menggalakkan negara lain melakukan perkara yang sama, terutama dalam isu mendapatkan dana iklim daripada negara-negara maju untuk menyokong negara-negara yang berada dalam ‘kedudukan lemah’, " beliau memberitahu Bernama.

Menurut beliau, sebelum mengetuai ASEAN sebagai sebuah blok di mesyuarat antarabangsa, penting untuk memahami isu-isu unik setiap negara anggota, terutamanya perbezaan dalam konteks ekonomi, sosial dan politik.

"Jika anda mempunyai blok sembilan atau 10 buah negara anggota, adalah lebih mudah menyokong atau menentang sebarang keputusan yang dibuat, dengan demikian meningkatkan pengaruh anda.

"Bagaimanapun, anda perlu timbangkan semua faktor yang memberi kesan kepada pembangunan setiap negara. Perubahan iklim adalah satu isu kritikal, dan memohon dana iklim adalah lebih mudah dalam blok yang bersatu. Pembiayaan ini bukan datang secara langsung tetapi memberi keutamaan kepada negara paling terjejas dalam ASEAN," katanya.

 

PEMBIAYAAN IKLIM, DANA KERUGIAN DAN KEROSAKAN 

Di samping Dana Iklim, satu lagi fokus utama di COP29 Baku ialah Dana Kerugian dan Kemusnahan (L&D) yang akan terus mendapat sokongan serta ikrar daripada negara-negara maju untuk membantu negara-negara sedang membangun.

Dana L&D yang dibentuk di COP27 di Mesir pada tahun 2022 sekian lama menjadi tuntutan negara-negara sedang membangun yang perlu menangani kos kemusnahan akibat bencana teruk berkaitan iklim seperti kemarau, banjir dan peningkatan paras laut.

pic-2

Di bawah dana ini, bantuan akan dihantar ke negara-negara sedang membangun yang paling teruk terkesan dengan bencana akibat perubahan iklim melampau. Dana ini diisytihar beroperasi pada hari pertama berlangsungnya COP28 di Dubai tahun lepas (2023), dengan ikrar oleh kerajaan negara maju berjumlah hampir AS$700 juta. Ianya untuk membantu negara-negara sedang membangun pulih daripada impak bencana alam berkait perubahan iklim dan membina ketahanan menangkis impak baharu termasuk peningkatan paras laut.

Sehingga 11 November lepas, Sweden mengikrarkan sebanyak 200 juta krone (AS$18.4 juta) untuk Dana Iklim.  Menurut data Natural Resources Defence Council (NRDC), komitmen baharu tahun ini dan di sidang kemuncak COP29 setakat ini kurang daripada AS$50 million. 

Menurut Pakar Roster UNFCCC Chong Yen Mee, di samping pembiayaan iklim, Dana L&D adalah satu lagi mekanisme yang perlu digunakan oleh negara-negara sedang membangun untuk  menangani perubahan iklim sewaktu rundingan COP29. 

Beliau berkata, negara-negara sedang membangun yang miskin menghadapi cabaran dalam pengurusan serta pemulihan daripada bencana iklim, termasuk kerugian ketara, seperti kerosakan kepada infrstruktur dan hartanah dan kerugian tidak ketara, seperti komuniti yang kehilangan tempat tinggal.

Sambil berharap Malaysia akan layak untuk menerima bantuan daripada Dana L&D sebagai sebahagian daripada negara-negara sedang membangun seawal tahun 2025, Chong yang juga penganalis perubahan iklim Malaysia berkata, negara ini perlu melakukan lebih banyak lagi kerja-kerja mitigasi dan adaptasi, terutama dalam kejadian bencana alam, jika mendapat sokongan pembiayaan.

"Mengenai pembinaan kapasiti, sokongan untuk pembangunan teknologi dijangka lebih berkesan berbanding pindahan solusi dari negara-negara lain. 

"Dalam hal ini, sudah tentunya dialu-alukan untuk negara-negara maju membantu meningkatkan kemampuan negara penerima untuk menilai keperluan teknologi berkait iklim, mengenal pasti teknologi yang sesuai bagi membantu memenuhi keperluan atau adaptasi teknologi untuk keperluan serta keadaan masyarakat setempat," katanya.

Penasihat Perwakilan Belia Malaysia (MYD), Farhana Shukor berkata, Malaysia mengalami impak fenomena El Nino dan La Nina tahun ini dan kelihatan jurang dalam persediaan serta respons yang mana dana L&D perlu diintegrasikan ke dalam dasar iklim. 

"Pertama sekali perlu maklum apa dia L&D, kenal pasti impak perubahan iklim yang tidak dimitigasi atau diadaptasi, juga tiada tindakan menangani perubahan iklim yang menjejaskan kehidupan lebih ramai orang, setiap hari dan keadaan yang lebih teruk.

"Oleh yang demikian, dana untuk L&D perlu ditimbangkan apabila berbincang tentang dana iklim yang ditekankan di COP29, yang dijangka ada kesannya ke atas collective quantified goal (NCQG) yang baharu mengenai dana iklim, yang akan menentukan aliran bantuan di peringkat global.

"Negara-negara sedang membangun mahukan L&D dimasukkan dalam NCQG, kerana penyertaan tiga tonggak tindakan iklim iaitu mitigasi, adaptasi dan L&D, akan membolehkan perancangan yang sesuai serta ukuran tindakan iklim," katanya kepada Bernama.    

NCQG adalah matlamat dana iklim global baharu yang dicapai di COP Paris 2015.

 

SUARA  ANAK MUDA

Sementara itu, MYD Co-Focal Point Kieran Li Nair berkata, pembabitan golongan belia dalam COP29 adalah penting untuk mewakili suara serta masa depan komuniti ‘yang mudah terjejas’, bertindak sebagai pemantau usaha negeri menangani krisis iklim, di samping kapasiti pembinaan.

Kieran pada masa ini mewakili MYD di COP29 in Baku, berserta dengan rakan sejawatannya - Khalisah Khairina sebagai Penyelaras Kumpulan Kerja Mitigasi dan Hanis Alwani sebagai Penyelaras Kumpulan Kerja Media, bagi mengangkat suara anak muda Malaysia di platform antarabangsa.

pic-5

Menurut beliau, rundingan di COP29 sama pentingnya dengan apa yang berlaku di peringkat kebangsaan dan MYD berharap hasil yang dicapai akan mencerminkan kembali tindakan iklim Malaysia dalam cara yang sama.

"Agenda rundingan utama MYD ialah menjejak rundingan COP29 termasuk NCQG, Artikel 6, Mitigasi (Program Kerja Mitigasi), Adaptasi (Matlamat Global mengenai Adaptasi dan Pelan Adaptasi Nasional), L&D, di samping TIndakan untuk Pemerkasaan Iklim (ACE).

(Artikel 6 Perjanjian Paris antaranya memudah cara kolaborasi antarabangsa untuk menurunkan pelepasan karbon. Ia menawarkan dua laluan untuk negara-negara dan syarikat memperdagangkan ‘carbon offset’, menyokong pencapaian sasaran pengurangan pelepasan GHG, yang ada dalam pelan tindakan iklim mereka.)

"Antara harapan MYD untuk hasil COP29 termasuk sasaran dana iklim yang sama rata yang berpusat kepada keperluan komuniti yang paling mudah terjejas dengan perubahan iklim di samping mendokong dasar biasa tetapi tanggungjawab yang berbeza dalam memastikan komitmen serta kebertanggungjawapan dari negara-negara maju sebagai asas penyumbang.

MYD diasaskan pada tahun 2015 untuk mewakili pergerakan iklim belia Malaysia serta meningkatkan kesedaran mengenai dasar iklim kepada orang ramai. Ia juga memainkan peranan aktif dalam menyokong delegasi belia Malaysia sebagai perwakilan.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan