Tunai Haji Tanpa Mata: Jemaah Buta Hadapi Cabaran Dengan Bimbingan Petugas TH

B
agi umat Islam, menyaksikan Kaabah buat kali pertama ketika menunaikan Rukun Islam kelima pastinya menjadi detik paling bermakna dan tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

Namun bagi golongan kurang upaya penglihatan, pengalaman tersebut hadir dalam bentuk yang berbeza. Mereka tidak melihat dengan mata, sebaliknya “melihat” dengan hati, merasai kehadiran Allah SWT melalui doa yang dipanjatkan tanpa henti sepanjang menunaikan ibadah haji.

Meskipun berdepan pelbagai kekangan dan cabaran, golongan ini membuktikan bahawa kekangan penglihatan bukan penghalang untuk menyempurnakan ibadah itu.

Perjalanan mereka menuju ke Tanah Suci bukan mudah kerana setiap langkah dipenuhi ujian dan menuntut kesabaran serta keimanan yang tinggi.

Namun dengan sokongan keluarga, rakan-rakan jemaah serta bimbingan daripada Lembaga Tabung Haji (TH), impian yang suatu ketika dianggap mustahil dapat direalisasikan.

 

UJIAN AWAL

Bagi Siti Aidah Mustafa, 55, tawaran menunaikan ibadah haji oleh TH untuk musim 2023 lalu adalah pelengkap kehidupannya dan suami, Muhammad Bukhari Zakaria, 67, sebagai umat Islam.

“Sebenarnya, suami yang dapat panggilan haji tetapi tidak disangka, pintu untuk saya jejakkan kaki di Tanah Suci turut terbuka,” kongsinya dengan Bernama.

Bagi umat Islam, menyaksikan Kaabah buat kali pertama ketika menunaikan Rukun Islam kelima, pastinya menjadi detik paling bermakna.

Menurut wanita itu, suaminya menerima surat tawaran daripada TH pada Oktober 2022, dan disebabkan oleh ketiadaan pengetahuan mendalam akan prosedur dan persiapan untuk mengerjakan ibadah tersebut, mereka ke pejabat TH di KL Sentral di sini.

“Di peringkat awal, kami berdepan ujian kerana simpanan suami di Tabung Haji tidak mencukupi. Perlu ada deposit sebanyak RM12,000 untuk melayakkannya menerima tawaran itu,” kongsinya.

Demi merealisasikan hasrat suaminya menunaikan ibadah haji, Siti Aidah yang pernah bekerja sebagai operator pusat khidmat pelanggan, mengambil keputusan menggunakan sebahagian daripada simpanannya untuk dijadikan tambahan kepada deposit suaminya yang sebelum ini bertugas di Telekom Melaka.

“Selama beberapa minggu, kami beberapa kali berulang-alik dari rumah di Loke Yew (di sini) ke KL Sentral dengan menaiki Grab untuk menguruskan dokumentasi. Ketika itu, suami hanya mempunyai kira-kira RM7,000 dalam akaun Tabung Haji, manakala simpanan saya pula sekitar RM20,000.

“Apabila pegawai kaunter memaklumkan jumlah simpanan suami tidak mencukupi, saya terus memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji saya ke akaunnya. Ketika itu juga pihak Tabung Haji membuka permohonan pengiring untuk suami dan saya mengambil peluang tersebut,” katanya.

Menurut Siti Aidah, dia hilang penglihatan sejak lahir, manakala suaminya pula kehilangan penglihatan sepenuhnya kira-kira dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis.

Siti Aidah Mustafa dan suami, OKU penglihatan yang berpeluang menunaikan ibadah haji.

Namun, keterbatasan itu tidak menjadi penghalang untuk mereka mengerjakan haji bersama-sama.

“Apabila menerima tawaran menunaikan haji, kami berdua sering memikirkan soal perbelanjaan kerana pada waktu itu kos haji untuk seorang sekitar RM24,000. Perasaan bimbang dan risau sentiasa bermain di fikiran kami.

“Walaupun tiga anak tiri saya daripada perkahwinan pertama suami menyatakan kesediaan untuk membantu, kami mahu guna duit poket dan usaha sendiri untuk menunaikan haji. Pada waktu itu, suami juga sedang dalam proses menjual rumah lamanya di Melaka, dan tidak sangka sebulan sebelum kami berangkat ke Tanah Suci, rumah tersebut berjaya dijual. Separuh daripada hasil jualan rumah digunakan untuk menampung kos haji kami,” kata Siti Aidah.

 

TONGKAT JADI “MATA KEDUA”

Bercerita pengalaman menunaikan ibadah haji di Makkah, Siti Aidah berkata biarpun bergantung sepenuhnya pada tongkat, dia tidak berdepan dengan kesukaran dalam melaksanakan semua rukun  haji kerana tongkat itu menjadi “mata keduanya”.

“Itu kali pertama saya menjejakkan kaki di Tanah Haram…suami pula pernah menunaikan umrah pada 2019. Namun, di sebalik sebegitu ramai jemaah, saya dapat menempuh kekangan itu. Dari tempat penginapan kami di Maktab Tabung Haji ke Kaabah (Masjidil Haram), saya dan suami perlu berjalan lebih kurang sejauh 750 meter.

“Waktu itu suami masih boleh melihat walaupun tidak sepenuhnya dan dia berusaha menggunakan keupayaan mata  untuk berjalan… Meskipun tidak dapat melihat Kaabah, hati saya dipenuhi rasa syukur yang amat mendalam kerana akhirnya impian untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci menjadi kenyataan,” tambah Siti Aidah.

Petugas TH sentiasa bersedia membantu jemaah OKU mengerjakan ibadah.

Di Malaysia, pengurusan perjalanan haji diuruskan oleh TH yang menyusun jadual ketibaan dan kepulangan agar setiap jemaah mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan diri sebelum dan selepas kemuncak ibadah itu. Secara umumnya, setiap jemaah akan berada di Tanah Suci antara 40 ke 45 hari.

“Saya dan suami berada di Tanah Haram sekitar 45 hari, dan dalam tempoh itu kami cuba menyesuaikan diri bukan sahaja dari segi perjalanan, malah cuaca dan rutin seharian,” tambahnya.

Dalam pada itu, Siti Aidah turut meluahkan rasa syukur kerana ramai pihak tampil menghulurkan bantuan sepanjang dia berada di Masjidil Haram.

Menurutnya, keprihatinan petugas TH serta rakan jemaah yang sentiasa bersedia membantunya, menguatkan semangatnya untuk beribadah.

“Ketika melaksanakan rukun-rukun haji, termasuk melontar di Jamrah, petugas Lembaga Tabung Haji sentiasa tampil membantu. Mereka bukan sahaja bantu dari segi memberi penerangan apa yang perlu kami lakukan, malah turut memberi kata-kata semangat dan meyakinkan kami bahawa kami mampu selesaikan semua rukun tersebut.

“Tidak dinafikan semua jemaah berlumba-lumba untuk membuat kebaikan… bagi saya sendiri dengan cara ini kita mampu menggandakan pahala terutamanya apabila berada di Tanah Suci,” katanya.

 

BUTA BUKAN ALASAN TOLAK HAJI

Mengambil pengalamannya sebagai contoh, Siti Aidah menyeru mereka yang senasib dengannya agar tidak menolak peluang menjejakkan kaki di Masjidil Haram, yang disifatkannya sebagai nikmat terbesar dalam hidup.

Ukhuwah yang kuat dalam kalangan jemaah apabila masing-masing saling melengkapi kekurangan diri.

Katanya golongan kurang upaya tidak seharusnya menjadikan kekurangan mereka sebagai alasan untuk berputus asa, sebaliknya mereka harus yakin bahawa setiap urusan akan dipermudahkan.

“Sebagai seorang yang hilang penglihatan sejak kecil, perasaan takut untuk berada di kawasan asing atau tempat yang kita tidak biasa itu kurang, berbanding mereka yang hilang penglihatan ketika dewasa.

“Mungkin ada yang tidak berani atau kurang mahir menggunakan tongkat di kawasan seperti ini. Bagi saya, jika berdepan masalah tersebut, mereka boleh merujuk dan mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan termasuk Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB),” katanya.

Menurutnya, selain sokongan agensi pengurusan haji, latihan mobiliti turut memainkan peranan penting dalam membantu jemaah kurang upaya penglihatan membuat persediaan ke Tanah Suci.

Siti Aidah berkata MAB menyediakan latihan khusus penggunaan tongkat buat golongan buta bagi meningkatkan keyakinan diri serta keupayaan bergerak dalam pelbagai persekitaran.

Melalui latihan tersebut, peserta diajar teknik asas seperti cara memegang tongkat dengan betul, mengesan halangan, mengenal pasti permukaan jalan serta menentukan arah berdasarkan bunyi dan sentuhan.

“Kemahiran ini amat penting, khususnya bagi jemaah OKU penglihatan yang bakal menunaikan haji atau umrah. Sekurang-kurangnya, kita lebih yakin untuk bergerak tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada orang lain,” tambahnya.

Pandangan senada turut disuarakan Ani Shahrani Jemiran, 53 yang mengakui mengerjakan ibadah haji memberikan pengalaman berbeza berbanding umrah.

Meskipun buta, Ani Shahrani dapat melakukan ibadah haji dengan sempurna.

“Saya telah menunaikan umrah pada 2019 bersama-sama keluarga sebelum ini, dan kita kena faham bahawa pelaksanaan haji dan umrah adalah berbeza. Mengerjakan umrah tempohnya singkat selain ketua mutawif yang sentiasa memberi panduan sepanjang berada di Tanah Suci.

“Manakala tempoh ibadah haji pula lebih panjang, iaitu sekitar 44 hari dan kita perlu merujuk petugas (TH) sekiranya ada kemusykilan berkaitan ibadah bagi memastikan semua rukun haji dilakukan dengan sempurna serta tertib,” katanya yang berangkat menunaikan haji dengan suami pada 2024.

 

YAKIN DIRI

Menurut Ani Shahrani yang merupakan OKU penglihatan sejak lahir, meskipun ada masa berdepan kesukaran, ujian itu dapat dilaluinya dengan tenang apabila wujud rasa yakin terhadap kemampuannya dalam melaksanakan rukun Islam itu.

Katanya dia juga bersandar pada konsep “istito'ah” (kemampuan), yang bukan hanya menuntut persediaan ilmu agama dan kewangan yang cukup, bahkan juga kemampuan dari segi fizikal.

“Walaupun telah biasa menggunakan tongkat, adakala timbul rasa gusar untuk bergerak kerana kawasan Masjidil Haram sangat luas.

“Namun, segala kesukaran yang dihadapi tidak terasa terlalu berat apabila kita berserah sepenuhnya kepada Allah SWT dengan niat yang baik untuk beribadah. Alhamdulilah, ramai jemaah senegara yang tampil membantu dan keakraban kami seperti sudah lama mengenali,’’ katanya yang mendaftar haji pada 2009.

Tambah Ani Shahrani,  pengalaman serupa turut dilalui suaminya yang juga OKU penglihatan, apabila sering dibantu seorang jemaah OKU fizikal yang kudung sebelah kaki.

Ibadah haji menekankan konsep istito'ah (kemampuan) sebagai syarat wajib utama, merangkumi aspek kewangan, fizikal, mental, ilmu, serta keselamatan perjalanan.

Katanya walaupun individu tersebut juga mempunyai keterbatasan dalam pergerakan, lelaki itu sentiasa menghulurkan tangan dan menemani suaminya dalam beberapa urusan ibadah di Makkah.

Menurutnya, hubungan yang terjalin itu menggambarkan semangat ukhuwah yang kuat dalam kalangan jemaah apabila masing-masing saling melengkapi kekurangan diri.

Mengimbau pengalamannya di Tanah Suci, wanita itu berkata melontar di ketiga-tiga jamrah iaitu Ula, Wusta dan Aqabah, adalah pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Katanya meskipun melaksanakan rukun tersebut agak memenatkan,  tindakan petugas TH yang menyiram air kepada jemaah bagi tujuan menyejukkan badan, menyuntik semangat mereka untuk meneruskan ibadah.

“Saya bersyukur kerana berjaya melontar ketiga-tiga jamrah dengan sempurna meskipun dalam keadaan tidak nampak. Di kawasan melontar terdapat pagar yang menjadi panduan kami, petugas (TH) bantu dengan berikan arahan untuk kami memegang pagar bagi memudahkan kami bergerak dan melontar.

“Bagi saya pengalaman ini mungkin hanya datang sekali seumur hidup. Apa yang penting kuatkan iman dan yakin dengan diri sendiri, insya-Allah akan dipermudahkan,” katanya yang merupakan pembantu tadbir di sebuah hospital di sini.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.