FOKUS BERNAMA

SARA RM100 Mudahkan Golongan B40 Tempuhi Cabaran Kewangan Musim Perayaan

23/01/2026 05:10 PM
Daripada Soon Li Wei

Mungkin bagi segelintir masyarakat, bantuan Sumbangan Asas Rahmah atau SARA sebanyak RM100 yang bakal disalurkan pada 9 Feb ini untuk semua warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas, hanya jumlah kecil dan tidak memberikan impak besar dalam perbelanjaan harian mereka.  

Namun, buat isi rumah yang hidupnya ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, jumlah RM100 tersebut adalah “angpau”  dan “duit raya” bersempena dengan musim perayaan, selain bantuan eKasih, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP). 

Suri rumah Chong Khai Ling, 42, dari Jalan Klang Lama di sini, melihat bantuan SARA itu, walaupun tidak banyak, cukup untuknya mendapatkan barang keperluan asas dan kegunaan harian seperti beras, minyak masak dan bahan pencuci. 

“Selain menampung dua orang anak yang masih di sekolah rendah, saya perlu menjaga ibu mentua yang kurang sihat di rumah, jadi perbelanjaan lebih banyak kerana hari-hari perlu memasak dan membersihkan rumah. 

“Jadi, segala jenis bantuan yang diberi kerajaan dalam dua bulan pertama ini memberikan sedikit kelegaan kepada kami sekeluarga. Perbelanjaan sekolah anak ditampung BAP dan kami juga terima STR fasa pertama sebanyak RM500 yang dapat ringankan perbelanjaan persiapan Tahun Baharu Cina pada Februari nanti,” katanya kepada Bernama.

pic-2

Individu bujang dan mahasiswa tahun akhir institut pengajian tinggi swasta Mohd Farhan Aziz, 23, pula berharap sistem SARA di premis perniagaan terlibat dapat dinaik taraf.

“Inisiatif ini bagus untuk meringankan beban semua orang, cuma saya khuatir sistem akan mengalami gangguan teknikal seperti yang berlaku sebelum ini, kerana kali ini bantuan untuk musim perayaan. Malah, sekarang sistem pembayaran MyKasih di premis yang biasa saya kunjungi juga kerap tergendala, menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu lama,” katanya.

 

KAWAL SELIA HARGA BARANG KEPERLUAN KETIKA MUSIM PERAYAAN 

Pemberian SARA  sebanyak RM100 ini adalah yang kedua kali selepas pusingan pertama pada 31 Ogos tahun lepas, bertujuan meringankan perbelanjaan rakyat menjelang Tahun Baharu Cina dan juga persiapan menyambut Ramadan, masing-masing pada pertengahan Februari ini. 

Mengulas bantuan yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan berkata wang RM100 tersebut diberikan pada saat penting ketika isi rumah perlu berbelanja lebih daripada kebiasaan.

“Pada ketika harga makanan dan barangan keperluan terus meningkat, sumbangan ini membantu meringankan beban kewangan mereka. Namun, nilai RM100 itu masih terhad jika dibandingkan dengan realiti kos sara hidup semasa, terutamanya kenaikan harga barang yang kerap berlaku ketika musim perayaan,” katanya kepada Bernama.

pic-3

Melihat fungsi bantuan itu sebagai “kelegaan” jangka pendek, beliau berkata jumlah tersebut bagaimanapun mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan kebanyakan isi rumah, khususnya keluarga besar dan mereka yang tinggal di bandar. 

Selain itu, FOMCA juga menggesa supaya skop dan penggunaan praktikal bantuan SARA dikaji semula agar lebih mencerminkan corak perbelanjaan sebenar isi rumah.

“Sebahagian besar perbelanjaan makanan harian dan perayaan melibatkan barangan segar seperti daging, ikan, ayam dan sayur-sayuran yang lazimnya dibeli di pasar basah.

“Dengan membenarkan SARA digunakan di pasar basah dan peniaga kecil akan menjadikan bantuan ini lebih inklusif dan praktikal,” katanya.

Saravanan turut menegaskan keperluan pemantauan harga dan penguatkuasaan secara berterusan bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah, yang boleh menghakis nilai sebenar bantuan berasaskan tunai. 

“Tanpa kawalan harga yang berkesan, manfaat yang dihasratkan melalui SARA boleh terjejas,” katanya.

 

AGIHAN MENYELURUH KEPADA KUMPULAN SASAR

Pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr Mohd Amim Othman berkata bantuan berasaskan tunai secara universal seperti SARA RM100 menawarkan kelebihan yang jelas, khususnya dari segi kecekapan pentadbiran dan penyaluran yang pantas, sekali gus menjadikannya relevan dalam keadaan kos sara hidup kian meningkat.

“Dengan meluaskan kelayakan tanpa mengira tahap pendapatan, risiko tercicir golongan yang memerlukan dapat diminimumkan, terutamanya ketika tempoh tekanan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

pic-4

Namun, beliau berkata dari sudut kecekapan fiskal dan ketepatan dasar, model yang bersifat universal sepenuhnya berpotensi melemahkan kesan pengagihan bantuan kerajaan.

“Apabila bantuan diagihkan secara sama rata kepada semua kumpulan pendapatan, sebahagiannya - tanpa dapat dielak - akan diterima oleh isi rumah T20 yang tidak berdepan kekangan kewangan segera, sekali gus mengurangkan keberkesanan perbelanjaan awam dalam meringankan kesusahan golongan rentan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Amim mencadangkan supaya kerajaan menilai semula penerima berpendapatan tinggi, berdasarkan maklum balas daripada pusingan pertama SARA yang disalurkan tahun lepas.

Katanya, tanpa menambah jumlah peruntukan keseluruhan, kerajaan dapat memberikan bantuan lebih bermakna kepada golongan yang benar-benar memerlukan sekiranya mekanisme sasaran diperhalusi.

“Mengalihkan sumber daripada isi rumah yang kurang memerlukan akan mengizinkan bantuan kepada golongan B40 dan berpendapatan rendah ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada RM150, sekali gus menawarkan kelegaan yang lebih besar,” katanya.

 

TEPAT PADA MASA NAMUN OBJEKTIF ASAL MUNGKIN TERSASAR 

Sementara itu, pensyarah kanan ekonomi di Monash University Malaysia Dr Audrey Siah Kim Lan berkata dalam soal SARA, jumlah bantuan bukan isu sebaliknya bagaimana tambahan RM100 kepada pendapatan itu dibelanjakan.

“Kali ini SARA diberikan bersempena dengan musim perayaan yang umumnya menyaksikan perbelanjaan tambahan, namun penyaluran sumbangan ini mungkin menyebabkan mereka menggunakan duit yang ada untuk membeli sesuatu yang tidak perlu seperti hiasan mewah, kerana mereka tahu mereka akan menerima bantuan RM100.

“Walhal bantuan ini bertujuan meringankan beban kewangan kumpulan memerlukan seperti B40, iaitu setidak-tidaknya mereka dapat gunakan RM100 ini untuk membeli barang keperluan asas.

“Justeru, cara RM100 itu dibelanjakan menentukan keberkesanan bantuan tersebut,” ujarnya.

pic-5

Mengulas dengan lebih lanjut, Siah berkata kajian menunjukkan isi rumah berpendapatan rendah berkecenderungan memperuntukkan sebahagian besar pendapatan mereka untuk  perbelanjaan penggunaan berbanding isi rumah berpendapatan tinggi.

“Isi rumah berpendapatan rendah, seperti golongan B40, lebih berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk membeli keperluan asas mereka berbanding isi rumah berpendapatan tinggi (T20),” katanya, menambah dalam konteks itu, bantuan bersasar seperti eKasih dan STR lebih berkesan kerana isi rumah akan menggunakan wang berkenaan untuk keperluan asas.

Beliau juga berpendapat golongan berpendapatan tinggi berkemungkinan besar membelanjakan RM100 itu untuk barangan tidak perlu, sekali gus tidak memenuhi objektif sebenar SARA.

Sehubungan itu katanya, adalah lebih baik sekiranya bantuan tersebut disalurkan dalam bentuk tunai secara bersasar agar dapat memberikan impak lebih besar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

 

TAMBAH BAIK SISTEM TRANSAKSI 

Sementara itu, Mohd Amim mengesyorkan agar kerajaan menaik taraf sistem transaksi digital SARA bagi mengelakkan masalah “kesesakan” di kaunter pembayaran.

“Sediakan garis panduan dan saluran komunikasi yang jelas untuk penerima agar segala aduan berkaitan penyaluran dan penggunaan bantuan dapat diadukan pada masa sebenar.

“Selain itu, sepadukan sistem peruncit dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan kelancaran agihan SARA di samping menggalakkan masyarakat agar memanfaatkan bantuan tersebut secara berperingkat,” katanya. 

 

GALAKKAN PERBELANJAAN 

Pensyarah kanan di Fakulti Perniagaan, Monash University Malaysia Dr Andrew Woon berkata suntikan tunai RM100 menerusi SARA dijangka merangsang penggunaan, terutama di sektor runcit dan seterusnya menyumbang kepada kegiatan ekonomi lebih luas.

Beliau berkata peningkatan jumlah pengunjung dan transaksi boleh menyokong peniaga tempatan serta menyumbang kepada ekonomi domestik yang lebih rancak dalam tempoh perbelanjaan penting.

“Secara keseluruhan, walaupun bantuan ini mungkin tidak dapat mengekang sepenuhnya tekanan inflasi atau membawa penambahbaikan struktur ekonomi jangka panjang, ia memberikan kelegaan segera kepada isi rumah serta menghasilkan kesan limpahan positif jangka pendek yang membantu mengekalkan momentum ekonomi.

“Walaupun jumlahnya mungkin kecil pada peringkat individu, isi rumah yang mempunyai beberapa orang ahli dewasa berpotensi menikmati manfaat kumulatif yang lebih besar, sekali gus membantu meringankan perbelanjaan tambahan semasa musim perayaan, khususnya untuk pembelian makanan dan keperluan isi rumah.

“Walaupun bantuan ini mungkin tidak dapat mengimbangi sepenuhnya kenaikan kos, ia menyediakan sokongan praktikal jangka pendek sepanjang tempoh perayaan,” jelasnya.

pic-6

Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih lancar dan manfaat yang lebih meluas, Woon mencadangkan supaya julat rakan niaga yang terlibat diperluaskan.

Katanya, peluasan kategori peruncitan termasuk perniagaan kecil, boleh membantu mengagihkan kehadiran pengguna di premis perniagaan secara lebih sekata, mengurangkan kesesakan di premis tertentu dan memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh ekosistem peruncitan yang lebih luas. 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan