TINTA MINDA

PENTINGNYA SOKONGAN PSIKOSOSIAL MENDEPANI KRISIS COVID-19

27/04/2020 01:38 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Lt. Kdr. Dr. Abu Yazid Abu Bakar TLDM (B)

Dalam suatu gerak kerja pengurusan krisis yang holistik, semua aspek persediaan fizikal, mental, psikologi, sosial, dan emosi harus dipersiapkan untuk semua pihak yang terkesan sama ada secara langsung ataupun tidak.

Dalam erti kata lain, ketika situasi pandemik Novel Coronavirus 2019 atau COVID-19 yang sedang dihadapi di seluruh pelusuk dunia termasuk Malaysia sekarang, fokus utama persediaan menyeluruh ini harus ditekankan terhadap semua petugas barisan hadapan atau frontliners yang dipertanggungjawabkan mengekang dan mencegah penularan wabak ini serta masyarakat umum yang berpotensi dijangkiti sekiranya sesuatu yang drastik tidak dilaksanakan.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diambil sebagai tindakan menyekat penularan COVID-19 secara besar-besaran walaupun menampakkan sedikit sebanyak kesan positif dalam konteks negara kita namun, langkah ini tidak dinafikan berpotensi menimbulkan kesan psikologi, sosial dan emosi yang mampu menjejaskan kesejahteraan ahli masyarakat umum dalam tempoh jangka panjang.

Justeru, sekiranya tiada sebarang bantuan atau sistem sokongan berkaitan disediakan, dibimbangi semakin ramai individu dalam masyarakat bakal terancam oleh gejala seperti tekanan atau stres melampau, depresi, kemurungan dan sebagainya.

Kaunseling Berterusan

Sejak pelaksanaan PKP fasa pertama yang bermula 18 Mac 2020 lalu, pelbagai bentuk khidmat psikososial – untuk masyarakat umum yang terkesan oleh senario COVID-19 dan arahan kawalan pergerakan ini – telah disediakan oleh para profesional merangkumi pakar psikiatri, ahli psikologi, kaunselor, dan pekerja sosial di seluruh negara.

Khidmat ini diberikan dalam bentuk bantuan psikologi dan emosi, sesi kaunseling krisis, aktiviti bimbingan dan sebagainya.

Namun begitu, memandangkan pengalaman mendepani COVID-19 merupakan pengalaman baharu yang dialami oleh kebanyakan negara (termasuk Malaysia) dalam menguruskan pandemik penyakit berjangkit pada skala besar, rata-rata penyediaan khidmat sokongan psikososial adalah bersifat agak reaktif dan wajar ditambah baik supaya lebih proaktif untuk persediaan pada hadapan.

Sebagai contoh, penyediaan khidmat kaunseling dalam situasi krisis seperti COVID-19 tidak dapat dilakukan mengikut amalan mengikut kelaziman.

Berikutan faktor-faktor keterbatasan pergerakan dan penjarakan sosial yang dituntut semasa tempoh PKP, khidmat ini cuba disampaikan melalui platform yang belum diiktiraf dalam Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) seperti komunikasi menerusi telefon, atau penggunaan media-media sosial seperti Whatsapp, Telegram, Facebook, dan sebagainya.

Akibatnya, semua platform ini meminggirkan elemen bersemuka yang merupakan teras kepada perkhidmatan kaunseling yang berkesan.

Mungkin dalam keadaan krisis seperti pandemik COVID-19 ini, pendekatan atas talian yang tidak meminggirkan elemen teras ini, sebagai contoh, pengendalian sesi menggunakan kaedah persidangan video boleh dipertimbangkan untuk diiktiraf oleh pihak berwajib bagi memenuhi keperluan menyokong kesejahteraan diri masyarakat umum sepanjang tempoh getir dan tidak menentu ini.

Elak Kekeliruan

Selain itu, keghairahan menyediakan khidmat sokongan psikososial pada saat mendesak ini adakalanya menyebabkan kecenderungan untuk mengetepikan asas sesuatu perkhidmatan yang diberi. Natijahnya, situasi ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada banyak pihak, terutama yang benar-benar ingin mendapatkan bantuan.

Sepertimana yang telah dinyatakan, sejak wabak COVID-19 menular dengan pantas lebih dua bulan lalu, pelbagai bentuk khidmat telah disediakan oleh semua golongan profesional membantu, termasuklah oleh pihak-pihak tidak berkepakaran tetapi mempunyai semangat ingin membantu yang tinggi.

Sebagai contoh, khidmat kaunseling tidak sewenang-wenangnya boleh diberikan oleh mana-mana individu yang tidak terlatih. Oleh itu, mana-mana pihak seperti badan-badan bukan kerajaan, atau agensi-agensi persendirian sewajarnya berhati-hati apabila menawarkan perkhidmatan masing-masing.

Mungkin apa yang ditawarkan adalah khidmat runding cara atau bimbingan pengurusan psikologi/emosi, dan bukannya sesi kaunseling krisis yang jelas hanya boleh dikendalikan oleh golongan profesional.

Selain itu, ketidakfahaman tentang asas perkhidmatan kaunseling yang bersifat sukarela juga menyebabkan wujud persepsi bahawa golongan profesional kaunselor tidak memainkan peranan pada saat-saat sukar ini.

Hakikatnya, sejak pandemik COVID-19 menular dan tempoh PKP dikuatkuasakan mulai pertengahan Mac, ramai kaunselor telah pun berada di barisan hadapan pada lapisan kedua untuk memberikan bantuan psiko-sosio-emosi kepada semua pihak yang memerlukan sokongan.

Namun, kerana asasnya yang bersifat dua hala, kerelaan pihak yang memerlukan bantuan untuk tampil mendapatkan bantuan juga adalah sama penting.

Dalam erti kata lain, adalah tidak adil untuk menimbulkan persepsi – disebabkan kecuaian memahami asas perkhidmatan ini – seolah-olah golongan profesional kaunseling di Malaysia tidak memberi apa-apa sumbangan bermakna dalam perjuangan menentang pandemik COVID-19.

Kesimpulannya, sepertimana petugas barisan hadapan dalam industri penjagaan kesihatan dan anggota penguatkuasaan/keselamatan yang berada di lapisan utama, para profesional dalam bidang membantu seperti kaunselor, pakar psikiatri, ahli psikologi, dan pekerja sosial turut sama berganding bahu untuk membangunkan sistem sokongan psikososial dan emosi yang mapan untuk membantu semua pihak yang memerlukan.

Semoga perjuangan kita semua – termasuklah rakyat keseluruhan yang memahami dan akur dengan arahan PKP – akan berhasil.

-- BERNAMA

Lt Kdr Dr Abu Yazid Abu Bakar TLDM (B) adalah Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi), Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)