TINTA MINDA

DUA TAHUN KERAJAAN PERPADUAN: MELANGKAH KE HADAPAN

22/11/2024 11:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

Mukadimah

Perjalanan sesebuah gagasan baharu negara adalah panduan besar bagaimana negara dibentuk dalam melaksanakan dasar-dasar pembangunannya. Pemimpin besar negara perlu melihat kepada realiti sekeliling yang melingkungi suasana negara semasa kepimpinannya.

Merungkaikan Kebuntuan

Datuk Seri Anwar Ibrahim atau rakyat menggelarnya sebagai PMX mengambil alih tampuk kepimpinan negara dalam suasana sukar dan mencabar dari sudut dalaman dan luarannya. Dalamannya, beliau terpaksa menerima realiti wujudnya kerajaan yang dibentuk atas berbaga-bagai blok parti politik yang sebelumnya usai Pilihanraya Umum ke-15 (PRU 15) setiap blok gagal memenuhi majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan. Pakatan Harapan (PH) sebagai blok yang memiliki bilangan terbesar, iaitu 82 kerusi masih belum mencapai had majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, iaitu 112 yang diperlukan. Di belakang PH ialah blok Perikatan Nasional (PN), iaitu 74 kerusi sedangkan blok lain seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih mencari-cari rakan untuk membentuk kerajaan.

Lontaran idea Kerajaan Perpaduan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengandungi hikmah tersirat di sebalik jalan buntu sejak pengumuman keputusan PRU15 pada 20 Nov 2022. Justeru terbentuklah Kerajaan Perpaduan pada 24 November 2022.

Latar Unik

Latar yang membawa kepada terbentuknya kerajaan pada 24 November 2022 adalah faktor penting yang tidak boleh diabaikan dalam membuat penilaian pencapaian Kerajaan Madani hari ini. Ini berpandukan kepada beberapa fakta. Pertama, suasana unik ini telah menghimpunkan 16 parti politik dan empat blok parti besar iaitu PH, BN, GPS dan GRS. Semuanya telah bertanding dalam PRU15 sebagai pesaing dan bukan rakan. Politik Malaysia yang bermodelkan politik kesepakatan pra pilihan raya terpaksa berhadapan dengan realiti kebuntuan membentuk kerajaan, lantas blok yang bersaing antara satu sama lain terpaksa berkompromi pascaPRU.

Ini membawa kepada persoalan kedua, iaitu bagaimanakah parti yang berlawanan antara satu sama lain dengan manifesto yang berbagai-bagai dapat mencapai kata sepakat dalam melaksanakan manifesto masing-masing dalam sebuah kerajaan. Selalunya hanya satu blok utama sahaja yang akan melaksanakan manifestonya setelah membentuk kerajaan. Dengan kata lain, pasca PRU15 sangat unik bagi lanskap politik Malaysia kerana latar tadi yang perlu dibereskan terlebih dahulu sebelum bercakap soal melaksanakan janji manifesto.

Fakta kedua perlu diambil kira dalam membuat penilaian dua tahun pencapaian Kerajaan MADANI. Kegagalan berbuat demikian seolah-olah membutakan mata kepada satu fasa penting menyelerakan dahulu kepelbagaian manifesto dan membereskan kesepaduan empat blok utama yang berlawanan sebelumnya. Jadi apakah formula PMX untuk menyatukan kesemua ideologi blok masing-masing?

Lahirnya MADANI

PMX perlu mencari titik pertemuan dalam kerajaan bagi menyatukan blok masing-masing. Hampir dua bulan selepas proses konsolidasi dan persefahaman, PMX memperkenalkan Malaysia MADANI pada 19 Januari 2023 berperanan untuk menggagaskan idea besar negara yang beliau namakan sebagai MADANI. Ia diharap dapat memandu semua pihak kepada menjayakan nilai-nilai yang di dalamnya adalah ikhtiar untuk menjawab realiti semasa yang dihadapi negara, termasuklah menguruskan keunikan terbentuknya sebuah kerajaan perpaduan. MADANI boleh dikira sebagai konsolidasi manifesto berbagai tertumpu kepada nilai-nilai besar yang akan menetapkan dasar-dasar baharu yang akan diperkenalkan.

Nilai Besar M.A.D.A.N.I

Ada enam nilai besar negara dalam mencapai cita-cita pembangunannya, iaitu Kemampanan (M) Kesejahteraan (A) Daya-cipta (D) Hormat (A) Keyakinan (N) dan Ihsan (I). Aspek Kemampanan menjurus kepada bentuk ekonomi dan alatnya pada masa hadapan bagi menjayakan konsep kelestarian untuk generasi mendatang manakala kemakmuran negara pulangannya adalah untuk rakyat yang memerlukan pembelaan. Untuk maju ke hadapan daya cipta dari segala aspek keintelektualan dan kebolehmenjadian diharap menghasilkan inovasi dan kreativiti yang menguntungkan negara sedangkan ia hendaklah dipandu atas nilai hormat kepada budaya bangsa, sesama insan dan alam. Melahirkan keyakinan adalah kunci penting untuk mengeratkan hubungan rakyat dan pemerintah yang akhirnya bersifat Ihsan dan Rahmah kepada kebajikan rakyat dan kepada alam sekitar adalah perasaan sedar dalaman yang membentuk kita sebagai masyarakat yang menjulang nilai Karamatul Insan.

Berdasarkan gagasan besar inilah polisi-polisi baharu yang bersifat struktural diperkenalkan antaranya ialah kebertanggungjawaban fiskal negara bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap perbelanjaan perbendaharaan negara, penstrukturan semula regim subsidi kepada bersasar, gaji progresif, meningkatkan gaji penjawat awam, skim pencen yang baharu serta pembelaan golongan yang memerlukan dari berbagai program kebajikan rakyat yang ditingkatkan. Dasar mengunjur ke hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), dasar peralihan tenaga baharu dan perindustrian baharu semuanya dirangka dalam gagasan besar MADANI.

Aksi Madani di Pentas Dunia

Ketegasan PMX mewakili amarah manusia terhadap keganasan dan genosid Israel ke atas rakyat Palestine diiktiraf sebagai suara Malaysia dan kemanusiaan. Usaha terkini di peringkat lobi antarabangsa untuk menyingkirkan keanggotaan Israel dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah hasrat yang berisiko tinggi yang telah dilakukan oleh kerajaan MADANI atas nama memartabatkan kemuliaan nilai Ihsan. Aura suara Malaysia dalam kalangan negara Blok Selatan kembali dirasai dengan nada tegas menyuarakan ketidakseimbangan agihan kekayaan dunia untuk yang tertindas dan miskin. Persediaan Malaysia untuk menyertai gabungan BRICS diterima dengan baik, menandakan satu peralihan berani kepada medan baharu sebuah kebangkitan ekonomi masa depan. PMX juga akan memimpin ASEAN untuk tahun 2025 sekali gus membawa berbagai ide untuk memajukan rantau ini dan hubungannya dengan rantau lain.

Cabaran dan Prospek

Dua tahun Kerajaan Perpaduan memerintah, masih banyak yang perlu dilakukan, namun sosok PMX yang memberi inspirasi kepada rakyat tentang semangat kebangkitan melalui Tajdid Pemikiran dan Islah negara adalah jaminan terbesar bagi menjayakan cita-cita ini. Apapun, segala retorik berkenaan akhirnya akan dikira berjaya hanya setelah ia dapat dilaksanakan dan disokong oleh semua blok yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan. Semua perkiraan politik dan senarai keutamaaan negara perlu diambil sebagai faktor penting ketimbang desakan dan semangat menjayakan reformasi. PMX mendaki persada kuasa atas kehendak rakyat yang mahukan perubahan. Dua tahun ini PMX masih kekal dengan momentum perubahan dengan mengimbangi kepelbagaian kerenah dalaman mahupun birokrasi termasuklah perubahan budaya dan tingkah laku yang menjadi penghalang utama.

Prospek tahun mendatang kelihatan cerah dengan kejayaan dalam proses pemulihan ekonomi dan membina imej Malaysia di mata dunia. Kita doakan Kerajaan Perpaduan yang lahir dua tahun yang lalu kekal lebih kuat dan lebih meyakinkan segenap lapisan rakyat. Sepertimana kita harapkan juga agar parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak diganggu gugat oleh suara-suara yang mahu melihat perpecahan dalam kalangan blok dalam perpaduan berlaku.

Selamat Menyambut Dua Tahun Perpaduan!

-- BERNAMA

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Dewan Negara

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)