TINTA MINDA

MENYELAMI KEPIMPINAN MUHYIDDIN TANGANI COVID-19

04/05/2020 10:55 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Sr. Azmi Hassan

Semenjak dilantik ke jawatan Perdana Menteri 1 Mac lepas, begitu jarang sekali Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan politik walaupun senario politikpada ketika itu dan juga sekarang amat memerlukan penjelasan daripada beliau terutama sekali berkaitan dengan tuduhan ‘kerajaan pintu belakang’.

Ini adalah kerana Muhyiddin amat sedar negara sedang berhadapan dengan kemelut pandemik COVID-19 dan jika tidak ditangani dengan teliti, sudah pasti akibatnya adalah padah.

Muhyiddin juga akur jika terlalu banyak kenyataan politik dikeluarkan, maka senario seperti ini sudah pasti akan memberi kesan kepada tumpuan kerajaan berhadapan dengan ancaman virus ini.

Malah, pendirian jelasnya itu turut beliau kongsikandan antara yang paling menarik perhatian ketika temubual khas Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Awani beberapa hari lepas.

"Saya sejak awal duduk di kerusi Perdana Menteri, tak fikir soal politik. Soal pokok sekarang ini rakyat tak nak dengar dah. Saya tahu mereka muak cerita itu. Yang mereka nak tahu, apa kerajaan buat. Apa Perdana Menteri atau Jemaah Menteri dan juga pentadbiran kerajaan yang ada hari ini laksanakan untuk menangani isu penting yang sedang mereka hadapi”.

Kepimpinan semasa krisis

Kepimpinan adalah ungkapan paling kritikal ketika Malaysia dan seluruh dunia menghadapi ancamanCOVID-19 yang tidak mengenal status negara atau individu seseorang. Sebab itu, apabila Amerika Syarikat (AS) mengatasi China dari segi jumlah jangkitan virus dan Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson turut disahkan positif COVID-19, itu adalah manifestasi bahawa virus tersebut tidak memilih sasaran.

Strategi dan dasar yang mantap hanya boleh terlaksana dengan efisien apabila wujud kepimpinan yang membenarkan organisasi bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing. Kewujudan kepimpinan sedemikian adalah penting keranaancaman COVID-19 bukan sahaja berkaitan denganisu kesihatan tetapi merangkumi berbagai sektor seperti keselamatan, ekonomi, sosial, pendidikan dan banyak lagi.

Umpamanya, apabila Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas, strateginya adalah untuk mengawal pergerakanrakyat Malaysia supaya rantaian jangkitan virus COVID-19 dapat diputuskan. Strategi serupa yang mula diamalkan di Wuhan dalam wilayah Hubei di China tiga bulan lepas telah membuahkan hasil yang menggembirakan apabila jumlah penduduk Wuhan yang dijangkiti virus dapat dikurangkan dengan begitu drastik sekali sehingga Beijing mengisytiharkan wilayah Hubei bebas jangkitan COVID-19.

Sebab itu juga selepas 17 hari mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Muhyiddin mengejutkan negara apabila mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara. Bukan mudah untuk membuat keputusan sedemikian lebih-lebih lagi dalam keadaan politik negara yang tidak tenteram ketika itu, tetapi hakikatnya keputusan Muhyiddin sebenarnya adalah manifestasi kekuatan kepimpinan beliau.

Perlu diingatkan ketika strategi PKP dilaksanakan,beberapa negara maju seperti AS, UK dan Australia masih belum melaksanakan arahan ala PKP Malaysia. Begitu juga neagra jiran terdekat kita, Singapura, yang masih memandang sepi dengan strategi PKP kita pada ketika itu. Ramai juga yang mempersoalkan kepimpinan Muhyiddin dengan berhujah jika Presiden Donald Trump, Perdana Menteri Boris Johnson, Scott Morrison dan Lee Hsien Loong menolak ke tepi strategi ‘lockdown’, mengapa pula Perdana Menteri Malaysia mahu menongkah arus.

Tidak perlu diperdebatkan lagi manfaat PKP kerana saban hari statistik jumlah mereka yang dijangkiti virus itu menurun berbanding dengan Singapura yang lewat tiga minggu melaksanakan PKP, jumlah jangkitan di republik berkenaan mencatatkan angka menggerunkan.

Keberkesanan strategi PKP

Strategi PKP hanyalah sebahagian daripada kaedah yang digunakan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin dalam mendepani dan menangani isu COVID-19 dantidak dapat dinafikan bahawa setiap langkah yang dilaksanakan dapat dilakukan secara bersepadu dan tersusun kerana wujudnya kepimpinan yang mantap. Apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijadikan agensi rujukan untuk memastikan dasar yang dibentuk dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan, itu sekali lagi mempamirkan kepimpinan mantap kerajaan pimpinan Muhyiddin.

MKN menjadi agensi induk menangani COVID-19 kerana ia mempunyai keutuhan dari segi perundangan melalui Akta MKN 2016 yang antaralain mempunyai kekuatan struktur organisasi bukansahaja yang membabitkan isu keselamatan.

Perlu juga diberi perhatian walaupun MKN dijadikan agensi rujukan untuk penggubalan dasar dan strategi berkaitan COVID-19 namun, memandangkan isu inibukan hanya berkaitan keselamatan semata-matatetapi merentasi berbagai sector, maka jawatankuasa itu dipengerusikan sendiri oleh Muhyiddin dengan para anggotanya merangkumi mereka daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran.

Jika diteliti strategi kepimpinan Muhyiddin berkaitan COVID-19, ia merangkumi tiga entiti penting demi memastikan koordinasi paling efisien. Entiti pertamaialah Muhyiddin sebagai perdana menteri bertanggungjawab membuat pengumuman penting umpamanya mengenai perlaksanaan PKP dan Pakej Rangsangan Ekonomi. Menteri Pertahanan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah entiti keduadalam hal keselamatan di mana kenyataan berkaitanakan dikeluarkan beliau. Entiti ketiga pula berkaitan sektor kesihatan yang dikendalikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang lazimnya akan membuat sidang berita harian mengenai status COVID-19.

Setiap keputusan yang dibuat tidak kira merangkumi sektor apa sekali pun mesti selari dengan dasar yang diputuskan oleh jawatankuasa COVID-19. Tidak dinafikan, koordinasi melalui kepimpinan tertinggi kerajaan adalah kritikal dan rakyat Malaysia secara puratanya berpuas hati malah berbangga dengan cara kerajaan menangani isu virus ini. Tahap puas hati iniadalah penting kerana sedikit sebanyak ia meredakan kegusaran rakyat terutama sekali dalam tempoh PKP.

Malaysia berada dalam keadaan yang bernasib baik kerana koordinasi di antara pihak yang berkaitan berlaku dalam tahap yang efisien. Dasar yang digubal mampu dilaksanakan dengan tersusun kerana wujudnya koordinasi serta kepimpinan dan dikuatkan dengan asas perundangan melalui penggunaan akta berkaitan sedia ada.

Malah, strategi memperkenalkan PKP Bersyarat bermula pada 4 Mei ini menunjukkan keputusan tersebut sebenarnya manifestasi kepimpinan Muhyiddin. Ini adalah kerana untuk membenarkan beberapa aktiviti ekonomi dan sosial walaupun dengan kekangan, ia memerlukan seorang pemimpin dengan gaya kepimpinan holistik untuk membawa maksud setiap keputusan yang dibuat dengan mengambil kira semua faktor dan aspek.

Jika tiada asas kepimpinan yang mantap, maka apa yang menimpa AS adalah senario yang dijangkakan dan patut dihindarkan. Ini dapat dilihat daripada tiadanya koordinasi dan sering timbul pertelingkahan di antara kerajaan Persekutuan pimpinan Trump dengan Gabenor beberapa negeri seperti New York dan Michigan umpamanya. Walaupun New York dianggap sebagai kawasan merah kerana mempunyai jumlah penduduk yang positif COVID-19 paling ramai, tetapi oleh kerana tiadanya kepimpinan mantap peringkat Persekutuan maka, dasar yang sepatutnya dapat mengurangkan jumlah jangkitan tidak dapat dilaksanakan walaupun AS dianggap negara yang terkehadapan kemajuaannya dalam segala hal.

-- BERNAMA

Prof Madya Kanan Sr Azmi Hassan merupakan PakarGeostrategi Fakulti Razak, Universiti TeknologiMalaysia (UTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)