Tercetusnya wabak dan krisis COVID-19 di seluruh dunia membawa perubahan yang amat besar bukan sahaja dalam bidang ekonomi, kewangan, pentadbiran negara malah membawa perubahan yang ketara dan mencetuskan normal baharu dalam kehidupan seharian rakyat demi kelangsungan kehidupan seharian.
Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini, pelbagai usaha berbentuk infaq dan wakaf dalam pelbagai bidang kepakaran sangat dituntut untuk dilaksanakan oleh semua masyarakat bagi sama-sama memberi sumbangan bukan hanya dalam bentuk tunai semata-mata, malah melalui sumbangan berbentuk kemahiran, tenaga, kesukarelawanan dan kepakaran.
Walaupun pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah dilancarkan oleh kerajaan bagi membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di negara ini, namun harus diingat bahawa pakej rangsangan ekonomi tersebut direncanakan kepada pihak yang benar-benar terjejas dalam situasi sebegini.
Dengan kekangan bajet negara pada masa kini, semua pihak perlu memahami bahawa tidak semua individu di negara ini dapat dibantu sepenuhnya melalui pakej rangsangan ekonomi tersebut.
Ini bukanlah menunjukkan bahawa kerajaan mengabaikan mereka, tetapi sebenarnya mereka terdiri daripada golongan rakyat yang agak kurang terkesan dengan situasi sebegini dan terdiri daripada kalangan profesional dan tenaga pakar di negara ini.
Menyumbang saat genting
Kepakaran yang mereka miliki boleh digunakan untuk sama-sama menyumbang kepada masyarakat dan negara terutama dalam situasi genting sebegini.
Budaya menyumbang dan memberi infaq dan wakaf merupakan ajaran Islam yang telah lama dipraktikkan dalam masyaratkat Islam.
Budaya infaq dan wakaf diamalkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RA. Penting ditegaskan bahawa budaya memberi infaq dan berwakaf adalah tradisi zaman berzaman dan menjadi amalan mulia umat Islam.
Ini boleh ditinjau dalam sejarah sejak zaman kerajaan Uthmaniyyah sekitar abad ke-16 Masihi lagi. Pada masa itu, hampir 30,000 institusi yang berasaskan infaq dan wakaf ditubuhkan dan ia amat membantu bagi menjamin lebihan belanjawan kepada kerajaan.
Zaman kegemilangan infaq dan wakaf seperti ini nampaknya sudah berakhir namun, usaha untuk mengembalikan kegemilangan budaya infaq dan wakaf sedang rancak dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.
Dalam hal ini, infaq dan wakaf kepakaran merujuk kepada memberikan atau menyumbang kepakaran dan perkhidmatan yang boleh dinikmati manfaat, faedah atau keuntungannya.
Apabila kita merujuk kepada infaq dalam ilmu ia meliputi aktiviti mengajar, mendidik, berkongsi ilmu dan khidmat kepada orang ramai secara sukarela.
Infaq boleh dilakukan dengan menginfaqkan diri, masa dan tenaga supaya ilmu dan khidmat dapat dinikmati manfaat, faedah dan keuntungannya kepada orang ramai.
Infaq ilmu memberi nafas baru kepada kedinamikan dalam sektor infaq dan wakaf di negara ini.
Dalam hal ini, para ilmuwan dan tenaga pakar profesional haruslah sentiasa bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat bagi berkongsi dan memberi ilmu pengetahuan kepada yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan serta hanya mengharapkan keredhaan daripada Allah SWT.
Ini sesuai dengan galakan dari Nabi Muhammad SAW supaya umatnya sentiasa mengamalkan budaya infaq dan wakaf seperti Hadith Nabi SAW: “Sesungguhnya seorang mukmin itu akan mendapat manfaat dari amalan dan kebaikan selepas kematian dirinya.
Antara amalan yang bermanfaat adalah seperti ilmu yang disampaikannya, anak yang soleh yang ditinggalkannya, mewariskan mashaf-mashaf, masjid yang dibina olehnnya, membina rumah untuk ibnu sabil, membuat sungai yang mengalir dan sedekah yang keluar dari hartanya semasa sihat juga semasa hidupnya”(Hadith Riwayat Ibnu Majah).
Kongsi kepakaran
Secara lebih terperinci, infaq dan wakaf kepakaran profesional ini merujuk kepada seorang tenaga pakar profesional yang memiliki pengetahuan, kepakaran dan kemahiran berhasrat untuk menyumbang kepakaran yang dimiliki secara sukarela melalui pelbagai bentuk dan kaedah sumbangan yang sesuai demi kemaslahatan umat Islam.
Antara perkara yang boleh disumbangkan adalah melalui ceramah, mengkaji dan mengembangkan ilmu, penulisan artikel mahupun buku.
Selain itu, kemahiran seperti konsultansi, khidmat nasihat dan perundingan juga turut termasuk dalam kategori infaq kepakaran profesional.
Ini termasuk memberikan perkhidmatan merawat dan memberi nasihat perubatan serta sukarelawan secara profesional yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai.
Infaq dan wakaf kepakaran profesional antaranya bertujuan membuka ruang kepada tenaga profesional untuk menyumbang secara berkekalan melalui aktiviti sedemikian selain membuka ruang kepada golongan pakar dan tenaga profesional menyumbang infaq dan wakaf sebagai alternatif kepada sumbangan tunai dan harta tak alih demi kemaslahatan umat Islam.
Ia juga bertujuan membuka peluang kepada masyarakat umum untuk memperoleh sumbangan infaq dan wakaf dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada sumbangan tunai dan harta tidak alih sahaja.
Dalam suasana mencabar serta ketidakpastian krisis dan wabak COVID-19, adalah amat dialu-alukan semua bentuk bantuan kesukarelawanan oleh tenaga profesional dan pakar bukan sahaja dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan, pegawai perubatan, pakar bius malah merangkumi pakar dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, kewangan, perbankan Islam dan Syariah.
Mereka boleh sama-sama memikirkan dan memberikan infaq dan wakaf kepakaran yang bermakna kepada masyarakat pada masa ini.
Kita bersyukur kerana pelbagai pihak sama ada individu, agensi, majlis malah pihak korporat melaksanakan pelbagai aktiviti berbentuk infaq dan wakaf dalam bentuk wang ringgit, tenaga dan kesukarelawan untuk membantu pihak yang memerlukan pada saat kritikal ini.
Namun, sumbangan infaq dan wakaf kepakaran yang lebih bermakna amat ditagih dari semua lapisan masyarakat di negara ini terutamanya dalam kalangan tenaga pakar dan profesional.
Oleh itu, aktiviti berbentuk sumbangan infaq dan wakaf kepakaran oleh tenaga pakar profesional perlu disemarakkan dan penting untuk dilaksanakan pada masa ini.
Kesediaan tenaga pakar profesional amatlah diperlukan bagi sama-sama membantu pihak kerajaan dalam mendepani wabak ini daripada terus menular dan mengorbankan ramai lagi nyawa.
Kesediaan semua pihak untuk turut memberi infaq dan wakaf tanpa mengharapkan ganjaran kewangan semata-mata boleh menjamin kejayaan idea infaq dan wakaf kepakaran di negara ini.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz merupakan Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).