Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dijalankan memberi laluan kepada fasa pemulihan ekonomi negara dan bukanlah fasa ‘exit’ PKP. Pelaksanaan PKPB memerlukan kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama agar rantaian wabak COVID-19 ini dapat diputuskan. Pelbagai peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi bagi memastikan penularan wabak COVID-19 ini berada dalam kawalan. Pemantauan dan penguatkuasaan yang diambil oleh kerajaan pada semua peringkat fasa adalah tepat dan sesuai dengan keadaan.
Langkah-langkah pencegahan seperti kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau menggunakan pencuci tangan beralkohol atau sanitiser, memakai penutup hidung dan mulut serta memastikan jarak sosial masih lagi perlu diberi keutamaan bagi memastikan rantaian penularan wabak ini dapat diputuskan. Masyarakat tidak boleh mengambil ringan dengan penurunan jumlah kes baru dan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan.
COVID-19 virus ini sangat mudah berjangkit dan tersebar secara langsung dari individu ke individu melalui titisan dari saluran pernafasan yang keluar apabila bercakap, batuk atau bersin. Penyebaran secara tidak langsung pula adalah melalui sentuhan permukaan yang tercemar dan menyentuh mulut, hidung dan mata. Titisan dari saluran pernafasan seseorang yang bergejala boleh menjangkiti individu lain apabila mereka berada hampir antara satu sama lain (jarak yang kurang dari 1 meter). Titisan ini juga boleh jatuh ke atas permukaan persekitaran dan virus ini boleh hidup untuk satu jangkamasa yang tertentu. Seseorang yang telah dijangkiti virus tetapi tidak bergejala (pra-gejala) boleh juga menjangkiti individu lain. Maka, pemakaian penutup hidung dan mulut dikatakan boleh menghalang virus ini dari tersebar dan terjangkit individu lain.
Perlukah Penutup Hidung dan Mulut?
Baru-baru ini timbul isu terdapat pasar raya yang tidak membenarkan pelanggan masuk sekiranya tidak memakai penutup muka dan hidung. Persoalannya adakah memakai penutup hidung dan mulut perlu dalam membendung penularan wabak COVID-19 ini?
Pemakaian penutup hidung dan mulut adalah amat perlu bagi mereka yang dijangkiti untuk menghalang titisan ini dari tersebar kepada individu lain atau mencemari permukaan persekitaran.
Namun terdapat bukti terhad terhadap pemakaian penutup mulut dan hidung oleh individu yang sihat dalam mengelakkan mereka daripada jangkitan virus ini. Bagi individu yang sihat, kelebihan penggunaan penutup hidung dan mulut adalah untuk mengurangkan potensi risiko pendedahan daripada orang yang dijangkiti semasa tempoh ‘pra-gejala’ individu positif dan juga sebagai kesedaran terhadap langkah pencegahan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan panduan berkaitan pemakaian penutup hidung dan mulut dengan menyatakan bahawa pemakaiannya merupakan satu daripada langkah pencegahan bagi membendung penyebaran virus termasuk virus COVID-19. Namun, langah-langkah pencegahan yang lain seperti kerap membasuh tangan dan penjarakkan sosial juga penting dan haruslah diamalkan bersama.
WHO menekankan bahawa penutup hidung dan mulut perlu dikhaskan untuk petugas kesihatan atau barisan hadapan dalam konteks Malaysia. Ini terutamanya apabila bekalan penutup hidung dan mulut menjadi terhad. Pemakaian penutup hidung dan mulut adalah amat perlu atau wajib dipakai oleh mereka yang bergejala atau merasakan diri mereka mungkin telah dijangkiti (seperti bekontek dengan mereka yang positif).
WHO juga menyarankan penggunaannya haruslah berdasarkan pendekatan berasaskan risiko. Oleh yang demikian, kerajaan harus memastikan bahawa informasi berkaitan langkah-langkah pencegahan dapat disampaikan kepada masyarakat melalui strategi komunikasi yang kukuh bagi menerangkan keadaan, kriteria dan alasan amalan langkah pencegahan. Ia haruslah mengandungi informasi berikut:
Demi Keselamatan Diri
Walaupun pemakaian penutup hidung dan mulut bukan sesuatu yang diwajibkan oleh peraturan atau undang-undang ketika krisis COVID-19 seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob namun, kerajaan mengalakkan orang ramai memakainya demi menjaga keselamatan diri sendiri dan orang lain.
Sekiranya berurusan atau berhubung dengan orang lain di mana jarakan sosial tidak boleh dilakukan atau bergejala, pakailah penutup hidung dan mulut bagi membantu dalam memutuskan penularan wabak ini. Pakailah penutup hidung dan mulut seperti disarankan pihak berwajib tetapi pastikan langkah-langkah penggunaannya dan pelupusannya dilakukan dengan betul agar berkesan seperti berikut:
--BERNAMA
Dr Normaliza Ab Malik merupakan Professor Madya dan Pakar Klinikal Pergigian di Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)