TINTA MINDA

BERITA PALSU JEJAS PRODUKTIVITI

18/05/2020 09:09 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman

Pandemik COVID-19, yang masih menghantui masyarakat dunia, menyebabkan langkah-langkah drastik sedang dilaksanakan untuk menangani ancaman penyakit ini. Kita berperang untuk menghentikan penyakit yang berbahaya kepada kesihatan awam dan menjejaskan ekonomi serta semua aspek kehidupan.

Ketika pihak berkuasa terutama frontliners bertungkus lumus mencegah dan menangani kes-kes pandemik ini, wujud pula wabak berita palsu. Hampir setiap minit kita menerima terlalu banyak maklumat berkaitan dengan COVID-19 namun, tidak pasti kebenaran dan kesahihan berita atau maklumat berkenaan.

Kita juga menerima limpahan maklumat sehingga tidak dapat membezakan fakta atau auta mengenai COVID-19. Sehinggakan kita tidak lagi menganggap maklumat yang diterima melalui WhatsApp dan media sosial yang lain sebagai penting.

Sebenarnya banyak maklumat berupa ingatan atau arahan yang benar dan sahih berkaitan COVID-19 disalurkan melalui media sosial terutamanya daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kerajaan mengarahkan kita agar duduk di rumah untuk mencegah virus COVID-19 daripada terus merebak. Kita dapat membantu menjayakan misi untuk mengekang pandemik ini hanya dengan duduk di rumah.

Kita semestinya masih boleh bersyukur. Walaupun tidak boleh keluar rumah, namun masih lagi boleh berinteraksi dengan adanya internet dan media sosial. Bayangkan jika kita duduk di rumah tanpa adanya media sosial dan hubungan dalam talian?

Sebahagian besar daripada kita juga menggunakan masa yang terluang untuk melayan media sosial. Itu tidak menjadi masalah andainya ia digunakan untuk kebaikan seperti kerja dari rumah secara interaktif digital. Kini bekerja dan belajar di rumah menjadi tren yang produktif. Ini bermaksud kita tidak boleh berkompromi dalam persoalan produktiviti asalkan kita mempunyai daya inovasi dan kreativiti. Buktinya urusan jual beli dalam talian semakin menjadi rancak dan kita boleh melakukan kerja tanpa perlu keberadaan secara fizikal.

Normal baharu

Namun apa pun keadaan, kita perlu menghasilkan output atau keberhasilan. Kita perlu menerapkan budaya produktiviti mengikut normal baharu. Mungkin agak asing dan kekok di peringkat awal. Namun, lama kelamaan normal baharu ini akan menjadi kelaziman dan kebiasaan.

Normal baharu bukan sekadar sebulan dua, mungkin akan mencorak semua aspek dalam kehidupan kita sekarang dan akan datang.

Pendekatan yang luar dari kebiasaan tetapi normal baharu telah mencipta pelbagai kreativiti dan inovasi yang tidak terfikir selama ini. Anak-anak sekolah belajar dari rumah tanpa perlu ke sekolah. Pihak kerajaan membatalkan peperiksaan Penilai Menengah Rendah dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada tahun ini.

Kedua-dua peperiksaan ini yang selama ini menjadi ‘keutamaan’ terpaksa ditiadakan. Penilaian kecemerlangan bukan lagi dinilai berdasarkan kejayaan dalam peperiksaan semata-mata walaupun penilaian secara keseluruhan berdasarkan kecemerlangan individu secara holistik sudah lama digunakan di negara maju.

Hambatan berita palsu

Kita juga kini berhadapan dengan hambatan khusus untuk menangani penyebaran maklumat atau berita palsu. Segelintir pengguna menjadikan media sosial sebagai gelanggang untuk mencaci dan menghina petugas dan pihak penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

Ini kerana sejak akhir-akhir ini berita palsu yang bertebaran dalam media sosial telah menyebabkan masyarakat bingung sehingga terpengaruh dengan mesej yang disampaikan.

Pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja menabur fitnah dan menyampaikan maklumat yang salah demi untuk kepuasan peribadi dan pihak berkepentingan. Maklumat palsu ini boleh dianggap ‘wabak’ yang mampu menjejaskan produktiviti, reputasi dan integriti.

Pihak yang sengaja menyebarkan maklumat palsu ingin menjadi ‘juara’ sebagai orang pertama mendapat dan menyebarkan maklumat. Sedangkan sesetengah perkara itu tidak berkaitan langsung dengan COVID-19. Gambar lama yang diulang tayang atau menukar ayat disunting yang menyebabkan kekeliruan dan ketakutan.

Pelbagai isu dan polemik tidak berasas ketika COVID-19 juga sengaja dibuat dengan agenda tersendiri untuk menjatuhkan maruah dan integriti individu atau organisasi yang sebahagiannya merupakan berita palsu semata-mata. Semacam wujud perang siber yang terus menyerang di antara satu sama lain dan dalam masa sama banyak berita palsu dicipta dan disebarkan tanpa asas yang benar.

Maklumat palsu menular

Ketika kita berperang dengan wabak COVID19 kita juga berhadapan dengan ‘disinformasi’. Disinformasi merujuk kepada penyebaran maklumat palsu dengan niat sengaja untuk menipu. Sedangkan informasi yang salah merujuk kepada perkongsian bahan tersebut secara tidak sengaja, tanpa niat untuk menipu atau sehingga membahayakan masyarakat. Jika dibiarkan berleluasa, ia boleh mengancam kestabilan negara, keselamatan masyarakat dan perpaduan kaum.

Antaranya adalah dakwaan palsu bahawa anggota tentera diberi kuasa untuk menyerang orang awam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Wujud pula cerita kononnya hospital diberikan kebenaran mencari dana dan peralatan pencegahan COVID-19. Begitu juga bersebar berita di sana sini menyatakan kawasan, kemudahan atau kedai tertentu tercemar dengan virus. Kesemua berita palsu ini mencetus keresahan dan ketakutan dalam kalangan orang ramai.

Sesetengah pihak pula menggunakan pandemik dengan mengeksploitasi dan menipu orang ramai termasuk perniagaan yang secara palsu mengaku diberi kuasa oleh pemerintah untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan berkaitan dengan COVID-19. Di samping menaburkan kekeliruan dengan menerbitkan maklumat yang tidak tepat atau menyesatkan mengenai inisiatif yang ditangani oleh pihak kerajaan.

Penggunaan WhatsApp dan aplikasi pemesejan lain untuk menyebarkan maklumat palsu amat menyusahkan dan sukar dikawal. Promosi kononnya penyembuhan untuk COVID-19 berkembang pesat di Malaysia termasuk penggunaan air kunyit dan bawang putih yang ternyata menyesatkan dan berisiko. Risiko disinformasi adalah sangat bahaya seperti kejadian tragis di Iran apabila ratusan orang mati setelah meminum alkohol industri atau haram berikutan laporan palsu mendakwa ia dapat menyembuhkan COVID-19.

Dirancakkan lagi dengan netizen yang tidak berfikir, tidak cakna dan menyampaikan kepada yang lain sehingga merebak dan meluas. Mungkin kita tanpa sengaja menyumbang kepada penyebaran berita palsu dek suka mencampak ke dalam grup WhatsApp.

Sedangkan jika kita tidak pasti mengenai maklumat COVID-19, jangan kongsi!

Tangani segera

Kita pun tidak mengerti mengapa masih ada lagi pihak yang melawan dan melepaskan geram dengan membuatkan kenyataan berbentuk kecaman di media sosial. Masih ada individu yang tidak mengikut arahan sedangkan COVID-19 ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi menyerang banyak negara seluruh dunia.

Kita seharusnya bersyukur kerana kes positif wabak ini di Malaysia semakin berkurangan daripada 3 angka kepada 2 angka setiap hari.

Berita palsu yang semakin menjadi-jadi masa kini mestilah ditangani segera. Pesalah baik individu ataupun organisasi atau industri media yang terlibat perlulah dihadap ke muka pengadilan. Jangan sampai isu berita palsu COVID-19 mengganggu pihak berkuasa dan kesihatan untuk menjalankan tugas dengan selesa.

Seseorang yang menjadi penyebar berita palsu mengenai COVID-19 adalah melanggar akta berkaitan media sosial dan multimedia. Penyebaran berita palsu menyebabkan kekeliruan dan keresahan yang boleh menggugat keselamatan diri dan negara. Walaupun Akta Fitnah dan beberapa akta lain boleh digunakan untuk mengatasi gejala berita palsu ini, tindakan proaktif amat diperlukan buat masa ini.

Pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (MCMC) mempunyai peranan penting dalam membendung maklumat palsu ini. Pihak berkuasa telah menyiasat, menangkap dan mendakwa beberapa individu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Seksyen 233 CMA membahas penciptaan atau transmisi komunikasi yang "jelek, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung seseorang" dengan maksud untuk "mengganggu, menyalahgunakan, mengancam atau mengganggu orang lain" sementara seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan mengkriminalisasi penerbitan atau peredaran komunikasi yang menyebabkan atau berkemungkinan menimbulkan “ketakutan atau kebimbangan kepada orang ramai”.

Pihak berkuasa juga perlu menggunakan pendekatan pemasaran sosial untuk mengatasi penyebaran maklumat, seperti memberi taklimat dan pernyataan akhbar secara berkala, dan menyiarkan kemas kini dan penjelasan di laman sosial dan laman web pemerintah. Untuk mengatasi maklumat yang salah, kunci ukuran adalah kita mesti mempunyai akses kepada maklumat yang jelas, tepat dan berdasarkan bukti dan keterbukaan dan ketelusan yang berterusan.

Malaysia juga perlu memfokuskan tanggungjawabnya untuk mendidik masyarakat dan mendorong orang untuk membuat penilaian kritis terhadap apa sahaja bahan yang mereka temui dalam talian.

Pendekatan ‘kawalan diri’ adalah sangat penting untuk usaha berterusan bagi menangani disinformasi di zaman media sosial dan aplikasi pesanan. Ini kerana kenyataan platform ini memerlukan literasi digital yang lebih besar.

Langkah secara paksaan, pembetulan maklumat secara berterusan dan pembongkaran laporan palsu bukanlah penyelesaian yang paling berkesan. Orang ramai mesti diberitahu dan diberi kuasa untuk menggunakan pertimbangan dan akal mereka sendiri ketika menentukan kesahihan sesuatu maklumat.

--BERNAMA

Prof Datuk Dr Ismail Sualman adalah Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UITM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)