TINTA MINDA

GAYA KOMUNIKASI NEGATIF PUNCA PERCERAIAN?

11/11/2024 09:24 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Siti Marziah Zakaria

Perbezaan dalam gaya komunikasi antara lelaki dan wanita telah menjadi topik yang menarik dalam dunia penyelidikan selama bertahun-tahun. Perbezaan ini boleh membawa kepada masalah komunikasi dan konflik. Pada masa kini, perceraian telah menjadi isu global dan kemungkinan komunikasi yang tidak berkesan memainkan peranan penting dalam kegagalan banyak perkahwinan. Komunikasi boleh membawa kepada keutuhan atau kemusnahan perkahwinan, bergantung kepada tahap keberkesanannya. Keberkesanan komunikasi ini adalah berkait dengan kepuasan perkahwinan secara keseluruhan.

Satu aspek yang tidak dapat dielakkan dalam mana-mana perkahwinan ialah konflik. Pasangan berkahwin akan sentiasa mempunyai perselisihan faham yang mesti diselesaikan dengan segera. Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2023 mendapati 56.2 peratus lelaki menyatakan mereka bercerai kerana tiada persefahaman dengan pasangan, diikuti dengan faktor pasangan curang dan campur tangan mentua atau ipar duai. Wanita juga turut menyatakan tiada persefahaman sebagai punca bercerai, diikuti dengan faktor pasangan curang dan pasangan tidak bertanggungawab. Ternyata tiada persefahaman telah menjadi punca perceraian yang selalu dilaporkan, terutamanya oleh pasangan dalam tempoh 10 tahun perkahwinan. Realitinya, masalah tiada persefahaman ini boleh diselesaikan jika pasangan berkahwin memperbaiki gaya komunikasi mereka.

Perbezaan Gaya Komunikasi

Ironinya, lelaki dan wanita mempunyai banyak perbezaan dalam gaya komunikasi. Ada kemungkinan perbezaan ini menjadi punca konflik dalam perkahwinan. Penyelidikan mendapati bahawa pasangan yang menggunakan gaya komunikasi negatif semasa konflik akan secara langsung memberi kesan kepada kepuasan perkahwinan mereka dan pasangan. Krisis perkahwinan muncul kerana gaya komunikasi yang lemah ini. Ia diburukkan lagi dengan tindak balas pasangan yang tidak menyenangkan dan tidak berkesan terhadap konflik. Kajian perkahwinan mendapati terdapat tiga gaya komunikasi yang sangat berisiko dalam perkahwinan iaitu gaya komunikasi pasif, gaya komunikasi agresif dan gaya komunikasi pasif-agresif.

Pasangan yang mengamalkan gaya komunikasi pasif mengelak konflik atau pertentangan dan mungkin sukar untuk menyatakan pendapat mereka secara terbuka. Jika anda mempamerkan komunikasi pasif, anda mungkin sering bersetuju dengan orang lain, walaupun anda tidak bersetuju, untuk mengelakkan konflik. Walaupun gaya ini boleh menyumbang kepada persekitaran yang lebih harmoni, ia juga boleh membawa kepada kekecewaan dalam hubungan antara pasangan. Gaya komunikasi ini juga tidak dapat menyelesaikan isu dan konflik yang sedang dihadapi. Anda gagal untuk menyuarakan pandangan dan meluahkan perasaan walaupun ia penting dalam perkahwinan. Anda kerap mengetepikan kehendak dan kemahuan sendiri untuk memberi keutamaan kepada kehendak dan kemahuan pasangan anda. Akhirnya, anda kecewa, marah dan tidak berpuas hati.

Jika anda mengamalkan gaya komunikasi agresif, anda adalah pasangan yang sentiasa mendominasi perbincangan. Anda memaksa orang lain menerima pendapat anda dan tidak dapat menerima pendapat pasangan. Anda juga sangat tegas dan membuatkan pasangan anda rasa tidak dihormati. Anda sering mengangkat suara semasa perbincangan dan memotong percakapan pasangan anda. Lebih teruk lagi, sifat suka menyalahkan orang lain dan membuat ancaman fizikal dan emosi. Gaya komunikasi ini hanya akan memusnahkan hubungan antara pasangan berkahwin. Mereka akan mengelak daripada meneruskan komunikasi kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Gaya komunikasi pasif-agresif juga boleh menjadi barah dalam hubungan. Komunikasi pasif-agresif ialah gaya komunikasi seseorang yang kelihatan pasif secara luaran, tetapi sebenarnya meluahkan kemarahan, kekecewaan atau kebencian mereka secara tidak langsung (contohnya melalui sindiran atau kritikan). Jika anda mempamerkan komunikasi pasif-agresif, kenal pasti sebab tingkah laku anda dan berusahalah untuk menanganinya. Komunikasi pasif-agresif tentunya boleh merosakkan hubungan dan boleh mewujudkan persekitaran toksik dalam perkahwinan. Konflik dan isu dalam perkahwinan perlu ditangani secara langsung dan jujur. Carilah kaedah terbaik untuk meluahkan perasaan dan keperluan anda tanpa menggunakan tingkah laku pasif-agresif.

Alternatif lain kepada gaya komunikasi yang berisiko di atas adalah gaya komunikasi asertif. Gaya komunikasi asertif bermaksud individu menyatakan keperluan dan keinginan mereka dengan cara yang jelas, secara langsung dan penuh sopan. Mereka juga menghormati keperluan dan keinginan orang lain. Mereka tegas, yakin dan mampu meluahkan fikiran dan perasaan mereka secara terbuka, tanpa menggunakan kekerasan atau sindiran. Gaya komunikasi ini dianggap sebagai gaya yang paling berkesan dan sihat untuk berinteraksi dengan orang lain terutamanya dalam kalangan pasangan berkahwin.

Komunikasi Efektif

Kajian daripada penyelidik Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PSITRA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM pula mendapati bahawa gaya komunikasi dan penyesuaian hidup dalam fasa awal perkahwinan adalah faktor kritikal dalam mempengaruhi kualiti dan kepuasan perkahwinan seseorang. Komunikasi antara pasangan berkahwin perlu mempunyai dua ciri asas iaitu komunikasi yang efektif dan positif. Komunikasi yang efektif memastikan mesej dapat disampaikan dan mendapat respon sewajarnya oleh pasangan. Kelemahan dalam berkomunikasi secara efektif boleh menimbulkan salah faham dan konflik dalam kehidupan pasangan berkahwin. Komunikasi efektif perlu mempunyai elemen mendengar, empati dan hormat. Komunikasi positif pula menggalakkan perbincangan secara dua hala, mengelak daripada menggunakan perkataan-perkataan yang negatif, bercakap dengan jelas dan spesifik dan menggunakan bahasa badan yang positif. Komunikasi positif menggunakan bahasa yang memberi motivasi untuk menggalakkan perubahan tingkah laku. Justeru, komunikasi yang efektif dan positif seharusnya mendominasi gaya komunikasi pasangan untuk mengekalkan kestabilan perkahwinan.

Oleh itu, komunikasi antara pasangan adalah topik yang sentiasa relevan untuk dikaji. Kajian lanjut tentang perbezaan gaya komunikasi antara lelaki dan wanita akan membawa kepada pemahaman yang lebih baik. Khususnya, komunikasi antara pasangan yang baru berkahwin untuk mengetahui apa yang mungkin menyebabkan perselisihan faham dalam perkahwinan. Ini akhirnya akan membawa kepada pemahaman yang lebih baik tentang kaedah atau strategi untuk mengekalkan perkahwinan yang berkualiti. Dengan memahami corak dan gaya komunikasi yang berisiko, mudah-mudahan banyak perkahwinan yang boleh diselamatkan.

-- BERNAMA

Dr Siti Marziah Zakaria ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PSITRA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan felo bersekutu di Pusat Kepimpinan Wanita (PKW), UKM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)