Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu telah membawa perubahan secara mendadak terhadap gaya hidup individu di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Rakyat Malaysia perlu mematuhi perintah ini dengan harapan dapat memutuskan rangkaian virus ini daripada terus merebak secara berleluasa. Salah satu formula untuk mencapai matlamat ini adalah melalui pelbagai norma baharu dalam kehidupan seharian.
PKP telah membawa rakyat Malaysia ke arah satu norma baharu. Antara norma baharu adalah penjarakan sosial, bekerja dari rumah, pembelajaran di rumah, penggunaan telekomunikasi seperti internet dan telefon pintar secara optimum, dan pembelajaran secara maya.
Norma baharu ini atau perubahan kelaziman gaya hidup telah ‘mendidik’ setiap individu secara tidak langsung untuk beradaptasi secepat yang mungkin.
Adaptasi ini merupakan satu proses untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang mencabar. Ada individu mampu untuk mengikut arus perubahan, namun terdapat juga yang melanggar arahan PKP.
Individu yang mampu untuk mengikut arus perubahan dan proses adaptasi dengan baik dan mempunyai kawalan kendiri yang adaptif. Mereka mampu untuk melihat perubahan sebagai satu kebaikan, serta petanda akan terjejasnya kesihatan diri dan orang lain.
Jalin hubungan kekeluargaan
Satu hikmah yang ketara adalah keluarga dapat berkumpul bersama di bawah satu bumbung.
Sekiranya ibubapa cuba mengambil inisiatif untuk ‘bersama-sama’ dengan anak-anak seperti berkomunikasi dengan lebih efektif, jadikan waktu makan tanpa gajet di meja makan adalah waktu kemesraan, menunjukkan kasih sayang terutamanya kepada anak-anak dan pasangan, sudah pasti perhubungan ahli keluarga akan lebih baik.
Komunikasi dan perhubungan yang baik sesama keluarga akan membantu setiap individu di rumah untuk berdaya tindak dengan lebih baik dalam situasi yang membimbangkan ini.
Sokongan emosi
Kesihatan mental sering dikaitkan dengan kesan pandemik COVID-19. Kerisauan, kebimbangan, tekanan yang melampau, tidak dapat tidur malam, tidak ada selera makan dan menyendiri adalah tanda-tanda gangguan kesihatan mental.
Sekiranya individu itu tidak ada sesiapa yang boleh mendengarinya atau memahaminya, maka tanda-tanda ini akan menjadi lebih serius. Jelasnya, sokongan emosi amat penting terutamnya dari ahli keluarga sendiri.
Persamaan matematik seperti tajuk artikel ini, kombinasi PKP dengan Norma Baharu adalah bergantung kepada kekuatan kesihatan mental. Jelasya, PKP dicampur Norma Baharu adalah dalam kurungan dan Kesihatan Mental adalah ‘pendaraban’ yang amat penting.
Sekiranya kesihatan mental berada dalam keadaan optimum, maka PKP dan Norma Baharu dapat diadaptasi dengan baik. Sekiranya kesihatan mental terganggu, maka persepsi tentang PKP dan Norma Baharu akan menjadi sukar.
Amalkan gaya hidup sihat
Persamaan matematik ini akhirnya sama dengan Berdaya Tahan. Bagi mencapai Kesihatan Mental yang optimum dalam keadaan krisis sebegini, adalah perlu untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidur yang mencukupi, makan makanan yang bernutrisi, beriadah di rumah dan kurangkan tekanan melalui kawalan kendiri.
Individu yang mempunyai daya tahan apabila berada dalam keadaan yang menyukarkan akan cuba untuk bertindak secara efektif. Lantaran itu, individu perlu belajar untuk cepat beradaptasi atau memantul dirinya untuk kembali menjadi stabil. Oleh itu, sebagai individu yang ingin memberi sokongan, jangan sesekali melabel atau mewujudkan stigma. Pilihlah umtuk menjadi rakyat Malaysia yang sentiasa menyayangi saudaranya, mendoakan keluarga, komuniti dan negara agar sejahtera, seimbang dan selamat.
Rakyat Malaysia yang memerlukan sokongan psikososial dan/atau psikoemosi, bolehlah menghubungi Talian Kasih 15999, atau berurusan dengan pasukan sokongan psikologi yang ada seperti perkhidmatan yang diberikan oleh Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International) dan sebagainya.
--BERNAMA
Dr Amalia Madihie merupakan Timbalan Dekan (Keterlibatan Industri dan Komuniti) di Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak. Beliau juga ahli eksekutif Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International).