NOTA KAMPUS

OPEN DISTANCE LEARNING: EVOLUSI PEMBELAJARAN CABAR KEUPAYAAN PENDIDIK IPT?

02/06/2020 04:14 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Wan Hartini Wan Zainodin

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila masih ramai bertanggapan bahawa pembelajaran terbuka dan secara jarak jauh atau Open Distance Learning (ODL) hanya merujuk kepada Online Distance Learning.

Seawal tahun 1970an kaedah pembelajaran secara ODL sudah mula mendapat tempat di negara-negara barat contohnya seperti di Britain. ODL tidak terhad kepada pembelajaran secara dalam talian semata-mata malah lebih dari itu..

Tren ODL ini bukanlah sesuatu yang baharu di barat apabila kewujudan ODL yang dipelopori mereka juga telah menginspirasikan banyak negara untuk mengikuti jejak langkah yang proaktif ini termasuk Malaysia.

Kebanyakkan open learning yang ditawarkan di Malaysia masih mengintegrasikan kelas fizikal dan pembelajaran secara maya sehinggalah kita berhadapan dengan wabak COVID-19 yang tidak memungkinkan sebarang kaedah konvensional seperti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka berlaku.

Menilai persediaan, mencabar keupayaan

Situasi tersebut tentunya mencetuskan perubahan drastik terhadap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta. Sebelum tercetusnya wabak ini, para pendidik di IPT mungkin tidak pernah membayangkan bahawa institusi pendidikan berdepan cabaran hebat dalam menyediakan keperluan pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar.

Jika sebelum ini persediaan secara bersemuka menuntut jumlah jam tertentu, kini mahu tidak mahu para pendidik terutamanya pensyarah di universiti awam dan swasta terpaksa menerima hakikat bahawa anjakan perlu dilakukan seiring dengan perubahan dunia pengajian tinggi dalam menghadapi pandemik global.

Apabila disebut tentang kaedah pembelajara ODL mungkin pada mulanya ramai pendidik yang tidak yakin dan ‘canggung’ dek kerana beban tugas yang perlu dikali dua dan menjadi berganda-ganda. Benar, persediaan pengajaran dan pembelajaran ODL bukan perkara mudah. Perlu perincian dan penelitian yang jelas.

Tugas sebagai pensyarah jarang digembar -gemburkan sulitnya. Selagi pelajar tidak cuti selagi itu pensyarah bekerja dan apabila pelajar sedang bercuti pensyarah masih tetap bekerja. Tugas-tugas pentadbiran, penulisan akademik, pelbagai aktiviti dan kursus, melakukan penambah-baikkan kurikulum secara berterusan, audit dan pelbagai lagi jenis kesibukkan yang jika disebutkan satu-satu tidak akan berpenghujung.

Namun tidak pula pensyarah menjadikan perkara tak menang tangan ini sebagai alasan kerana itulah jihad bagi mereka dalam mengajarkan ilmu kepada anak bangsa. Pun begitu, kekangan dan kesukaran yang datang di kala COVID-19 dilihat banyak membuka peluang dan ruang yang tiada sempadan.

Hanya tunggu direbut atau ditolak jauh-jauh ke tepi. Maka itu, pokok pangkal kepada bercambahnya kreativiti seseorang pendidik itu adalah dengan membenarkan minda berfikir di luar kotak dalam keadaan yang serba terhad. Itulah perjuangan sebenar pendidik pengajian tinggi.

Pendekatan fleksibel

Walaupun gerbang literasi digital belum terbuka sepenuhnya bagi sesetengah pendidik dalam mengharungi IR 4.0 yang dikuasakan oleh kecanggihan teknologi mahupun Education 5.0 yang menekankan konsep pendidikan secara maya, itu bukanlah alasan para pendidik untuk tidak keluar dari kepompong kebiasaan. ODL memungkinkan sebarang bentuk komunikasi dua hala yang boleh dilakukan secara segerak (synchronous) dan tertangguh (asynchronous)

Teknologi tidak pernah membataskan manusia tetapi manusialah selalu membina batas yang tinggi sebagai perisai untuk berada dalam zon selesa. Pendidik abad ini perlu belajar menjadi sefleksibel mungkin dan mencipta sesuatu teknik pengajaran secara terbuka berdasarkan kebolehcapaian pelajar tanpa mengambil ringan soal kemenjadian pelajar itu sendiri.

Pelbagai kaedah digunakan seperti perkongsian bahan pengajaran melalui pos, pesanan suara, aplikasi Whatsapp, Telegram, Google Meet, Google Class, Google Classroom, Zoom dan bermacam lagi. Jelaslah ODL membuka evolusi baru pengajaran dan pembelajaran masa kini.

COVID-19 bukan sekadar wabak. Kehadirannya telah merubah hampir keseluruhan prosedur operasi standard di setiap universiti sekurang-kurangnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Seperti yang disebutkan oleh Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), urusan perniagaan, pembelajaran dan pengajaran, urusan pentadbiran dan sebagainya adalah kebiasaan baharu secara dalam talian dengan ia menjadi keperluan gaya kehidupan masa kini.

Kini, setelah beberapa bulan ODL dijalankan di kebanyakkan universiti, banyak sekali inovasi pengajaran dan pembelajaran berlaku. Para pendidik telah melakukan yang terbaik serta bertungkus-lumus membantu pelajar mengharungi pengajaran dan pembelajaran yang penuh mencabar ini. Justeru tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa COVID-19 adalah hadiah dari tuhan buat warga pendidik abad ke 21!

-- BERNAMA

Dr Wan Hartini Wan Zainodin merupakan Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)