KETAMADUNAN

MEWAJAH DAN MEMAKNAKAN SENI RUPA

08/06/2020 10:01 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Saiful Akram Che Cob @ Ab Ghafar

Seni rupa merupakan antara cabang manifestasi visual, yang diekspresikan oleh seniman pelukis, dalam mengutarakan cetusan rasa, idea-idea, gagasan pemikiran malah kritik-kritik kontroversial. Penzahirannya terjelma dalam pelbagai media seperti catan, lukisan mahupun arca. Hakikat yang tidak boleh dipungkiri, seni rupa bolehlah kita anggapkan, sebagai jiwa dan intuisi sang seniman

Semangat distinktif seniman tertuang pada setiap tatanan karya-karyanya. Namun, yang menjadi persoalan dasar, adalah pemaknaan dan interpretasi khalayak pemerhati, dalam memaknai serta mencakna erti, karya-karya seni yang terhidang.

Mentafsir seni rupa

Letak soal yang terutama, adakah fikrah dan semangat seniman itu, sampai kepada sudut fikir khalayak ataupun sebaliknya?. Soal faham, mengerti apa yang dipesonakan oleh makrifat mata, tersangatlah subjektif.

Ini kerana, telah wujudnya kemajmukan daya fikir, lapangan disiplin ilmu dan sensitiviti pengamatan manusia, dalam mencermati, seterusnya menghayati setiap hasil-hasil tampak yang mereka tontoni.

Bagi yang sehaluan dalam sekte-sekte (aliran) seni visual, hal ini tidaklah menjadi satu hal dan masalah yang merumitkan. Akan tetapi, bagi mereka yang di luar keahlian, dikhuatiri bakal timbulnya ketidakfahaman visual, salah mengerti, rancu, andaian-andaian kontradiktif, ambigu, saling tuduh-menuduh, keliru, malah berlakunya dikotomi mutlak, kalau tidak pun separa, dalam hal pentafsiran dan pemaknaan seni rupa.

Secara perbandingan, dalam lapangan ilmu pengetahuan sekular, telah memilah kedisplinan kepada empat cabang besar, yakni pertama, ilmu masyarakat, dikembangi oleh dasar-dasar sosiologi. Keduanya, ilmu pemikiran, yang lekat kuat pada unjuran falsafah. Aliran yang ketiga, iaitu ilmu kejiwaan, terkait dengan nama psikologi. Lantaran yang terakhir, yakni pada cabang keempat, ilmu kebendaan, yang mesra pula dengan pesona fiziknya (ilmu pasti). Lain orang, lainlah tafsiran visualnya, berdasarkan disiplin keilmuan mereka yang berbeza-beza. Seni rupa, yang intim dengan hal-hal manusia dan kemanusiaan, lebih menjiwai cabang sosiologi dan menempatkan dirinya dalam aliran masyarakat serta manusiawi.

Memperbetul stigma

Bersandarkan pada alasan ini, pengamat-pengamat di aliran kemanusiaan, justeru lebih cenderung pemahaman dan apresiasinya terhadap aktiviti-aktiviti seni rupa. Namun, tidaklah pula kita menafikan haluan-haluan disiplin ilmu yang lainnya. Cuma, ada sedikit stigma yang terbit, terutamanya di kutub aliran kebendaan atau orang-orang saintifik yang merendahi martabat seni rupa. Kata mereka; ‘Itu ilmu rendah nilai’, ‘tiada sumbangan pada peradaban’ malah ada konotasi nakal, yang mensifati ilmu seni rupa sebagai ‘ilmu sampah dan kesampahan yang larut dalam gelora falsafah khayalan’.

Amboi!...makanya, hal seumpama inilah yang perlu diperbetulkan, agar stigma lantaran dek prejudis-prejudis yang meleluasa, tidak berpanjangan.

Seni rupa dan peradaban manusia

Seni rupa justeru mengubah dunia, membangun tamadun, mengajari kefalsafahan tampak, mendewasai pemikiran, hingga boleh dikatakan, yang ia mampu merentas kemajmukan aliran pengetahuan.

Buktinya, tamadun dan peradaban besar dunia tergerak dan mencapai bentuk melalui aktiviti-aktiviti kesenian. Barang tak ternafi, seni rupa dan tampak, tidak tertinggal dalam memberikan buah-buah sumbangannya.

Kita sedar, baik di sudut timur atau di belahan barat dunia, tidaklah ternafikan sumbangan pengetahuan kebendaan dan fizik dalam mencorak serta memaju tamadun. Namun demikian, sumbangan yang tidak juga boleh dikesampingkan, adalah sumbangan estetika yang mana dimediasi oleh karya-karya seni rupa, melalui ‘azimat’ seniman-seniman besar.

Ketinggian peradaban dan keilmuan yang membenih di Yunani (Greek), sejak era Pra-Socratik (599-399 SM), mencapai kemuncak di zaman Socrates, Plato dan Aristotle (300-100 SM) dan seterusnya mengikat jalinan dengan ketamadunan Rom, yang dikenal sebagai era Hellenistik, tidak dapat tidak terselit sumbangan dan signifikasi karya-karya seni rupa. (rujuk foto Mozek Hellenistik, karya Dioskourides of Samos) . Era Renaisans di Eropah pada abad ke-16 Masihi, digemerlapkan oleh karya-karya seni rupa unggul, dari Giotto hingga ke zaman Cezzane di Perancis dengan mazhab Impressionisnya.

Barang diingat, perkembangan pesat doktrin Kristian di Eropah, antara lainnya adalah hasil daripada tangan-tangan seniman seni rupa. Teologi Kristiani dibenihi lukisan-lukisan keagamaan menghiasi altar-altar gereja dan bangunan sekular. Sesiapapun tidak boleh melupakan Micheangelo dengan catan ‘The Creation of Adam’, yang indah terhias di siling Sistine Chapel, di Itali, dan ukiran realis arca ‘David’ yang memperteguh seni rupa, berbasis teologi.

Sentuhan magis Leornado Da Vinci pada catan ‘The Last Supper’ dan ‘Madonna of The Rock’ dapat dinikmati oleh khalayak penonton hingga ke hari ini (rujuk foto The Last Supper (1496-1498), karya Leonardo da Vinci)

Di timur, hasilan-hasilan seni rupa menaikkan semangat Renaisans Timur, yang bermula di zaman Gupta (320-520 SM), selari dengan perkembangan renaisans sains di India. Pemikir dan failasuf terkenal India, A.K, Coomaraswamy menyifati karya-karya seni rupa, memenuhi salah satu filsafat rasa dalam menikmati hasil tampak.

Rasavandana disifatkan Coomaraswamy sebagai renungan estetika, dalam memaknai hasil-hasil seni rupa. Seyogianya, perkembangan sains dan agama di zaman keemasan India, turut disumbangkan oleh hasil-hasil tampak dan meluhur pemaknaan estetiknya.

Kiranya kita terokai pula peradaban Parsi, catan-catan iluminasi dan miniatur menjadi katalis, peri pesatnya aktiviti-aktiviti keestetikaan. Tidak sedikit khalayak dipersona, oleh karya Maqamat (perhimpunan) oleh Al-Hariri dari Basra (1054 Masihi). Catan-catan miniaturnya, memerihalkan kisah-kisah seharian masyarakat dalam bentukan visual yang indah, menarik dan penuh warna-warni.

Gambaran sejarah

Gambar seolah-seolah bercerita dalam, merekodkan perjalanan rentas sejarah yang sehingga kini, dapat ia dinikmati oleh pengamat-pengamat seni rupa. Elemen didaktik, hal kemasyarakatan, dinamika pemikiran terpapar jelas pada ruangan-ruangan khusus pada karya iluminasi sentuhan Yahya ibn Mahmud al-Wasiti. Beberapa contoh peradaban dan kemajuan perkembangan manusia yang disebutkan di atas, memberi erti pemaknaan seni rupa yang merentas disiplin dalam rencam paradigma dunia. Seni rupa meresap dan mengolah tamadun dengan gaya dan identiti estetikanya yang tersendiri.

‘Sui Generis’ seni rupa, teradun oleh sinergi kreatif para pencatan, pengukir dan pelukis dalam menzahirkan manifestasi idea, luahan rasa, kritik-kritik revolusioner malahan tidak salah, jika dikatakan seni rupa menjadi ‘weltanshaunng’ atau world view (pandangan dunia), perkembangan tamadun dan kemanusiaan.

Filasuf zaman pencerahan, Immanuel Kant (1724-1804) sewaktu membahas hal estetika dalam karya agungnya yang terakhir, ‘Critique of Judgement’ (1790), memberi dalih yang tajam dan amat dalam pemaknaannya; “keberadaan seni mensyaratkan adanya sang seniman, dan melalui keindahan dunialah kita dapat mengenal Sang Pencipta yang mulia. Seperti yang telah tersurat, kita mengenali karya-karya Tuhan pada bintang-bintang yang ada di langit mahupun dari suara hati kita untuk melakukan kebaikan”.

Maka, hadirnya seni rupa dalam kehidupan manusiawi dan dinamikanya dalam kemajmukan paradigma, berupaya menjadi inti pemenuhan selera estetika kita secara luhur, mulia, indah dan penuh nuansa romantika, meski dikelilingi oleh kepelbagaian dinamika disiplin pengetahuan.

-- BERNAMA

Dr Saiful Akram bin Che Cob @ Ab Ghafar merupakan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Senilukis dan Senireka, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)