Pameran Maya Antarabangsa Seni Digital (ASEDAS 2020) anjuran ASEAN Digital Art Society (ASEDAS) akhirnya berjaya dilancarkan secara dalam talian pada 6 Jun lepas. Disempurnakan oleh Bapak Pustanto, Ketua Galeri Nasional Indonesia, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, pameran yang berlangsung sehingga 6 September depan itu merupakan kali pertama penganjuran pameran seni digital maya secara normal baharu.
Aktiviti sulung ASEDAS yang ditubuhkan pada 1 April 2020 ini mendapat sambutan baik apabila lebih 1,000 penyertaan dari seluruh dunia dicatat ketika siaran secara langsung di laman Facebook ASEDAS dan YouTube yang diselenggarakan oleh Universitas Esa Unggul (UEU), Jakarta.
Lebih menarik apabila semua kerja perancangan dan penganjuran pameran ini dibuat secara sukarela tanpa biaya daripada mana-mana pihak. Malah semua anggota jawatankuasa penganjur berkorban masa dan tenaga serta membiaya sendiri segala kos logistik termasuk membangunkan ruang pameran maya dan kos internet mengadakan mesyuarat maya selama lebih sebulan sebelum perasmian acara. Lebih 20 universiti, politeknik, agensi kerajaan dan swasta, badan pakar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, Indonesia dan Thailand menjadi tuan rumah pameran seni digital maya antarabangsa itu.
Kerjasama universiti di ruang maya
Bertemakan “Fight COVID-19” pameran ini bertujuan untuk menyatu padu dan menyatakan semangat serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu berkaitan pandemik COVID-19 yang sedang merebak ke seluruh dunia. Antara institusi yang menyertai pameran ini ialah Balai Seni Negara, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Akademi Seni Budaya, Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru dari Malaysia; Galeri Nasional Indonesia, Universitas Kristen Manaratha, Universitas Esa Unggul (UEU), Universitas Trisakti, Universitas Pembangunan Jaya (UPJ), Institut Seni Jakarta (ISI) Surakarta, Universitas Komputer Indonesia (UNIKOM) dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) dari Indonesia; Yala Rajabhat University, Thailand; Taihu Wuxi University of China; Alianza Hispana University of Mexico dan Retrovaganza Gallery Warsaw, Poland.
Gabungan pengkarya muda dan veteran
Projek ASEDAS 2020 yang merupakan kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan lebih 524 hasil seni digital oleh 402 pengkarya dari 32 negara di Asia, Amerika, Afrika dan Eropah.
Sebilangan besar peserta terdiri daripada ahli akademik, seniman, pelajar universiti dan sekolah. Pengkarya paling tua ialah seorang profesor berusia 70 tahun dari Mesir. Manakala seorang kanak-kanak berumur 4 tahun dari Indonesia merupakan antara tujuh peserta muda dalam lingkungan usia 4 hingga 14 tahun.
Solidariti menentang pandemik
Melalui pameran ini, peserta dari seluruh dunia bersatu dalam menterjemahkan idea melalui seni digital bagi membuktikan solidariti mereka terhadap pandemik COVID-19. Pengkarya tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan fahaman politik bersatu dalam apa jua kesulitan dan situasi yang mereka hadapi termasuk sekatan pergerakan yang dilaksanakan di negara masing-masing.
Sepanjang tempoh tiga bulan penganjuran pameran maya ini, sebuah galeri maya diwujudkan yang menampilkan video tutorial sebagai panduan kepada pengguna meneroka dan menghayati karya seni maya. Galeri itu dibangunkan oleh pasukan multimedia Universitas Pendidikan Indonesia.
ASEDAS juga dalam proses menerbitkan katalog pameran ASEDAS 2020 dengan e-ISBN, dan buletin khas ASEDAS 2020 dengan ISBN dengan kerjasama Pusat Reka Bentuk Kreatif (CDeC) Politeknik Ibrahim Sultan, Johor.
Selain itu ASEDAS akan juga mengadakan siri Bicara Seni secara dalam talian untuk membahaskan karya-karya yang dipamerkan dengan mengundang karyawan, tokoh akademik dan kurator dari seluruh dunia untuk terus berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pandemik COVID-19.
Disokong pelbagai pihak
Mewakili ASEDAS, saya ingin menyatakan penghargaan atas sokongan Badan Pemulihan Bencana Nasional COVID-19 Indonesia terhadap acara ini. Ketua badan itu Prof Dr Wiku Adisasmito yang turut menyampaikan ucapan melalui rakaman video telah memuji penganjuran ASEDAS 2020.
Menurut beliau, inisiatif ini menunjukkan bahawa seniman dan ahli akademik juga turut menjadi barisan hadapan dengan cara mereka sendiri untuk memerangi wabak COVID-19 bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mematuhi peraturan normal baru dalam kehidupan seharian.
Seorang anggota penel juri dari Mexico, Jorge Gonzales Morales pula menegaskan bahawa inisiatif ASEDAS ini sangat penting bagi menyeru masyarakat dunia agar sentiasa mengamalkan nilai dan normal baharu dalam kehidupan seharian.
Ini termasuk aktiviti kesenian seperti yang dibuktikan oleh masyarakat seni ASEAN dan dunia menerusi ASEDAS 2020 ini khususnya oleh Malaysia dan Indonesia yang mendominasi penyertaan dengan lebih daripada 60 peratus jumlah keseluruhan penyertaan.
Karyawan bersolidariti
Projek ASEDAS 2020 adalah projek khas yang direka untuk membuktikan bahawa walaupun hari ini masyarakat di seluruh dunia menghadapi masa yang sukar, usaha untuk menangani kesan psikologi dan fisiologi masyarakat yang memerangi wabak COVID 19 ini harus dikemas kini.
Justeru, melalui pameran ini, idea-idea seniman daripada usia 4 hingga 70 tahun berjaya diterjemahkan secara simbolik dan kreatif melalui karya seni mereka.
Pelbagai idea kreatif melalui proses visualisasi menterjemahkan solidariti terhadap pandemik COVID-19 dengan menyampaikan mesej dan simbol yang jelas tentang kewujudan, kemusnahan, implikasi positif dan negatif, semangat kepahlawanan barisan hadapan, keadaan ekonomi, kesan psikologi dan fisiologi yang telah dan akan dihadapi oleh umat manusia di muka bumi ini.
Pameran ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kesedaran kemanusiaan khususnya dalam kalangan warga yang mahir internet. Di samping itu, karyawan seni disaran agar terus menyampaikan mesej bagi mengajak masyarakat dunia untuk bekerjasama mendukung usaha dan inisiatif pihak pemerintah dalam perjuangan menentang COVID-19 di seluruh dunia.
Untuk melayari pameran maya ASEDAS 2020, sila ke pautan https://asedas042020.wixsite.com/asedas/virtual-gallery
-- BERNAMA
Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan ialah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Kelantan serta Pengasas / Pengerusi ASEAN Digital Art Society (ASEDAS)