NOTA KAMPUS

PKPP TIDAK SEKAT KEBEBASAN 

01/07/2020 01:58 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran

Malaysia melaksanakan banyak langkah untuk mengekang penularan pandemik COVID-19. Malah, negara kita diiktiraf sebagai antara lima negara tebaik di dunia dalam mengawal pandemik ini.

Pelbagai inisiatif berjaya dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan semuanya bertujuan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan masyarakat di negara ini terjamin dan bebas daripada jangkitan virus itu. Ini termasuklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu diikuti kini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setelah hampir tiga bulan berjuang melalui beberapa fasa PKP, kes baharu yang melibatkan COVID-19 berjaya diturunkan. Kita melihat trend penurunan kes baharu ini sebagai tanda positif yang menggembirakan bukan sahaja kepada masyarakat umum tetapi juga kepada frontliners dan pihak kerajaan di negara ini. Masing-masing mengharapkan agar negara ini bebas daripada pendemik ini secara total dalam masa yang terdekat.

Jika kita amati statistik hari demi hari, walaupun trend penurunan kes baharu di negara ini berlaku semenjak beberapa minggu lepas, namun ia bukanlah bermakna masyarakat di negara ini bebas melakukan apa yang mereka inginkan. Jangkitan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Kelonggaran jalani aktiviti

Justeru, pihak kerajaan memperkenalkan fasa PKPP bagi memberikan sedikit keselesaan, tetapi masih terikat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai langkah berjaga-jaga.

Melalui PKPP ini pihak kerajaan banyak memberi kelonggaran kepada masyarakat di negara ini untuk menjalankan aktiviti seharian termasuk membenarkan rumah ibadat dan pusat beli-belah kembali beroperasi. Sudah tentu, ia membuatkan masyarakat menarik nafas lega kerana berpeluang menunaikan ibadah mengikut cara masing-masing walaupun perlu mematuhi SOP.

Pergerakan merentasi sempadan turut dibenarkan. Semua jabatan kerajaan juga mula beroperasi semula dan pada 24 Jun lalu, sekolah turut dibenarkan dibuka dengan keutamaan kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam. Sepanjang tempoh PKP sebelum ini, pelajar menjalani pembelajaran secara dalam talian.

Terus amalkan SOP

Walaupun kebenaran dan kebebasan diberikan oleh pihak kerajaan kepada masyarakat untuk menjalankan aktiviti seharian mereka, namun ia bukanlah kebebasan tanpa had.

Masyarakat dan semua premis dan agensi yang terlibat masih perlu mematuhi semua SOP yang ditetapkan seperti penjarakan sosial, mengutamakan kebersihan tangan dan memakai penutup hidung dan mulut semasa menjalankan aktiviti harian mereka.

Pematuhan sebegini amat penting kerana ia mampu untuk menurunkan kes baharu di negara ini. Tanpa kawalan itu, kita bimbang kes baharu akan melonjak naik seperti yang berlaku di Singapura dan Perancis. Pastinya, masyarakat negara ini tidak mahu mengulangi kehidupan yang pernah dilalui semasa fasa pertama PKP dilaksanakan.

Oleh yang demikian, untuk memastikan Malaysia terus cemerlang dalam menangani COVID-19 ini, setiap lapisan masyarakat diwajibkan untuk mematuhi segala peraturan yang ditetapkan walaupun negara ketika ini sedang melalui fasa PKPP.

Janganlah ghairah meraikan kebebasan ini tanpa batasan kerana tindakan itu akan mengundang kesulitan kemudian hari.

Benar, kita semua inginkan kebebasan ibarat merpati terbang berkawan, namun apakan daya demi keselamatan semua, kita perlu mengehadkan kebebasan dan bersatu menjaga diri masing-masing.

Hakikatnya, kejayaan semua rakyat Malaysia membendung COVID-19 ini adalah kejayaan negara di mata dunia. Jika dunia berbangga dengan pencapaian kita, apalagi kita sebagai rakyat Malaysia.

--BERNAMA

Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)