Kebelakangan ini isu sosial secara tidak langsung telah menjadi penawar kepada usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Istilah seperti penjarakan sosial, norma sosial masyarakat baharu, disiplin sosial, tanggungjawab sosial dan keperluan mengawal dari bersosial dalam kelompok yang besar menjadi salah satu ukuran kepada kejayaan usaha menangani penularannya. Sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia dan seluruh dunia, kerajaan Malaysia berusaha melakukan terbaik dengan pelbagai inisiatif pada peringkat negeri dan daerah dalam membantu rakyat sendiri dan malah bukan warganegara juga telah disantuni dengan penuh kebijaksanaan dan keprihatinan yang tinggi.
Selagi vaksin atau ubat secara ‘klinikal’ masih belum mampu wujud untuk melawan pandemik COVID-19 secara total, ubat ‘sosial’ telah dijadikan sebagai benteng utama sementara usaha pembangunan vaksin yang sesuai sedang giat dijalankan. Ubat ‘sosial’ ini adalah sandaran kepada pendekatan pencegahan berbanding pemulihan dan penulis percaya sekiranya ubat ‘sosial’ ini boleh wujud dalam konteks vaksin, pil atau tablet secara fizikalnya adalah berbentuk ‘pil sikap’ atau ‘pil perubahan sikap’.
Sikap dan keperluan manusia
Bidang psikologi sosial sering membincangkan elemen sikap dan perubahan sikap serta objek terhadap sikap dalam memahami pembentukan tingkah laku manusia. Justeru penulis, selaku penyelidik psikologi sosial dan aktivis perubahan sikap individu dan masyarakat berpendapat pil ‘sikap’ ini harus diketengahkan dalam perbincangan isu sosial pasca-PKP/PKPB, terutamanya dalam kalangan penduduk dan warga pelbagai etnik di Malaysia secara keseluruhannya.
Sebagaimana yang difahami umum, masyarakat berperanan penting dalam kelangsungan individu manusia. Manusia adalah lemah, dan pada waktu yang sama mempunyai banyak keperluan. Pada peringkat awal penularan COVID-19, seringkali kita mendengar pernyataan yang bersifat ‘sikap lemah’ seperti “Ala...selsema je pun, apa nak takut’ atau “...berserah je ... nanti semua pun akan mati, kan?’ ... dan pelbagai lagi yang mengiyakan manusia ini sememangnya lemah dalam pelbagai perkara dalam menangani keperluan psikologi dan emosi manusia.
Keperluan-keperluan tersebut tidak mampu dipenuhi secara bersendirian, tetapi memerlukan orang lain. Dengan demikian masyarakat adalah berfungsi untuk memenuhi keperluan-keperluan manusia. Di sinilah penawarnya adalah berbentuk ‘sosial’. Ini amat kritikal dalam era krisis kesihatan awam yang kini melanda masyarakat kita ketika ini.
Fahami fungsi masyarakat
Fungsi-fungsi masyarakat secara amnya bolehlah dikategorikan kepada fungsi umum dan fungsi khusus. Fungsi umum masyarakat adalah termasuk mengumpulkan manusia-manusia pada waktu dan tempat atau kawasan yang sama bagi membolehkan mereka berhubung antara satu dengan yang lain untuk tujuan antara lain mengamalkan budaya yang sama, mengekalkan rasa selamat dan seumpamanya. Masyarakat juga menyediakan ahli-ahlinya cara berkomunikasi, iaitu menggunakan lambang-lambang yang telah diterima bersama, khususnya bahasa. Lambang-lambang ini adalah berbeza-beza antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain.
Begitu juga masyarakat telah menyediakan ahli-ahli yang peraturan bertingkah laku atau norma sosial, yang ahlinya sendiri tidak perlu lagi menciptanya. Namun, atas saranan dan nasihat pemimpin negara kita, masyarakat hendaklah menerima suatu ‘normal baharu’ dalam era COVID-19 ini. Di samping itu, masyarakat juga diharap boleh menyediakan sistem stratifikasi kedudukan ahli-ahli dalam masyarakat yang baharu dengan setiap individu mempunyai kedudukan tertentu yang baharu dalam masyarakat dalam hubungan dengan orang lain, dan daripada kedudukan itu disertakan juga peranan yang dijangka akan dilakukannya.
Penjarakan sosial adalah salah satu contoh yang jelas. Walaupun terdapat hujah mengatakan bahawa istilah penjarakan sosial lebih cenderung kepada penjarakan fizikal secara realiti dan hakikinya, namun perdebatan ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam artikel yang lain (oleh penulis dalam siri penulisan seterusnya). Maka, kedudukan fizikal dan sosial ini secara langsung akan berubah berbanding dengan stratifikasi sosial sebelum ini.
Fungsi khusus masyarakat pula adalah merujuk kepada peranan yang dimainkan dalam memenuhi keperluan-keperluan utama ahli-ahli masyarakat. Sebagaimana yang dijelaskan di atas, keperluan-keperluan asas manusia adalah dipenuhi melalui institusi-institusi sosial yang dicipta oleh manusia. Misalnya, masyarakat menyediakan cara yang tersusun dan cekap bagaimana untuk memperbaharui ahli-ahlinya dan menyalurkan budaya kepada ahli-ahli yang baharu. Dalam masyarakat Melayu, adanya institusi perkahwinan dan juga ada institusi keluarga.
Begitu juga masyarakat menyediakan institusi pendidikan yang berfungsi menyalurkan budaya masyarakat kepada ahli-ahli baharu dan juga mengajarkan kemahiran baharu kepada mereka. Sementara itu, institusi ekonomi pula berfungsi untuk mengeluar dan mengagihkan barangan dan perkhidmatan kepada ahli-ahlinya, agar setiap ahli dapat terus hidup. Institusi kerajaan pula berperanan melindungi ahli-ahli daripada ancaman dan mewujudkan ketenteraman dan keselamatan. Institusi agama dapat memenuhi keperluan spiritual dan kepercayaan kepada Tuhan. Kesemua ini hanyalah sebahagian daripada sumbangan masyarakat kepada ahli-ahlinya.
Cabaran institusi sosial masyarakat
Namun, dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan/ Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kesemua definisi institusi sosial masyarakat ini telah melalui suatu anjakan paradigma yang mencabar pemerhatian penyelidik dan penganalisis sosial tempatan dan luar negara. Justeru, pemahaman terhadap keperluan sosial ahli masyarakat semakin berubah dan seharusnya dapat dipenuhi dalam masa yang singkat dan tepat waktunya.
Masyarakat secara umum merupakan satu kelompok manusia yang tinggal setempat, akibat daripada perhubungan antara ahli-ahlinya, menghasilkan peraturan-peraturan hidup yang dikongsi bersama iaitu budaya. Persoalannya, apakah budaya yang berlandaskan kepada normal baharu? Di dalam masyarakat hubungan antara ahli-ahlinya adalah berpola atau berstruktur, dengan setiap ahlinya mempunyai peranan yang dimainkan berdasarkan kepada status mereka.
Masyarakat juga berfungsi besar kepada ahli-ahlinya. Dari segi jenis-jenisnya, masyarakat dapat dikategorikan berdasarkan kepada tahap teknologi yang dimiliki oleh sesuatu masyarakat tersebut. Dengan demikian jenis-jenis masyarakat dikategorikan daripada yang primitif kepada yang moden, iaitu masyarakat pascaindustri. Tidak semua masyarakat akan terus kekal wujud; terdapat masyarakat yang pernah wujud namun kini telah pupus.
Namun persoalan yang seterusnya, dan yang agak mengerikan adalah, adakah masyarakat normal lama akan pupus dan digantikan dengan masyarakat yang mengamalkan normal-normal baharu ini akan terus cemerlang dan berjaya? Beberapa faktor menyumbang kepada terus wujudnya masyarakat, antaranya ialah ada tidaknya sumber kehidupan pasca-COVID-19, penyaluran budaya-budaya baharu, memberikan perlindungan dan lain-lain lagi. Pengetahuan tentang masyarakat ini memudahkan kita untuk memahami keperluan komuniti dan masyarakat era dan pasca-COVID-19 di Malaysia.
Tanggungjawab kerajaan persekutuan adalah memastikan kesihatan rakyat berada pada tahap terbaik. Rantaian COVID-19 perlu diputuskan sementara vaksin wabak ini masih belum dijumpai. Justeru, berdasarkan satu analogi dalam bidang perubatan dan klinikal, penulis yakin jika rakyat ketika ini diberikan pilihan sama ada mengambil pil atau ubat ‘sosial’ yang mampu mengubah sikap (makan pil untuk survival dalam era normal baharu) dan preskripsi ubat ‘sosial’ (ubat untuk norma sosial baharu), mereka akan sanggup menelan pil dan ubat ini demi kelangsungan hidup mengharungi ancaman COVID-19.
Seperti dalam perkara lain, kita berharap pemikiran rakyat Malaysia juga perlu keluar daripada normal lama, iaitu kepentingan hak sosial kebersamaan dan kasih sayang terhadap warganegara dan bukan warganegara dari pelbagai etnik dan agama, kepada normal baharu, iaitu tanggungjawab dan amanah secara kolektif dan ikhlas. Isu seperti xenophobia dan rasisme juga akan dibincangkan dalam penulisan yang seterusnya dan lebih sesuai serta berfokus kepada topik yang berkaitan. Semoga ia akan memberi keinsafan kepada kita untuk melihat kehidupan di bumi Malaysia ini dapat diharungi dengan lebih rasa lebih syukur dan hati yang tulus ikhlas.
-- BERNAMA
Dr. Mohamad Ibrani Shahrimin Bin Adam Assim merupakan Profesor Madya di Jabatan Sains Sosial, Fakulti Pertanian dan Sains Makanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Sarawak (UPMKB Sarawak)
(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)