Dalam era pendidikan tinggi yang semakin mencabar, hubungan antara pensyarah dan pelajar tidak seharusnya terhenti di bilik kuliah sahaja.
Salah satu pendekatan yang berkesan untuk memperkukuh hubungan ini adalah melalui sistem mentor-mentee.
Program mentor-mentee bukan sahaja dilihat membantu dalam pembangunan akademik dan profesional pelajar, tetapi juga memainkan peranan yang siknifikan dalam meningkatkan penglibatan alumni dengan universiti.
Hubungan yang erat ini mampu mencetuskan ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik dan lestari.
Kepentingan mentor-mentee bimbing pelajar dalam akademik
Salah satu kepentingan utama program mentor-mentee adalah membimbing pelajar dalam perjalanan akademik dan kerjaya mereka.
Pensyarah yang berperanan sebagai mentor dapat memberikan bimbingan secara langsung kepada mentee dalam aspek pembelajaran, penyelidikan, serta perkembangan kerjaya.
Melalui hubungan yang rapat ini, pelajar lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan dengan ilmu dan pengalaman yang lebih mendalam.
Selain itu, hubungan rapat antara mentor dan mentee dapat membantu pelajar mengatasi masalah pembelajaran, tekanan akademik, serta kebimbangan mengenai masa depan mereka.
Selain itu, program mentor-mentee juga dapat meningkatkan motivasi dan kepercayaan diri dalam kalangan pelajar.
Kajian mengenai mentor-mentee
Menurut teori yang dibangunakan dalam tahun 1985 iaitu Self-Determination oleh Deci dan Ryan, individu yang mendapat sokongan dalam aspek autonomi, kompetensi, dan hubungan sosial akan lebih bermotivasi untuk mencapai kejayaan.
Pensyarah yang bertindak sebagai mentor dapat membantu pelajar dalam mengenal pasti kekuatan dan potensi diri mereka, sekali gus meningkatkan keyakinan dalam membuat keputusan berkaitan akademik dan kerjaya.
Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang menerima bimbingan mentor lebih cenderung mencapai prestasi akademik yang lebih baik serta lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.
Penglibatan alumni dalam mentor-mentee
Dalam konteks penglibatan alumni, program mentor-mentee boleh menjadi platform yang berkesan untuk mengekalkan hubungan jangka panjang antara universiti dan bekas pelajarnya.
Alumni yang pernah mendapat manfaat daripada program ini berkemungkinan besar untuk kembali menyumbang kepada alma mater mereka dalam bentuk pengalaman, peluang pekerjaan, atau dana biasiswa.
Dengan cara ini, universiti dapat membina rangkaian yang kukuh dan berterusan dengan para graduan. Alumni juga boleh berperanan sebagai mentor kepada pelajar sedia ada, memberikan perspektif industri serta panduan berguna mengenai realiti dunia pekerjaan.
Universiti ternama amal system mentor-mentee
Pendekatan ini bukan dogengan lagi bagi beberapa universiti ternama seperti Harvard dan Oxford telah mengamalkan sistem mentor-mentee yang berstruktur dengan baik, di mana alumni yang berjaya dilibatkan sebagai mentor kepada pelajar sedia ada.
Melalui program ini, pelajar mendapat pendedahan kepada pengalaman dunia sebenar dan peluang rangkaian profesional yang lebih luas.
Ini membuktikan bahawa hubungan mentor-mentee tidak hanya bermanfaat semasa tempoh pengajian, tetapi juga memberi impak jangka panjang dalam pembangunan kerjaya pelajar.
Malah, banyak syarikat antarabangsa lebih cenderung untuk mengambil graduan yang mempunyai pengalaman mentor-mentee kerana mereka dilihat lebih matang dan bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Salah satu universiti lain yang turut mengaplikasikan sistem mentor-mentee dengan jayanya adalah Queensland University of Technology (QUT) di Brisbane, Australia.
QUT menawarkan program mentor-mentee yang menghubungkan pelajar dengan alumni dalam dan luar negara dan profesional dalam industri masing-masing.
Program ini bukan sahaja membantu pelajar dalam membangunkan kemahiran akademik dan profesional tetapi juga memberikan akses kepada rangkaian industri yang luas.
QUT turut menggunakan platform dalam talian untuk memudahkan interaksi antara mentor dan mentee serta memastikan bimbingan yang lebih efektif dan berstruktur. Universiti ini juga menyediakan bengkel latihan dan sesi bimbingan khas untuk meningkatkan keberkesanan hubungan mentor-mentee.
Selain QUT, University of Melbourne juga menawarkan program mentor-mentee yang memberi tumpuan kepada pembangunan akademik dan kerjaya pelajar.
Program ini menghubungkan pelajar dengan alumni berpengalaman dalam bidang masing-masing serta profesional industri yang berkaitan.
Melalui sesi bimbingan berkala, mentee mendapat nasihat berharga mengenai hala tuju akademik, pilihan kerjaya, dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia pekerjaan.
University of Melbourne turut menyediakan pelbagai bengkel dan sumber dalam talian bagi menyokong keberkesanan hubungan mentor-mentee.
Selain itu, universiti ini menekankan kepentingan pembangunan profesional dan etika kerja bagi mentee agar mereka lebih kompetitif dalam pasaran kerja global.
Tambahan daripada itu, RMIT University di Australia turut melaksanakan sistem mentor-mentee melalui program RMIT Career Mentoring.
Program ini direka untuk menghubungkan pelajar dengan mentor yang terdiri daripada alumni dan profesional industri bagi membantu mereka membina keyakinan, memperoleh wawasan tentang dunia pekerjaan, dan memperluaskan rangkaian profesional.
RMIT menekankan kepentingan hubungan dua hala dalam bimbingan, di mana mentee digalakkan untuk aktif dalam menetapkan matlamat pembelajaran mereka dan berinteraksi secara berkesan dengan mentor.
Program ini juga merangkumi latihan pembangunan kemahiran insaniah, seperti komunikasi efektif, penyelesaian masalah, dan kepimpinan, yang sangat berguna untuk pelajar dalam kerjaya mereka.
Mentor-mentee turut beri kelebihan kepada pensyarah
Selain daripada manfaat kepada pelajar dan alumni, program mentor-mentee juga memberikan kelebihan kepada pensyarah sendiri.
Dengan membimbing pelajar dan alumni, pensyarah dapat memperluaskan pengalaman akademik dan profesional mereka. Interaksi dengan pelbagai generasi pelajar membolehkan pensyarah memahami trend semasa dalam dunia pendidikan dan pekerjaan, sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran serta penyelidikan mereka.
Pensyarah juga dapat membina hubungan lebih erat dengan industri dan komuniti akademik global melalui penglibatan aktif dalam program mentor-mentee.
Kesinambungan ilmu antara generasi
Dalam dunia akademik yang semakin menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat, sistem mentor-mentee juga memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan ilmu antara generasi.
Menurut teori klasik berkaitan pembelajaran sosial oleh Bandura pembelajaran bukan hanya berlaku melalui pengalaman langsung tetapi juga melalui pemerhatian dan interaksi dengan individu yang lebih berpengalaman.
Oleh itu, hubungan mentor-mentee dapat menjadi medium terbaik untuk memindahkan ilmu, pengalaman, dan nilai kepada generasi pelajar yang akan datang.
Program ini juga boleh menjadi asas bagi pembangunan kepimpinan dalam kalangan pelajar, menjadikan mereka lebih bersedia untuk mengambil peranan penting dalam masyarakat.
Bagi memastikan keberkesanan program mentor-mentee, universiti perlu menyediakan garis panduan yang jelas dan sistem sokongan yang kukuh.
Sebagai contoh, sesi pertemuan berkala antara mentor dan mentee harus digalakkan, selain daripada menyediakan platform rasmi seperti portal dalam talian untuk memudahkan komunikasi dan pemantauan perkembangan mentee.
Dengan adanya sistem yang tersusun, manfaat program ini dapat dimaksimumkan kepada semua pihak yang terlibat.
Universiti juga perlu mengadakan sesi refleksi dan penilaian berkala untuk memastikan program ini terus relevan dan memberi impak positif kepada pelajar serta mentor.
Kesimpulannya, sistem mentor-mentee dalam di universiti merupakan satu pendekatan yang strategik untuk meningkatkan penglibatan dengan alumni dan pelajar.
Program ini bukan sahaja membantu pelajar dalam aspek akademik dan pembangunan kerjaya, tetapi juga mewujudkan hubungan jangka panjang yang menguntungkan universiti.
Dengan pelaksanaan yang berkesan, hubungan mentor-mentee dapat menjadi pemangkin kepada ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan berkualiti serta memastikan kesinambungan ilmu antara generasi.
Bak kata pepatah lama “Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Bagi unversiti tempatan di Malaysia, boleh mulakan sebagai pembuka langkah tirai 2025.
-- BERNAMA
Profesor Madya Md. Asrul Nasid Masrom ialah Timbalan Dekan (Penyelidkan, Pembangunan dan Penerbitan), Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pengurusan Infastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM), Fakulti Pengurusan teknologi dan Perniagaan (FPTP) UTHM.