KETAMADUNAN

PENTINGNYA ETIKA DAN SUSILA

05/08/2020 08:23 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Prof Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw

dan Abdul Hamid Moiden

Etika merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia. Manusia yang beretika sentiasa dipandang mulia dari kaca mata masyarakat. Mereka dihormati, pandangan serta idea mereka menjadi rujukan masyarakat.

Sejak awal peradaban manusia, tamadun-tamadun utama dunia meletakkan etika setaraf dengan agama dan kepercayaan. Raja-raja pada zaman dahulu menitahkan para sarjana dan pendeta mengarang pelbagai kitab etika dan susila sebagai pedoman kehidupan untuk masyarakat.

Etika boleh didefinisikan sebagai amalan baik atau prinsip dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Etika begitu luas cabang pengertiannya sehingga merangkumi bidang pendidikan, perniagaan, hubungan kemasyarakatan dan hubungan antarabangsa.

Susila dari segi terminologi adalah aturan-aturan hidup yang baik. Susila sering kali dikaitkan dengan kesopanan. Orang yang bersusila adalah orang yang berkelakuan baik dan berakhlak mulia.

Kami merasakan pentingnya kita berfikiran positif dan baik sangka dalam setiap tindakan kita. Kehidupan manusia adalah seperti roda dan penuh dengan pelbagai asam garam kehidupan dengan adanya rasa manisnya kenangan, masinnya kesakitan, pahit kedukaan dan masamnya pengkhianatan serta bermacam-macam lagi perasa kehidupan yang cukup unik sifatnya.

COVID-19 dan refleksi diri

Kenangan semasa pandemik COVID-19 banyak mengajar kita erti kesabaran dan berfikiran matang sebelum membuat sebarang keputusan. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membataskan pergerakan kita dan berjaya meluaskan sempadan pola pemikiran kita. Terkurung di rumah memberikan kita peluang untuk muhasabah diri melalui pembacaan dan pengamatan.

PKP juga memberikan kita ilham untuk menilai siapa yang harus kita hargai dan ingati dan siapakah yang masih mengingati kita. Selain itu, adakah kita masih mementingkan etika dan susila ketika berdepan dengan COVID-19? Adakah COVID-19 berjaya meruntuhkan tembok sifat individualistik dalam diri kita?

Adakah kita lebih banyak menghulur bantuan atau lebih kerap menadah tangan menerima sumbangan? Adakah COVID-19 dan kekangan kehidupan menghilangkan jati diri kita? Adakah COVID-19 menjadikan sensitiviti kemasyarakatan semakin malap dan pudar dari sanubari kita?

Adakah selama ini kita mengenang budi orang lain? Adakah budi kita turut dikenang oleh orang lain? Soalan-soalan timbal balik ini menjadi kayu pengukur untuk kita muhasabah diri dan menilai orang lain.

Budi dikenang

Kami tertarik membincangkan isu-isu berkaitan pentingnya etika dan susila dalam kehidupan hari ini terutama kepada warga emas. Janganlah kemajuan teknologi, urbanisasi dan perindustrian menyebabkan kita kehilangan norma-norma etika dan susila dalam menyantuni warga tua.

Tindakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal telah meluangkan masa bertemu dengan seorang wanita tua, Puan Ah Siong, yang sering memberikannya pau sewaktu beliau masih kecil mendapat liputan meluas di media arus perdana di negara kita.

Beliau membawa pau dan topeng muka sebagai buah tangan untuk Puan Ah Siong. Walaupun tiga dekad sudah berlalu, namun budi sering kali menerima pau tidak pernah dilupakannya. Inisiatif beliau mencari dan bertemu Puan Ah Siong amat menyentuh hati jutaan rakyat Malaysia.

Tindakan beliau adalah potret keikhlasan nurani yang mencerminkan sikap mengenang budi tanpa mengira bangsa dan agama. Tindakan sebegini harus diteladani terutamanya dalam menyantuni warga emas ketika dunia dilanda wabak COVID-19.

Terima kasih Nik Ezanee kerana menunjukkan kami satu model etika dan susila yang melangkaui sempadan bangsa dan agama.

Selain itu, sikap petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan iaitu Inspektor Kesihatan Shahir Razali dan Mastura Maznor yang menyantuni warga emas ke pusat ujian saringan COVID-19 di Pasar Pudu mendapat liputan meluas di media sosial.

Gambar-gambar yang viral di media sosial menunjukkan Shahir Razali yang memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) mendukung seorang wanita warga emas berbangsa Cina dan Mastura Maznor pula yang berada di sisinya kelihatan memegang ‘walker’ mak cik tersebut.

Mereka adalah wira negara kerana mereka benar-benar menghayati slogan Kementerian Kesihatan ‘Kami Sedia Membantu’ seperti yang tertera di sarung tangan mereka, We Love Malaysia, Stay Safe (Kami Sayang Malaysia, Kekal Selamat).

Mereka mengamalkan etika kerja yang tinggi dan pada masa yang sama bersusila terhadap warga emas. Budi yang dihulur mereka tanpa mengharapkan balasan pula dibalas balik oleh warga netizen dengan pelbagai pujian.

Mesej kehidupan sebagai panduan

Kesimpulannya, kehidupan seharian kita menyajikan pelbagai mesej secara langsung dan tidak langsung. Banyak mesej yang boleh dijadikan sebagai panduan kehidupan. Mesej-mesej ini sarat dengan pelbagai elemen etika dan susila.

Objektif utama kedua konsep ini adalah untuk menjadikan manusia bersifat mulia, menghindari diri daripada kejahatan dan memelihara keharmonian dalam masyarakat. Ibu bapa perlu menyemai konsep etika dan susila dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Tempoh PKP ini seharusnya kita gunakan untuk muhasabah diri dengan mencari etika dan susila yang terlucut dari jiwa kita. Terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang turun padanng menyantuni masyarakat tanpa mengira masa.

Kami juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan. Budi kalian tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Budi baik kalian sentiasa menjadi kenangan terindah rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Abdul Hamid Moiden merupakan pelajar Doktor Falsafah (Pendidikan) di Pusat Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)