* Artikel ini ditulis sempena Hari Kemanusiaan Sedunia yang disambut pada 19 Ogos setiap tahun.
Khamis lalu, media antarabangsa melaporkan ada tiga pesawat dari Qatar yang membawa bantuan kemanusiaan dari negara teluk itu mendarat di Beirut, Lubnan.
Pada hari sama, tanpa liputan media, ada empat sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia turut menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri di Beirut.
Mereka tiba di Lubnan melalui penerbangan komersial dengan izin dan pengetahuan Wisma Putra.
Empat sukarelawan anak muda yang mewakili lima NGO iaitu Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Malaysia For Syria (MFS), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), MyFundAction dan KitaFund itu dalam misi kemanusiaan membantu warga Lubnan yang terjejas akibat insiden letupan di Pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu.
Difahamkan, mereka membawa sejumlah wang sumbangan rakyat Malaysia yang agak signifikan untuk diagihkan kepada mangsa terjejas, khususnya lebih 300,000 individu yang dilaporkan hilang tempat tinggal akibat letupan di Pelabuhan Beirut itu.
Lima hari sebelum itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata bahawa Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan RM1 juta untuk membantu mangsa terjejas di Beirut melalui Palang Merah Lubnan (LRC).
Persoalannya, kenapa kelompok sukarelawan Malaysia ini mengambil risiko untuk membantu warga Lubnan ketika masyarakat dunia masih berdepan dengan ancaman COVID-19? Mengapa tidak disalurkan saja sumbangan itu ke Lubnan atau terdapat asbab yang kukuh di sebalik risiko yang diambil itu?
NGO MALAYSIA HANTAR BANTUAN WALAUPUN RISIKO COVID-19
Selaku wartawan yang terbabit dalam liputan di zon konlik dan bencana, penulis memahami kenapa kumpulan sukarelawan anak muda itu terbang ke Lubnan sekalipun menyedari risiko relatif ancaman COVID-19.
Setakat semalam, Lubnan merekodkan 9,337 kes positif COVID-19 dengan 105 kes kematian sejak penularan pandemik itu Februari lalu.
Hakikatnya, sebagai sukarelawan atau petugas kemanusiaan, fasa kecemasan adalah fasa terpenting yang memerlukan tindakan segera. Ini termasuklah bantuan keperluan asas yang meliputan perubatan dan makanan.
Secara umumnya, terdapat tiga fasa dalam sesuatu konflik atau bencana iaitu fasa kecemasan, fasa pemulihan, fasa rehabilitasi dan pembangunan semula.
Kebiasaannya, fasa kecemasan akan menyaksikan pembabitkan banyak pihak dalam sesuatu insiden konflik atau bencana, termasuk kehadiran kelompok wartawan dan petugas kemanusiaan.
Jika natijah seseorang wartawan berada di lokasi kejadian untuk melaporkan berita secara langsung daripada “ground zero”, sukarelawan atau petugas kemanusiaan pula menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada kelompok terjejas.
Dari sudut lain, media sosial membuka ruang kepada sukarelawan atau petugas kemanusiaan untuk turut melaporkan situasi (tidak semestinya dalam bentuk berita) dari lokasi kejadian.
Berbalik kepada persoalan di atas, hakikatnya, pekerja kemanusiaan sememangnya menjadi kelompok individu penting yang mempunyai peranan tersendiri di zon konflik atau bencana.
GERAK KERJA ICRC BANTU MANGSA KONFLIK DI FILIPINA
Pekerja kemanusiaan misalnya yang berkhidmat dengan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) ditugaskan ke zon konflik untuk memberi bantuan, bukan hanya di fasa kecemasan tetapi sehingga ke fasa pembangunan semula.
Dengan kata lain, gerak kerja ICRC yang juga institusi bebas berpangkalan di Geneva adalah bersifat jangka panjang.
Pasukan ICRC di Mindanao, Filipina misalnya, berada di Iligan, Marawi City dan Lanao del Sur sejak pertempuran meletus di kawasan itu pada Mei hingga Oktober 2017 yang menyaksikan kira-kira 350,000 penduduk menjadi pelarian dalaman (IDP).
Kini selepas tiga tahun konflik yang menyaksikan pertempuran antara tentera Filipina dengan kumpulan militan Daesh dan Abu Sayyaf yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa itu, ribuan penduduk masih tidak mempunyai tempat tinggal dan bergantung dengan bantuan asing.
Mereka juga masih bergantung dengan trak-trak air untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan harian.
“Kesan-kesan konflik (pertempuran 2017) masih jelas dan ramai yang belum pulang ke rumah mereka,” kata pegawai air dan habitat ICRC, Nicolas Laurent ketika dihubungi penulis dari Marawi City baru-baru ini.
Di Marawi City dan Lanao del Sur, pasukan kejuruteraan ICRC membantu membangunkan sistem bekalan air di wilayah itu yang terjejas teruk akibat pertempuran selama lima bulan pada tahun 2017.
Sekurang-kurangnya 8,000 penduduk tempatan dan pelarian IDP bergantung kepada sistem bekalan air yang diuruskan Marawi City Water Disrict (MCWD) yang mana bangunannya turun dibaik pulih ICRC.
Di Pusat Evakuasi Bito di Lanao del Sur, ICRC dengan kerjasama Palang Merah Filipina (PRC) menyalurkan bekalan air secara harian melalui trak-trak air ke pusat penempatan sementara didiami 200 keluarga IDP.
Ketika kekangan perintah kawalan pergerakan di Filipina akibat COVID-19 sebelum ini, ICRC membekalkan klorin dan bahan api kepada trak-trak air terbabit.
Kini ICRC dalam proses untuk membina telaga bawah tanah di Pusat Evakuasi Bito bagi memastikan bekalan air lebih stabil dan lestari.
Selain turut membangunkan sistem bekalan air di dua hospital di Temparan, Lanao del Sur (hospital ini berfungsi sebagai pusat perubatan dan penempatan pelarian dalaman ketika pertempuran pada 2017), Nicolas berkata ICRC dalam proses membangunkan semula Ragayan Elementary School di wilayah sama.
Sekolah dengan populasi 250 pelajar itu terjejas akibat pertempuran bersenjata pada 2016, perlu dibangunkan semula kerana berada dalam keadaan daif yang antara lain tidak mempunyai tandas.
MANDAT MUNGKIN BERBEZA, TETAPI RISIKONYA SAMA
Hakikatnya, gerak kerja ICRC di Filipina ini membuktikan betapa pentingnya peranan institusi dan badan-badan kemanusiaan, antarabangsa atau tempatan, untuk membantu mangsa yang terjejas akibat konflik atau bencana.
Sekalipun NGO tempatan bergerak dalam kerangka sendiri berbanding ICRC dengan mandat lebih besar, peranan pihak terbabit secara asasnya adalah sama iaitu membantu kelompok terjejas atas dasar kemanusiaan.
Risiko dihadapi sukarelawan atau petugas kemanusiaan terbabit juga sama, sekalipun skala bantuan dan fasa gerak kerja bantuan adalah berbeza mengikut mandat dan kemampuan organisasi masing-masing.
Berbalik kepada sukarelawan Malaysia yang kini berada di Lubnan, sepertimana pekerja kemanusiaan di zon konflik dan bencana lain, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang COVID-19.
Pelitup separuh muka tetap perlu dipakai, penjarakan sosial dan mencuci tangan dengan kerap masih perlu diamalkan bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Apa yang pasti, mereka tetap perlu dikuarantin selama dua minggu selepas pulang ke Malaysia nanti, menjadikan keseluruhan tempoh misi kemanusiaan ke Lubnan adalah selama sebulan, termasuk dua minggu di lapangan (Beirut, Lubnan).
-- BERNAMA
Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan liputan di zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis tentang isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.