Bila sebut kelestarian, ramai terbayang pokok hijau, tenaga solar atau kereta elektrik. Jarang sekali orang kaitkan dengan meja pejabat, mesin pencetak, atau tabiat kita semasa bekerja.
Namun, di Universiti Sains Malaysia (USM), amalan harian sekecil menutup suis lampu, menggunakan tumbler sendiri, atau mengasingkan sampah boleh memberi kesan yang jauh lebih besar daripada yang kita sangka. Ia bukan sahaja baik untuk alam sekitar, tetapi turut mengangkat nama universiti ke peringkat dunia.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mengingatkan bahawa ranking hanyalah pengiktirafan dari luar. Apa yang lebih penting ialah bagaimana nilai kelestarian benar-benar diterapkan dalam kehidupan kampus dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kami mahu buktikan kampus ini bukan sekadar tempat belajar, tapi juga ruang hidup yang menghidupkan nilai kelestarian,” tegas beliau.
Inilah maksud sebenar di sebalik konsep Pejabat Hijau, sebuah inisiatif yang menghubungkan budaya kerja hijau dengan reputasi global melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Perkara kecil, impak besar
Apabila sebuah pejabat di USM mengurangkan penggunaan kertas dengan menggalakkan cetakan dua muka, ia bukan sahaja menjimatkan kos operasi.
Amalan itu secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, selari dengan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab). Data ini kemudian dilaporkan dalam SDG Report USM, yang menjadi asas kepada penilaian antarabangsa seperti Times Higher Education (THE) Impact Rankings.
Begitu juga dengan pengasingan sampah. Apabila staf meluangkan masa beberapa saat untuk memastikan botol plastik tidak bercampur dengan sisa makanan, ia memudahkan proses kitar semula.
Kesannya? Peratusan sisa kitar semula meningkat, dan ini mengukuhkan bukti bahawa USM serius terhadap kelestarian.
Dari meja kerja ke ranking global
Hubungan antara Pejabat Hijau dan reputasi global mungkin nampak jauh, tetapi sebenarnya sangat rapat.
THE Impact Rankings menilai universiti berdasarkan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Setiap data penggunaan tenaga, air, sisa, dan inisiatif komuniti dikumpul, dianalisis, dan dilaporkan.
Bayangkan ini, seorang staf menutup komputer riba selepas waktu kerja, satu unit pejabat menetapkan suhu penghawa dingin pada 24–26 darjah Celsius dan staf menggantikan polisterin dengan bekas mesra alam semasa mesyuarat.
Semua tindakan ini nampak remeh di peringkat individu, tetapi apabila digabungkan di seluruh universiti, ia membentuk data yang kukuh untuk menunjukkan USM berada di landasan kelestarian global.
Inilah yang akhirnya melonjakkan USM ke kedudukan Top-14 dunia dalam THE Impact Rankings 2025, termasuk menjadi universiti nombor satu global untuk SDG 1 (Pembasmian Kemiskinan), SDG 16 (Institusi Kukuh dan Keadilan), serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).
Hijau yang membina imej
Reputasi bukan hanya soal kedudukan dalam ranking, tetapi juga persepsi masyarakat. Apabila orang luar melihat USM sebagai universiti yang komited terhadap kelestarian, mereka akan lebih yakin dengan keupayaan universiti ini sebagai peneraju dalam pendidikan, penyelidikan dan pembangunan komuniti.
Imej ini membawa banyak manfaat kepaada pelajar antarabangsa, disamping itu juga, penyelidik global lebih yakin untuk bekerjasama dengan institusi yang selari dengan agenda kelestarian dan rakan industri melihat USM sebagai pilihan strategik untuk projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Hijau, dalam konteks ini, bukan sekadar warna alam, tetapi jenama yang mengangkat nama USM di mata dunia.
Kisah dari pejabat biasa
Di balik pencapaian ini, ada kisah sederhana yang jarang diceritakan. Misalnya, seorang staf di sebuah pejabat pentadbiran USM mula membawa bekas makanan sendiri ke kantin kerana tidak mahu lagi menggunakan plastik sekali guna.
Rakan-rakannya kemudian terinspirasi, dan kini hampir satu pejabat memilih untuk melakukan perkara yang sama.
Di pusat pengajian lain pula, staf sepakat untuk mengurangkan penggunaan penghawa dingin dengan membuka tingkap pada waktu pagi. Hasilnya, udara segar kampus masuk, suasana pejabat jadi lebih ceria, dan bil elektrik menurun. Walaupun kecil, data ini dikumpulkan sebagai sebahagian daripada laporan kelestarian.
Apa yang menarik, staf-staf ini tidak pernah terfikir bahawa tindakan harian mereka akhirnya menyumbang kepada pencapaian global USM. Tetapi inilah realitinya, hijau membina reputasi.
Hijau sebagai budaya kerja
Lebih penting daripada data dan ranking ialah perubahan budaya. Pejabat Hijau menjadikan warga kampus lebih sedar bahawa kelestarian bukan sesuatu yang “luar biasa” tetapi sebahagian daripada rutin harian. Ia menjadikan kelestarian bukan sebagai projek sementara, tetapi gaya hidup kerja yang berterusan.
Apabila budaya ini sebati, reputasi global datang dengan sendirinya. kerana setiap staf sudah menjadi duta kecil kelestarian. Dari situ, imej USM sebagai universiti hijau berkembang secara organik, tulen, dan diyakini.
Hijau itu maruah global
Di dunia yang semakin berdepan krisis iklim, reputasi sesebuah universiti tidak lagi hanya diukur dengan pencapaian akademik semata-mata. Ia juga diukur dengan sejauh mana universiti itu mendidik, mengamalkan, dan memperjuangkan kelestarian.
USM melalui Pejabat Hijau telah menunjukkan bahawa tindakan hijau di pejabat sekecil apa pun, ianya boleh membina maruah global.
Ia membuktikan bahawa untuk dikenali di dunia, kita tidak semestinya bermula dengan projek mega. Kadangkala, ia bermula dengan tindakan sederhana seperti menutup suis, mengasingkan sampah, atau membawa tumbler sendiri.
Dan itulah keindahan hijau, ia menyejukkan bumi, menenangkan hati, dan dalam diam, menaikkan nama kita di pentas dunia.
--BERNAMA
Dr Miharaini Md Ghani ialah Editor Pusat Media dan Perhubungan Awm, Penysarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.