PENA WANITA

ANCAMAN ALIRAN PEMIKIRAN ISLAM MODENISME KEPADA KESUCIAN AKIDAH

26/08/2020 08:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datin Norliah Sajuri

Kebelakangan ini banyak perkara di luar jangkaan terjadi dalam masyarakat dan kadangkala ianya sukar untuk dirasionalkan. Zainuddin Sardar dalam bukunya The Post Normal Times Reader mengungkapkan keadaan era pascanormal sebagai suatu fasa apabila pemikiran ortodoks yang lapuk kian lenyap. Manakala perkara baharu masih belum muncul dan tiada perkara yang benar-benar masuk akal!

Meneliti cara berfikir segelintir umat Islam masa kini yang sering dilihat tidak masuk akal, pandangan Ziauddin Sardar yang futuristik terbukti ada kebenarannya. Walaupun pola baharu pemikiran Islam bukanlah suatu perkara asing dalam perbincangan pemikir-pemikir Islam dahulu mahupun kontemporari, namun persoalan yang ditimbulkan menjadi ancaman kepada kesucian Islam secara keseluruhan.

Gerakan modenisme

Era ini menyaksikan dunia yang berkembang dengan begitu pantas sehingga berlaku ketidakpastian dan kecelaruan pemikiran. Kepesatan teknologi membawa perubahan yang besar. Turut sama berubah adalah gaya fikir manusia pada zaman moden ini. Kecanggihan penyebaran maklumat memudahkan pengaruh pemikiran ala Barat masuk ke dunia Islam. Akibatnya lahir aliran pemikiran modenisme dan liberalisme yang ganjil pemahamannya.

Titik tolak kemunculan aliran pemikiran modenisme, progresif atau liberal adalah reaksi kepada penentangan sekolompok manusia di Barat terhadap faham agama, budaya dan struktur masyarakat yang dianggap mengongkong pada sekitar abad ke-16 hingga 18. Institusi gereja dianggap penghalang kepada kemajuan hidup, mengekang kebebasan, pembangunan dan kreativiti manusia. Gerakan modenisme ini berpegang kepada kepercayaan bahawa masyarakat perlu dibebaskan daripada tradisi yang dimonopoli oleh penguasa agama.

Secara khusus aliran modenisme adalah gerakan protes di Barat yang berasa kecewa dengan kongkongan, monopoli dan manipulasi kelompok agama terhadap apa yang dianggap sebagai kebebasan dan hak asasi individu serta masyarakat. Gerakan modenisme telah berjaya merombak sistem tradisi masyarakat Barat dalam segenap aspek kehidupan meliputi bidang pemerintahan, keilmuan, perundangan, seni hiburan dan tata cara normal. Menerusi faham sekularisme ini, gerakan modenisme menentukan tafsiran baru terhadap dimensi agama dan budaya menerusi kerangka ‘rasionalisme’.

Citra pemikiran modenisme kini menular dalam kalangan kelompok Islam dan berkembang kononnya sebagai gerakan intelektual dan kebudayaan dengan kepercayaan bahawa masyarakat hendaklah dibebaskan daripada tradisinya. Implikasi pengaruh modenisme songsang ini adalah perspektif kefahaman baharu mereka terhadap agama Islam. Islam sebagai tema pemikiran diketengahkan menerusi perspektif moden ciptaan mereka tanpa merujuk kepada disiplin ilmu yang diiktiraf ulama silam. Ini menatijahkan cara berfikir baharu dalam usaha untuk menyesuaikan Islam dengan realiti kehidupan moden. Muncullah pemikiran yang dikenali sebagai Islam liberal.

Atas alasan mahu bebas berfikir, ada orang yang mengesahkan diri sebagai muslim namun tergelincir dalam memahami konsep tauhid. Ada orang mengaku mengimani rukun-rukun agama tetapi mempertikaikan hukum hakamnya. Malah ada orang memakai pakaian Islam namun isinya bukan lagi Islam yang tulen, tetapi percampuran ideologi yang mengelirukan.

Pemodenan lawan tradisi

Isu utama yang diperdebatkan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai modenis ialah pertembungan antara tradisi Islam dan kemodenan termasuk persoalan sama ada suatu perkara dalam agama itu bersifat kekal atau berubah (anjal) – al-thabat wal murunah. Garisan sempadan Islam yang jelas dilihat telah menjadi kabur. Mereka mempersoalkan sama ada semua yang diwarisi oleh masyarakat Islam dari segi ibadah, akidah, nilai dan sistem pemikiran bersifat kekal dan tidak boleh berubah. Perkara yang telah tetap dan menjadi asas hidup umat ini, dipertikaikan kerana kononnya perlu kepada evaluasi semula agar disesuaikan dengan kemodenan hari ini.

Kejahilan dan kelonggaran pegangan agama segelintir penganut Islam adalah faktor utama mereka mudah terpengaruh gagal mempertahankan jati diri daripada pemesongan akidah, syariat dan akhlak. Terpegun dengan kemajuan Barat yang banyak disaluti kepalsuan menyebabkan jiwa mereka terhakis nilai dan pegangan iman. Tidak hairanlah mereka berani menimbulkan keraguan tentang kesahihan kandungan ajaran Islam, mempertikaikan hukum hakam dalam Islam malah berusaha melakukan rekonstruksi al-Quran. Mereka menafsir isu-isu Islam turut memberi gambaran dengan membentuk wajah Islam yang herot (distorted image of Islam). Dengan alasan agar sentiasa relevan dengan perkembangan moden, Islam telah ditafsir dan disesuaikan dengan fahaman liberalisme Barat.

Ancaman baharu Islam liberal

Umat Islam perlu menyedari bahawa pemikiran Islam liberal adalah suatu ancaman baharu yang dibimbangi menggugat akidah dan kedudukan agama Islam di Malaysia. Ancaman ini pada hakikatnya amat berbahaya kerana ia datang dari dalam kalangan umat Islam sendiri terutamanya jika polemik yang ditimbulkan melibatkan akidah dan pegangan asas Islam.

Implikasi pemikiran songsang ini jelas merosakkan konsep tauhid sebagai teras aqidah Islamiah, menggugat kesucian al-Quran dan merendahkan martabat kerasulan Nabi Muhammad SAW. Selain mengancam keunggulan syariat, ia juga menjejaskan autoriti al-Sunnah dan ijmak ulama. Justeru tepatlah keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-74 yang bersidang pada 25 hingga 27 Julai 2006 yang berpandangan gerakan pemikiran liberal didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah.

-- BERNAMA

Datin Norliah Sajuri ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)