Diaspora Malaysia di Maghribi dalam kalangan pelajar merupakan kesinambungan tradisi keilmuan Islam yang telah lama berakar dalam sejarah pendidikan negara ini.
Pelajar ini berperanan sebagai “duta kecil” negara, menyumbang kepada pertukaran ilmu, pemahaman budaya dan pembangunan modal insan apabila mereka kembali ke tanah air.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sering mengingatkan bahawa anak muda Malaysia di luar negara sebagai “duta kecil” yang membawa imej, nilai dan identiti negara di pentas antarabangsa.
Sejak beberapa dekad lalu, Maghribi menjadi antara destinasi pilihan anak-anak Malaysia untuk mendalami Pengajian Islam dan Bahasa Arab, terutamanya melalui institusi berprestij seperti Universiti Al-Qarawiyyin di Fes, yang diiktiraf sebagai universiti tertua di dunia.
Apa yang menarik, Universiti Al-Qarawiyyin telah ditubuhkan sejak 1,166 tahun lampau atau lebih tepat pada tahun 859 Masihi oleh seorang tokoh wanita bernama Fatimah al-Fihri. Beliau seorang wanita Muslim berpengaruh pada abad ke-9 Masihi, berasal daripada keluarga pedagang kaya yang berhijrah dari Qayrawan (Tunisia) ke Maghribi.
Penubuhannya mendahului kemunculan beberapa universiti terkemuka di Eropah seperti Oxford atau Bologna, malah membuktikan bahawa dunia Islam telah memainkan peranan penting dalam membentuk tradisi pendidikan tinggi global.
Pengiktirafan oleh UNESCO dan Guinness World Records mengukuhkan lagi kedudukan universiti tersebut sebagai simbol keunggulan ilmu, warisan intelektual dan sumbangan berterusan peradaban Islam terhadap pembangunan ilmu sejagat.
Hakikat ini menjadikan keberadaan pelajar Malaysia di Maghribi bukan sekadar perjalanan akademik peribadi, tetapi satu amanah negara yang menuntut keutuhan akhlak, jati diri dan tanggungjawab sosial.
Sejarah penghantaran pelajar ke Maghribi
Program penghantaran pelajar Malaysia ke Maghribi telah diwujudkan melalui kerjasama pendidikan tinggi dan biasiswa di antara kedua-dua negara sejak tahun 2000 dan terus berlanjutan hingga kini.
Difahamkan bahawa biasiswa kerajaan Maghribi telah ditawarkan kepada pelajar Malaysia untuk belajar bahasa Arab dan pengajian Islam di universiti-universiti di sana yang membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Malaysia melanjutkan pengajian di luar negara.
Selain itu, terdapat pelajar Malaysia ditaja oleh beberapa kerajaan negeri, yayasan negeri dan institusi zakat negeri seperti Selangor dan Pahang, sementara segelintir pelajar di sana dibiayai keluarga mereka.
Realiti ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak yang menyokong kesinambungan tradisi keilmuan Islam untuk generasi muda Malaysia di bumi Maghribi.
Pengajian di Maghribi yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tertumpu kepada bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab. Program ijazah sarjana muda lazimnya mengambil masa sekitar tiga tahun, manakala ijazah sarjana dua tahun.
Pengajian pada peringkat doktor falsafah lazimnya memerlukan tempoh minimum tiga tahun, namun dalam kebanyakan kes mengambil masa yang lebih panjang bergantung kepada keperluan penyelidikan dan sistem akademik setempat.
Keadaan ini secara tidak langsung menuntut ketahanan mental, disiplin diri serta kesungguhan yang tinggi dalam kalangan pelajar.
Sepanjang tempoh pengajian pelajar di Maghribi, Persatuan Mahasiswa Malaysia Maghribi (PMMM) berperanan sebagai entiti rasmi yang memantau kebajikan dan keselamatan mereka.
Persatuan pelajar ini bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia di Rabat serta Education Malaysia Egypt (EME), Mesir yang banyak membantu dan melancarkan peranan PMMM.
Selain itu, beberapa yayasan yang menaja pelajar seperti Yayasan Pahang dan Yayasan Pendidikan Rakyat, turut berperanan sebagai pemantau dari tanah air, khususnya dalam menilai kemajuan akademik dan kebajikan pelajar yang ditaja.
Hal ini jelas menunjukkan keprihatinan organisasi berkenaan terhadap keperluan asas pelajar, meskipun jauh di rantau Afrika Utara.
Menjunjung maruah negara
Semasa mengikuti program mobiliti antarabangsa baru-baru ini, penulis dan Profesor Madya Dr Nor Aniza Ahmad, Pensyarah Psikologi Pendidikan, Universiti Putra Malaysia berkesempatan bertemu dengan sekumpulan pelajar Malaysia di Fes.
Dalam pertemuan tersebut, kami metitipkan pesanan kepada mereka supaya sentiasa menjaga imej, personaliti, dan nama baik Malaysia. Di mana bumi dipijak, di situ maruah negara dijunjung.
“Dunia sedang melihat anda, dan anda adalah wajah Malaysia di sini.” Pesanan ini bukan sekadar retorik namun ia merupakan peringatan bahawa keberadaan pelajar Malaysia di Maghribi, yang menuntut ilmu di institusi berprestij seperti Universiti Al-Qarawiyyin, Universiti Mohammed V, Universiti Abdel Malek Essaâdi dan Universiti Sidi Mohamed Ben Abdellah membawa bersama tanggungjawab sosial yang besar.
Mereka menjadi contoh kepada pelajar-pelajar dari negara lain kerana tingkah laku yang ditunjukkan mencerminkan nilai pendidikan dan ketamadunan yang diterapkan semasa alam persekolahan di tanah air.
Kesejahteraan psikologi pelajar
Di sebalik idealisme dan semangat keilmuan, cabaran hidup di perantauan tidak boleh dipandang ringan. Perbezaan budaya, bahasa, sistem akademik serta berjauhan dari keluarga berpotensi menimbulkan tekanan emosi dan rasa terasing.
Justeru, penulis berpandangan bahawa kesejahteraan psikologi pelajar perlu diberi perhatian serius sebagai teras kepada ketahanan dan kejayaan jangka panjang.
Kesejahteraan psikologi pelajar melibatkan tahap kesihatan mental dan emosi pelajar yang membolehkan mereka berfungsi secara positif dalam kehidupan akademik dan sosial.
Hal ini meliputi keupayaan pelajar mengurus tekanan, mengekalkan emosi yang stabil, mempunyai keyakinan diri, membina hubungan yang sihat, di samping mengekalkan motivasi dan makna dalam pembelajaran mereka.
Pelajar yang memiliki kesejahteraan psikologi yang baik cenderung menunjukkan daya tahan mental, keseimbangan emosi dan keupayaan menyesuaikan diri dengan cabaran pengajian secara berkesan.
Hasil perbincangan antara penulis dan Dr. Nor Aniza dengan Duta Besar Malaysia di Rabat, Datuk Shahabudeen Adam Shah, merumuskan keperluan terhadap suatu pendekatan holistik yang merangkumi sokongan psikologi secara hibrid, bimbingan kerjaya pasca pengajian, pengukuhan jati diri, serta pelaksanaan kajian berterusan berkaitan strategi penyesuaian pelajar Malaysia di luar negara.
Bagi memperkukuhkan ekosistem sokongan pelajar Malaysia di Maghribi, penulis berpendapat satu kerangka dasar yang lebih tersusun wajar dipertimbangkan. Antaranya, penyelarasan pemantauan bersepadu antara Kedutaan Besar Malaysia, EME dengan PMMM.
Pengukuhan sokongan kesihatan mental kepada para pelajar secara berkala, serta penilaian semula mekanisme tajaan terhad kepada bidang yang diiktiraf MQA perlu diteliti.
Langkah tersebut dapat memastikan kebajikan para pelajar terpelihara, di samping memperkukuh peranan mereka sebagai aset insani strategik dalam diplomasi pendidikan negara.
Kesimpulan
Walaupun kecil bilangan mereka, namun pelajar Malaysia di Maghribi merupakan aset insani strategik yang menghubungkan Malaysia dengan dunia Arab dan Afrika Utara.
Menjaga kebajikan serta kesejahteraan mental mereka bukan sekadar isu kebajikan, tetapi pelaburan modal insan untuk jangka panjang negara.
Melalui sokongan berterusan daripada kerajaan, kedutaan, institusi pendidikan, persatuan pelajar dan keluarga, mereka berpotensi pulang sebagai barisan intelektual muda berilmu, berdaya tahan dan bersedia menyumbang kepada pembangunan Malaysia yang lebih mampan.
-- BERNAMA
Dr Nur Aimi Nasuha Burhanuddin ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Psikologi Pendidikan.