Dugaan datang dalam pelbagai cara, tidak kira tempat dan masa. Ini termasuklah di tempat yang sering menyebabkan kita berhadapan situasi yang boleh memberikan impak negatif kepada fizikal, emosi dan mental jika tidak berupaya mengatasi dugaan tersebut. Antara manifestasi dugaan di tempat kerja adalah tekanan kerja. Kita sebenarnya sentiasa berhadapan dengan tekanan kerja yang jika ia bijak dikawal akan meningatkan tahap produktiviti kerja dan motivasi, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh The American Institute of Stress pada tahun 2019, tekanan di tempat kerja berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya bebanan kerja yang pelbagai, masalah perhubungan dan komunikasi di tempat kerja dan tidak mampu menyeimbangkan peranan di tempat kerja dan keperluan keluarga di rumah.
Persekitaran pekerjaan
Tekanan di tempat kerja merupakan interaksi kompleks antara persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan dan mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal. Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua yang tidak sudi mendengar masalah dan suasana kerja yang tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan dikawal dengan metodologi yang tepat.
Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara kesannya. Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan dengan terlibat dalam masalah disiplin di tempat kerja. Berlaku juga kes-kes individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah dengan mendera anak atau ke tahap melampau sehingga sanggup membunuh diri.
Ajaran Islam
Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam. Islam telah menggalakkan seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Tuhan. Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan sebegini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah ayat 155-156).
Kita harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji. Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya. Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya menghadapi tekanan dengan tenang dan berjaya.
Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan. Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat. Kajian-kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa ‘aman dan damai’ dengan seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT). Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan. Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang otak. Daripada perspektif Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran.
Kedua, dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 28 maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Ketiga, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa “al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda” (riwayat Bukhari). Membaca Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini kerana al-Quran merupakan sumber teragung dalam merungkai segala permasalahan manusia.
Keempat, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jualah tempat yang kekal selama-lamanya. Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku di dunia ini baik ianya bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar ‘warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama’ dan akan mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak. Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.
Kelimanya, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina” (Surah al-Ghaafir, ayat 60). Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan kerja, mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.
-- BERNAMA
Dr Khairunneezam Mohd Noor merupakan Pensyarah Kanan di Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.