Susulan kematian suaminya yang merupakan seorang peneroka Felda, seorang ibu telah meminta anak perempuan dan menantunya untuk tinggal bersamanya di rumah tanah Felda setelah anak-anak lain kelihatan keberatan untuk mengambil tanggungjawab menjaga ibu tersebut yang kurang sihat.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, ibu tua itu pula menghembuskan nafas terakhirnya, meninggalkan lapan orang anak. Anak-anak itu telah menuntut bahagian pusaka mereka yang merupakan wang pelaburan Koperasi Felda, sebuah lot rumah dan sebidang lot tanah pertanian dalam rancangan Felda.
Anak perempuan yang menjaga ibu mereka diusir keluar daripada rumah tersebut memandangkan ahli waris lain berpendapat mereka juga layak tinggal di rumah itu. Dalam perbincangan ahli waris yang dibuat, tiada persefahaman dalam menentukan anak mana yang akan dilantik menjadi pemilik atau pentadbir tanah tersebut, menyebabkan perbincangan mengenai pembahagian harta pusaka tanah Felda itu tidak menemukan jalan penyelesaiannya.
Kekangan Undang-Undang
Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (“Akta 530”) mewujudkan sekatan-sekatan dalam mengawal tanah-tanah Felda yang tentunya mempunyai maqasid tertentu.
Penggubalan Akta 530 pada 1960 bertujuan membolehkan tanah Felda dikategorikan sebagai penempatan tanah yang tidak boleh dipecah bahagi kepada bahagian yang lebih kecil bagi memastikan nilaian ekonomi tanah Felda kekal relevan dengan pasaran semasa selain setiap peneroka mempunyai obligasi kontrak melalui Perjanjian yang dimasuki antara Felda dan peneroka.
Begitulah uniknya tanah Felda ini hinggakan tiada apa instrumen seperti hibah, wasiat, kuasa wakil atau pajakan yang boleh dilaksanakan di atas tanah itu tanpa izin bertulis Felda diperolehi terlebih dahulu.
Perselisihan berkaitan pusaka sememangnya berlaku dalam warga Felda yang kini berjumlah sekitar 2.5 juta orang apabila peneroka dan penerokawati meninggal dunia meninggalkan lebih dari dua orang anak. Ini kerana tidak lebih dua nama sahaja boleh didaftarkan ke dalam suratan hak milik tanah berdasarkan Seksyen 12, 14 dan 15 Akta 530 tersebut.
Berdasarkan rekod Unit Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian menunjukkan 40 peratus daripada tanah-tanah pusaka Felda tidak dapat diselesaikan selain daripada hanya mengeluarkan surat kuasa tadbir melalui Borang F.
Ahli waris pula beranggapan Pentadbir yang dilantik tidak akan berlaku adil dan mempunyai kecenderungan untuk menyalahgunakan wang hasil tanah pertanian tersebut dan mempunyai niat untuk tinggal di lot tanah rumah pusaka tersebut. Walaupun Seksyen 16 Akta 530 tersebut memberi laluan kepada ahli-ahli waris untuk membida tanah tersebut, masalah yang kerap berlaku adalah nilai pasaran tanah yang tinggi tidak pula memungkinkan mana-mana ahli waris mampu menebus jumlah nilaian tersebut pada ahli waris lain.
Penyelesaian tuntas
Selari dengan Model Felda Baharu yang dibentangkan melalui Kertas Putih bertemakan Ke Arah Kelestarian Felda, suatu inisiatif baharu bagi penyediaan Skim Pewaris Tanah sedang dilaksanakan. Selain itu masanya telah tiba agar satu perubahan dibuat bagi mengatasi kemelut masalah tanah-tanah Felda ini.
Dalam keadaan apabila tiada persetujuan bahawa tanah tersebut dimiliki secara mutlak oleh mana-mana ahli waris maka konsep harta amanah perlu segera dilaksanakan dalam kes tanah-tanah Felda.
Di bawah konsep ini, peneroka Felda bolehlah semasa hayatnya menamakan dua orang Pemegang Amanah bagi hartanya. Pemegang Amanah yang dinamakan hendaklah bertanggungan untuk menguruskan tanah Felda tersebut bukan sebagai pemilik berdaftar tetapi sebagai pengurus yang bertanggungan untuk membahagikan hasil-hasil daripada tanah tersebut kepada ahli-ahli waris selepas kematian peneroka asal tanah tersebut. Pemegang Amanah ini boleh digantikan atau ditukar apabila terdapat keperluan berbuat demikian.
Melalui prinsip amanah ini, kuasa-kuasa dan tanggungjawab Pemegang Amanah akan dinyatakan secara terperinci dan surat cara ini akan dimiliki oleh setiap ahli waris sebagai garis panduan akan hak-hak mereka pada tanah tersebut. Ia adalah sebagai mitigasi akan kecenderungan wujudnya kes-kes Pentadbir yang tidak amanah dalam kalangan ahli waris.
Jika tiada kepercayaan dalam kalangan ahli waris terhadap Pemegang Amanah, maka sudah tiba masanya bagi pihak pengurusan Felda mewujudkan entiti amanah milik mereka sendiri seperti ‘Felda Trustee’ yang bertanggungjawab hanya untuk memegang amanah bagi tanah-tanah Felda tersebut dengan kos pengurusan tertentu.
Mengiktiraf waris
Berdasarkan pengalaman terdahulu, Felda juga boleh mengkaji semula sekatan tertentu antaranya dengan mempertimbangkan bagi kemasukan nama waris berbeza pada Tanah Lot Rumah dan Tanah Lot Pertanian tapi masih lagi mengekalkan status tanah berangkai bagi melegakan lebih ramai ahli waris apabila melihat nama mereka juga tertera dalam suratan hak milik sungguhpun pada dua kategori tanah yang berbeza.
Menguruskan tanah-tanah pusaka di Rancangan Felda bukanlah mudah, bak kata pepatah sekali air bah sekali pantai berubah. Terdapat banyak kes anak-anak peneroka semasa hayat ibu bapanya kelihatannya begitu patuh terhadap pesanan ibu bapa agar menjaga hubungan silaturahim antara adik beradik dan menerima apa sahaja arahan agar harta-harta ibu bapa itu dibahagi-bahagikan mengikut pesanan yang ditinggalkan itu.
Begitupun sebaik sahaja ibu atau bapa meninggal dunia perubahan sikap anak-anak akan mula terserlah disebabkan banyak faktor lazim yang antaranya adalah penyusutan keadaan kewangan ahli waris, hasutan penasihat-penasihat yang tidak jujur dan lunturnya perasaan takut atau hormat memandangkan kini ibu bapa telahpun tiada.
Kebimbangan bagi masa depan tanah pusaka di kawasan Felda ini adalah untuk memastikan tidak berlakunya kematian yang berlapis-lapis melibatkan lebih dari satu generasi. Jika banyak kematian berlaku maka semakin ramailah ahli waris yang akan menuntut haknya.
Semakin ramai ahli waris yang wujud maka kian sukarlah sesuatu kes pusaka dapat diselesaikan akibat banyaknya ragam dan karenah manusia ataupun kesukaran untuk menyonsong ahli waris yang layak itu terlebih lagi terdapatnya kekangan bagi pemilikan tanah bagi tanah-tanah Felda ini.
Terkadang oleh kerana terdapat banyak kematian dalam sebidang tanah, maka terdapat banyak permohonan harta pusaka yang perlu dibuat pada sebidang tanah sebelum harta tersebut dapat dibahagikan kepada ahli waris. Lebih kronik lagi jika sedang kes pusaka tersebut diproses ada pula ahli waris yang layak meninggal dunia dan ini akan melewatkan lagi proses pembahagian pusaka tersebut.
Melestarikan Legasi
Tanah Rancangan Felda diwujudkan oleh kerajaan bagi memastikan rakyat yang tidak mempunyai tanah sendiri dan kurang berkemampuan akan mampu diangkat menjadi pemilik tanah dan kemudiannya mempunyai sumber kewangan yang tetap. Begitulah tersusunnya perancangan tersebut sehingga ramai pula dalam kalangan peneroka-peneroka Felda yang mampu untuk menukar kenderaan dan membina rumah yang lebih selesa lantaran nikmat kurniaan tersebut.
Keselesaan itu tidak harus terhenti dengan kematian peneroka asal Felda tersebut. Ahli-ahli waris yang ditinggalkan hendaklah diberi kefahaman jelas mengenai arah tuju tanah Felda tersebut sejak dari hayat peneroka tersebut dengan menyediakan pengamanahan yang sempurna dan boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang.
Melaluinya, hasrat Kerajaan untuk melestarikan kehidupan peneroka Felda akan dapat berterusan dari satu generasi ke satu generasi dan tidak pula menjadi subjek pertelingkahan dalam kalangan anak-anak warga generasi Felda yang majoritinya adalah orang Melayu.
-- BERNAMA
Datuk Ikbal Salam merupakan Peguambela dan Peguamcara