Belanjawan 2021 dijangka akan dibentangkan pada 6 Nov 2020 berdasarkan kepada Takwim Parlimen bagi Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas (Tahun 2020), yang diterbitkan di laman sesawang rasmi Parlimen Malaysia.
Ini merupakan tarikh paling penting daripada segi aspek perancangan kewangan, perniagaan dan kelangsungan pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh. Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 ini akan memberi kesan yang besar kepada ekonomi peribadi masing-masing.
Bagi individu, pastinya yang amat diharapkan ialah insentif peluang pekerjaan, sara hidup, dan keperluan harian seperti subsidi pengangkutan awam. Bagi belia yang menjalankan perniagaan pula, pastinya insentif modal, pelepasan cukai dan peluang menembusi pasaran baru amat membantu.
Bagaimanapun, Belanjawan 2021 akan kupas lebih lanjut dalam penulisan akan datang. Kali ini, perihal utama yang ingin dibangkitkan adalah soal kesejahteraan ekonomi belia yang terjejas akibat COVID-19.
Sekilas angka ekonomi belia
Setakat hari ini, beberapa statistik penting sepatutnya sudah dimaklumi dan dihadam oleh belia. Pertamanya, statistik penggangguran kebangsaan yang mencecah 5.3 peratus pada Mei 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, memaklumkan peningkatan 47,300 kepada 826,100 orang.
Kedua ialah unjuran Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2020 dan 2021. Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, memberikan gambaran positif untuk ekonomi negara bagi dua belas bulan kehadapan sekiranya COVID-19 dalam dibendung sebaiknya.
Dalam kenyataan akhbar beliau pada 7 Julai 2020, dinyatakan dapatan unjuran oleh pelbagai agensi mengenai KDNK negara adalah antara -3.8 peratus hingga 0.5 peratus (Bank Negara Malaysia (BNM) – antara -2.0 peratus hingga 0.5 peratus, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) – -3.8 peratus dan Bank Dunia – -3.1 peratus).
Pertumbuhan ekonomi dijangka akan bertambah baik pada tahun berikutnya dengan unjuran oleh IMF pada kadar 7.8 peratus. Angka ini penting bagi memberikan gambaran kepada kerajaan dan pihak berkepentingan mengenai apa tindakan tuntas yang perlu dilakukan untuk mencapai angka tersebut, seterusnya membebaskan negara dari unjuran negatif tadi.
Selain jangkaan yang jelas mengenai peluang pekerjaan yang menguncup pasca-COVID-19. Bank Negara Malaysia melalui kajian yang diterbitkan pada tahun 2018, antara lain, membuat pemerhatian mengenai pertumbuhan guna kerja bagi perkerjaan berkemahiran rendah meningkat daripada lapan peratus kepada 16 peratus antara tahun 2002-2010 dan 2011-2017.
Meskipun, Jabatan Perangkaan melalui Statistik Guna Kerja bagi Suku Tahun Pertama 2020 melaporkan guna kerja kemahiran rendah menurun; 12.9 peratus daripada keseluruhan statistik guna kerja, tidak keterlaluan untuk mengunjurkan peningkatan angka ini bagi suku kedua tahun 2020.
Dengan inisiatif MyGig yang dikepalai oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) dan naratif digital ekonomi yang dikempenkan saban hari, kemungkinan pasaran kerja berkemahiran rendah akan meningkat secara mendadak. Memandangkan lebih ramai akan menyertai pasaran karyawan bebas atau freelancing ini.
Kesan kepada belia
Bermain angka dalam hal ehwal ekonomi ini merupakan suatu yang memerlukan pemerhatian dan bacaan yang halus. Namun begitu, dengan angka awam sedia ada ini, tidak sukar untuk melihat kehadapan dan meramalkan impak pertumbuhan ekonomi kepada kelangsungan hidup belia.
Pertamanya, jangkaan peningkatan kadar pengangguran tidak boleh dinafikan sepenuhnya. Dan melihatkan kepada amalan Terakhir-Masuk-Pertama-Keluar, sekali lagi belia berada dalam risiko yang tinggi. Tanpa menafikan banyak inisiatif yang dibuat oleh kerajaan melalui PENJANA. Namun, keputusan memberhentikan pekerja masih ditangan majikan.
Kedua, memandangkan keperluan memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih sihat, maka kerajaan perlu melaksanakan dasar percukaian yang mampu merealisasikan hasrat tersebut. Memandangkan tindakan segera harus dibuat dan menimbangkan jumlah sumbangan pendapatan negara melalui belia adalah minimal, maka kemungkinan manfaat untuk belia dalam Belanjawan 2021 juga akan mencermin realiti tersebut. Seterusnya, akan menyukarkan lagi belia untuk bangkit semula selepas terjejas akibat COVID-19 ini.
Ketiga, perkembangan pasaran kerja berkemahiran rendah memberikan indikasi kepada pendapatan belia dan isi rumah golongan muda yang rendah. Sekiranya hal ini tidak dapat ditangani, maka kadar kemiskinan berdasarkan kepada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) terkini; RM2,208, dalam kalangan belia khususnya akan meningkat.
Tindakan proaktif belia
Banyak nasihat yang sudah diberikan bagi membantu belia mengharungi saat getir ini. Tambahan daripada semua nasihat baik tersebut; memulakan perniagaan kecil-kecilan, meningkatkan kemahiran pelbagai dan seterusnya, penulisan ini ingin mencetuskan gerakan mengurangkan kebergantungan belia kepada kerajaan.
Yakinlah bahawa kerajaan akan melaksanakan segala yang terbaik untuk membantu belia memastikan kelangusungan punca pendapatan yang stabil. Tinggal lagi, bantuan itu tidak akan membuahkan hasil tanpa usaha jitu daripada para belia.
Tanpa menafikan semua belia sudah, sedang dan akan mencuba sebaik mungkin untuk melepasi cabaran ini.
Manfaatkan ekonomi digital
Oleh yang demikian, pilihan yang ada untuk belia mendapatkan sokongan bagi memulihkan ekonomi individu ialah ekonomi digital. Dapatkan modal melalui platform pendanaan awam. Manfaatkan platform data raya dan analisis data untuk membangunkan perkhidmatan atau perniagaan kecil. Platform yang sama juga boleh digunakan untuk membina jaringan dengan rakan usahasama dari dalam dan luar negara.
Keusahawanan sosial juga merupakan pilihan yang baik. Ditengah-tengah pandemik ini, banyak inisiatif yang boleh dilaksanakan dan ramai golongan berada dan syarikat korporat, bahkan agensi kerajaan yang sedia menyalurkan dana bagi melaksanakan. Daripada inisiatif pendidikan percuma bagi kanak-kanak terpinggir, contohnya, boleh menjana keuntungan sewajarnya.
Terokai ruang ekonomi baharu ini. Sekiranya anda tidak berminat berniaga, bantu rakan yang ingin memulakan perniagaan. Daripada tiada pendapatan langsung, ada baiknya bekerja untuk organisasi kecil yang memberikan pendapatan melalui elaun atau gaji walaupun kecil.
Aktif bergerak, teroka dan berani mencuba
Ini merupakan masa yang sangat kritikal. Cabaran ekonomi yang dihadapi belia hari ini seperti berenang di laut lepas; mahu berenang sudah habis tenaga, berhenti gerak akan tenggelam pula. Justeru, pilihan yang baik buat belia adalah mengambil peluang ekonomi baharu yang ada.
Hanya berharap dan selesa dengan kerja-kerja kemahiran rendah bukan solusi yang tuntas. Sebab itu, ditekankan mengenai mengutamakan bidang keusahawan sosial atau berkerja dengan organisasi kecil. Sekurang-kurangnya, ijazah yang dipegang atau sijil kemahiran yang ada tidak tersia-sia.
Teruskan usaha. Atur strategi membina semula karier dan menjana ekonomi peribadi sebaiknya. Jangan terlalu tertumpu menunggu bantuan datang. Bimbang, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Anda lebih kuat daripada yang anda rasakan, dengan sedikit anjakan dan menginjak ke alam cabaran baharu, anda pasti boleh melakukannya dan berjaya.
-- BERNAMA
Irfan Faruqi ialah Pengacara Darah Muda, BERNAMA TV