PENA WANITA

SELAMI EMOSI ANAK AUTISME DI MUSIM PERAYAAN

19/03/2026 12:13 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Salwa Mahmood

Musim perayaan sering dikaitkan dengan kegembiraan, kunjungan sanak saudara, rumah terbuka dan pelbagai aktiviti sosial.

Namun, bagi individu yang berada dalam spektrum autisme atau autism spectrum disorder (ASD), suasana meriah ini boleh membawa cabaran emosi yang berbeza.

Bunyi yang kuat, persekitaran yang sesak, perubahan rutin harian dan rangsangan sensori yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan atau kebimbangan kepada anak autisme.

Oleh itu, memahami emosi mereka ketika musim perayaan adalah langkah penting bagi mewujudkan suasana yang lebih inklusif dan menyenangkan untuk semua.

Bagi anak autisme, kestabilan rutin memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan seharian mereka.

Ketika musim perayaan, rutin yang biasa mungkin berubah secara mendadak terutamanya apabila waktu tidur berubah, rumah dipenuhi tetamu dan aktiviti harian menjadi lebih padat.

Persekitaran Terkawal

Perubahan ini boleh mencetuskan kegelisahan, tantrum atau keletihan emosi.

Justeru, ibu bapa boleh membantu dengan menyediakan persediaan awal seperti menjelaskan jadual secara bergambar yang melibatkan aktiviti perayaan kepada anak, memperkenalkan perubahan secara berperingkat, dan menyediakan ruang tenang sekiranya anak memerlukan masa untuk menenangkan diri.

Pendekatan ini membantu anak autisme menyesuaikan diri dengan persekitaran yang lebih sibuk tanpa menjejaskan kesejahteraan emosi mereka.

Selain itu, aspek sensori juga perlu diberi perhatian sewajarnya.

Lampu yang terang, bunyi mercun, muzik yang kuat serta suasana rumah yang sesak boleh menyebabkan rangsangan sensori berlebihan.

Bagi sesetengah anak autisme, situasi ini boleh menimbulkan tekanan yang sukar mereka ungkapkan dengan kata-kata.

Oleh itu, menyambut perayaan secara sederhana boleh menjadi pilihan yang lebih mesra kepada keperluan mereka.

Contohnya, menghadkan bilangan tetamu dalam satu masa, menyediakan ruang rehat yang tenang di rumah, atau merancang lawatan keluarga yang lebih singkat tetapi bermakna.

Memahami Emosi Ibu Bapa Anak Autisme

Dalam masa yang sama, emosi ibu bapa kepada anak autisme juga wajar difahami.

Musim perayaan yang sepatutnya membawa kegembiraan kadangkala disertai rasa bimbang dan keletihan emosi bagi mereka.

Ibu bapa mungkin berasa tertekan untuk memastikan anak mereka selesa dalam suasana yang luar daripada kebiasaan.

Ada juga yang berasa risau terhadap persepsi masyarakat sekiranya anak menunjukkan tingkah laku tertentu akibat tekanan sensori.

Perasaan ini boleh menyebabkan ibu bapa berasa terasing walaupun berada dalam suasana perayaan yang meriah.

Oleh itu, sokongan emosi amat penting bagi ibu bapa ini. Mereka berusaha sedaya upaya memastikan anak mereka dapat menikmati momen perayaan walaupun dalam cara yang berbeza.

Keluarga terdekat boleh memainkan peranan dengan memberikan sokongan, memahami keperluan anak autisme dan tidak memberikan tekanan kepada ibu bapa untuk mengikut norma sambutan yang terlalu meriah.

Namun begitu, sebagai ibu bapa yang mempunyai anak dalam spektrum autisme, kita juga tidak boleh mengharapkan masyarakat sentiasa memahami sepenuhnya keadaan anak-anak ini.

Dalam masa yang sama, ibu bapa perlu berusaha memahami keperluan sosial masyarakat dengan mengenali had, kemampuan serta batas anak-anak autisme.

Pendekatan yang seimbang ini dapat membantu ibu bapa membimbing anak menyesuaikan diri secara berperingkat dalam persekitaran sosial, sambil mendidik masyarakat untuk lebih empati dan menghormati perbezaan yang wujud.

Selain itu, ibu bapa juga boleh mengambil peluang untuk memberi penerangan ringkas kepada ahli keluarga atau rakan terdekat mengenai keperluan anak autisme supaya mereka lebih memahami situasi yang dihadapi.

Dengan komunikasi yang baik dan sikap saling memahami, suasana sosial yang lebih harmoni dan inklusif dapat diwujudkan untuk semua pihak.

Peranan Masyarakat

Peranan masyarakat juga amat penting dalam mewujudkan suasana perayaan yang lebih inklusif.

Kesedaran tentang autisme semakin meningkat, namun masih ramai yang kurang memahami keperluan individu dalam spektrum ini.

Sikap empati dan penerimaan boleh membuat perbezaan yang besar.

Sebagai contoh, sekiranya seorang anak autisme kelihatan gelisah atau memerlukan masa bersendirian, masyarakat seharusnya memahami bahawa ia adalah sebahagian daripada keperluan mereka, bukannya masalah disiplin atau sikap tidak menghormati tetamu.

Selain itu, masyarakat juga boleh menyokong keluarga anak autisme dengan memberikan ruang dan fleksibiliti semasa majlis perayaan.

Rumah terbuka atau majlis keluarga tidak semestinya perlu berlangsung dalam suasana yang terlalu bising atau padat.

Perayaan yang lebih sederhana sebenarnya mampu memberikan ruang interaksi yang lebih berkualiti antara ahli keluarga.

Dalam masa yang sama, ia juga membantu individu autisme menyesuaikan diri dengan lebih selesa.

Malah, pendekatan menyambut perayaan secara sederhana ini selari dengan saranan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggalakkan masyarakat berjimat cermat dan mengamalkan perbelanjaan berhemah susulan ketidaktentuan ekonomi global serta konflik yang berlaku di Timur Tengah.

Seruan ini mengingatkan masyarakat bahawa kemeriahan perayaan tidak semestinya diukur melalui kemewahan atau majlis yang besar, tetapi melalui nilai kebersamaan, kesederhanaan dan keprihatinan terhadap keadaan sekeliling.

Bagi keluarga yang mempunyai anak autisme, perayaan yang tenang dan tersusun boleh menjadi pengalaman yang lebih bermakna berbanding sambutan yang terlalu meriah tetapi meletihkan emosi.

Dalam suasana yang lebih sederhana dan terkawal, anak autisme dapat menikmati momen kebersamaan bersama keluarga dengan lebih selesa dan positif.

Akhirnya, musim perayaan adalah masa untuk mengeratkan hubungan dan memupuk rasa saling memahami.

Dengan meningkatkan kesedaran tentang keperluan emosi individu autisme, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan penuh empati.

Perayaan bukan sekadar tentang kemeriahan, tetapi tentang menghargai setiap individu seadanya.

Apabila masyarakat memahami dan menghormati perbezaan ini, barulah semangat sebenar perayaan dapat dirasai oleh semua, termasuk individu autisme dan keluarga mereka.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Salwa Mahmood ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)