(Artikel ini sempena Hari Kesedaran Tsunami Sedunia pada 5 November)
Fenomena gempa bumi dan tsunami merupakan bencana yang tidak dapat diramal bila ianya akan terjadi, namun impaknya sangat besar sehingga boleh meragut ratusan ribu nyawa manusia dan kemusnahan menyeluruh harta benda dan alam sekitar selain mampu mengubah geografi muka bumi.
Memetik kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (United Nations Office for Disaster Risk Reduction, UNDRR) pada 12 Oktober 2020 mengenai laporan yang diterbitkan oleh UNDRR dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Bencana Epidemiologi (CRED) bahawa sepanjang 20 tahun lepas, dunia telah menyaksikan sejumlah 7,348 bencana alam yang mengorbankan hampir 1.23 juta nyawa dan menjejaskan lebih 4.2 milion penduduk dengan jumlah kerugian ekonomi dianggarkan bernilai US$2.97 trilion.
Sejumlah sembilan peratus daripada keseluruhan bencana alam yang dilaporkan sepanjang tahun 2000 hingga 2019 adalah berpunca daripada fenomena geofizik seperti gempa bumi, aktiviti gunung berapi serta tsunami. Walaupun bilangan kejadian gempa bumi dan tsunami ini rendah, namun impak kejadian bencana ini adalah sangat dahsyat.
Sepanjang tempoh dua dekad kebelakangan ini, tsunami dan gempa bumi merupakan dua bencana alam yang merekod jumlah kematian tertinggi iaitu peristiwa Tsunami Lautan Hindi 2004 yang mengorbankan sejumlah 226,400 nyawa dan tragedi Gempa Bumi Haiti 2010 yang meragut hampir 222,000 orang dengan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Tsunami Lautan Hindi 2004
Jika diimbau kembali tragedi yang berlaku lebih 15 tahun lepas, ramai tidak menduga negara yang kita sayangi ini boleh dilanda tsunami buat pertama kali pada 26 Disember 2004. Ombak pemusnah tercetus apabila berlaku gempa bumi dengan magnitud 9.1 di pantai barat laut Sumatera menghasilkan tsunami merentas lautan yang dikenali sebagai Tsunami Lautan Hindi 2004.
Ombak tsunami ini telah menjejaskan 16 buah negara berhampiran Lautan Hindi dan mengorbankan hampir suku juta nyawa di 14 buah negara. Di antara negara-negara yang terkesan hebat akibat bencana alam ini adalah Indonesia yang mencatatkan jumlah korban tertinggi iaitu 165,708 diikuti dengan 35,399 kematian di Sri Lanka, 16,389 korban di India dan 8,345 orang di Thailand.
Negara-negara lain mencatatkan jumlah kehilangan nyawa tidak melebihi 300 orang. Malaysia tidak terkecuali, 68 orang dilaporkan meninggal dunia dengan anggaran kerosakan dan kerugian ekonomi adalah sebanyak US$500,000. Negeri-negeri yang paling teruk terjejas adalah Kedah (Pulau Langkawi dan Kota Kuala Muda) dan Pulau Pinang.
Gempa Bumi Ranau 2015
Pada 5 Jun 2015, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian gempa bumi bermagnitud 6.0 pada skala Richter yang berpusat di Ranau, Sabah. Gegaran juga turut dirasai di beberapa kawasan lain di Sabah seperti di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. Kejadian ini telah menyebabkan kerosakan pada struktur bangunan, kediaman, infrastruktur jalan raya serta mengorbankan 18 orang malim gunung dan pendaki Gunung Kinabalu. Musibah yang melanda ini perlu dijadikan iktibar kepada kita semua agar sentiasa mengambil langkah berwaspada dan menyedari bahawa Malaysia berisiko dan terdedah kepada ancaman gempa bumi.
Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM)
Bertitik tolak daripada tragedi tsunami yang melanda negara pada 26 Disember 2004, kerajaan Malaysia melalui Jabatan Meteorologi Malaysia telah membangunkan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) pada 2005. Tujuan utama penubuhan SAATNM adalah untuk mengeluarkan amaran awal tsunami yang efektif dan cepat kepada orang awam sekiranya berlaku tsunami di Lautan Hindi, Laut Andaman, Laut China Selatan, Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Lautan Pasifik yang berkemungkinan menjejaskan negara.
Jabatan Meteorologi Malaysia atau lebih dikenali sebagai MET Malaysia merupakan agensi tunggal di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang bertanggungjawab memantau aktiviti gempa bumi dan mengeluarkan maklumat gempa bumi serta amaran awal tsunami di Malaysia. Operasi pemantauan dilaksanakan oleh Pusat Operasi Cuaca dan Geofzik Nasional (POCGN) – MET Malaysia; 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tahun dan boleh dihubungi oleh orang awam pada setiap masa.
SAATNM beroperasi di bawah interaksi tiga komponen utama iaitu Komponen Pengumpulan Data, Komponen Pemprosesan Data dan Komponen Penyebaran.
Komponen Pengumpulan Data berfungsi memantau elemen-elemen berikut pada masa nyata (real time):-
rangkaian 77 stesen seismologi tempatan serta antarabangsa yang diakses melalui Global
Seismic Network (GSN);
rangkaian 17 stesen tolok pasang surut tempatan serta rangkaian pemantauan paras laut
antarabangsa;
rangkaian 18 stesen kamera pantai (CCTV); dan
pemantauan buletin gempa bumi dan tsunami dari Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC), Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dan Pusat Perkhidmatan Tsunami (TSP) iaitu Australia, India dan Indonesia.
Komponen Pemprosesan Data pula merupakan aplikasi dan perisian pemprosesan data seismik dan pemodelan tsunami. Aplikasi pemprosesan secara automatik data seismik yang digunakan di MET Malaysia dikenali sebagai aplikasi Seiscomp3 dan Antelope bagi menentukan parameter seperti pusat gempa, kedalaman dan kekuatan (magnitud) sesuatu gempa bumi yang berlaku di dalam atau luar Malaysia. Pemodelan tsunami pula merupakan simulasi model tsunami daripada senario tsunami yang menghasilkan output ketinggian ombak tsunami (tsunami wave height) dan masa ketibaan tsunami (tsunami arrival time) di kawasan pantai di Malaysia.
Komponen terakhir iaitu Komponen Penyebaran dikenali juga sebagai sistem penyampaian dan hebahan. Komponen ini berfungsi mengeluarkan maklumat atau buletin gempa bumi dan amaran awal tsunami kepada orang awam dan agensi-agensi pengurusan bencana melalui pelbagai saluran komunikasi seperti sistem pesanan ringkas (SMS), emel, faks, hebahan di laman web, aplikasi myCuaca, radio dan televisyen serta kenyataan akhbar. Informasi yang sama juga boleh diakses di media sosial rasmi MET Malaysia (Facebook, Instagram dan Twitter).
Selain itu, hebahan di TV oleh penyampai MET Malaysia turut bersiaran tiga kali sehari bagi memastikan orang awam mendapat maklumat yang terkini, tepat dan sahih. Di dalam situasi berlakunya ancaman tsunami yang memerlukan pengungsian (evacuation), siren tsunami akan diaktifkan. Sehingga kini, negara kita dilengkapi dengan 53 buah siren tsunami yang ditempatkan di kawasan pantai yang strategik seluruh negara. Dari semasa ke semasa, MET Malaysia sentiasa mengkaji dan menambah baik kelengkapan, perisian dan keupayaan sistem agar selari dengan teknologi pemantauan gempa bumi dan tsunami terkini.
SAATNM kini turut dilengkapi dengan sistem pemprosesan yang dinamakan Advanced Decision and Dissemination Malaysia Seismic and Tsunami Information System (ADMIS) mulai Ogos 2017. Penggunaan sistem ini telah meningkatkan kecekapan dalam menganalisa dan menyebarkan maklumat kejadian gempa bumi kepada agensi pengurusan bencana dan orang awam dalam tempoh lapan (8) minit dari masa gempa bumi dikesan. Selain itu, aspek utama yang tidak diabaikan adalah penyampaian perkhidmatan kepada orang awam. MET Malaysia telah membangunkan laman web myGempa yang boleh diakses di http://mygempa.met.gov.my.
Di antara produk yang boleh dicapai adalah aplikasi Peta Gegaran (ShakeMap) yang dapat memberikan maklumat gempa bumi dengan lebih komprehensif merangkumi gambaran tuntas mengenai kejadian gempa bumi serta tindakan susulan yang perlu diambil oleh Agensi Pengurusan Bencana dalam menguruskan bantuan bencana dengan efisien.
Kesemua usaha ini dilaksanakan oleh Kerajaan untuk memastikan aspek pemantauan gempa bumi dan tsunami di Malaysia adalah selaras dengan perkembangan teknologi terkini bagi menjamin kesejahteraan rakyat melalui kesiapsiagaan Malaysia menghadapi ancaman gempa bumi dan tsunami di masa hadapan.
Cabaran dan Kekangan Sistem Amaran Awal
Sehingga kini, negara kita mempunyai Sistem Amaran Awal Tsunami yang canggih dan setara dengan negara-negara maju lain serta berupaya mengesan kejadian gempa bumi dan tsunami. Penyebaran maklumat gempa bumi dapat dilakukan dalam masa lapan (8) minit selepas kejadian gempa bumi dikesan. Namun begitu secanggih mana sistem yang dibangunkan, ianya tidak akan berkesan jika orang ramai tidak memahami dan tidak tahu apa yang harus dilakukan setelah menerima maklumat dan amaran awal yang dikeluarkan oleh MET Malaysia. Disebabkan bencana tsunami adalah jarang berlaku, maka orang ramai cenderung untuk lupa dan tidak membuat persediaan rapi. Selain itu, sifat semula jadi kejadian gempa bumi yang tidak boleh diramal turut menjadi cabaran di dalam menguruskan risiko bencana alam ini.
Semua orang sedia maklum bahawa bencana alam tidak boleh dicegah, tetapi ilmu pengetahuan, perancangan dan persediaan awal dapat meminimumkan impak kematian dan kemusnahan harta benda. Salah satu komponen utama dalam usaha mengurangkan impak negatif bencana alam adalah dengan memperkasakan kesedaran awam seperti program-program kesedaran awam dan Latih Amal Tsunami. Semua lapisan masyarakat perlu dididik dengan pengetahuan mengenai risiko bencana yang mereka hadapi, sistem amaran awal yang ada di negara ini serta tatacara menyelamatkan diri apabila berlaku sesuatu bencana.
Persediaan dan Kesedaran Awam
Kejayaan di sebalik sesebuah sistem amaran awal adalah apabila sistem berupaya memberikan “masa yang mencukupi” atau dikenali sebagai “masa keemasan” bagi komuniti yang berisiko untuk menyelamatkan diri apabila berdepan dengan ancaman bencana alam. Dan masyarakat perlu menghargai “masa keemasan” ini dengan bijaksana agar dapat mengambil tindakan yang bersesuaian untuk menyelamatkan diri.
Justeru, kata kunci kejayaan menggunakan “masa keemasan” ini adalah “kesedaran awam” dan “persediaan”. MET Malaysia komited dan secara berterusan berusaha mendidik orang awam menerusi pelbagai strategi pelaksanaan program dan aktiviti. Pendekatan berbeza turut diambil iaitu dengan pelaksanaan program turun padang mendekati masyarakat, program-program bersifat simulasi latih amal (drill) serta program ilmiah seperti bengkel dan ceramah kesedaran awam. Hebahan menerusi program bual bicara atau temu bual di radio dan televisyen juga merupakan salah satu inisiatif MET Malaysia untuk mendekati masyarakat dan menyebarkan ilmu pengetahuan.
Selain itu, MET Malaysia turut berusaha memperkasakan penggunaan teknologi maya dengan menyediakan maklumat, informasi pendidikan serta penulisan ilmiah yang boleh dicapai di laman web Jabatan termasuk perkongsian maklumat di media sosial rasmi Jabatan (Facebook, Instagram dan Twitter).
Kapasiti Tindak Balas Komuniti
MET Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan kapasiti tindak balas dan kesiapsiagaan orang awam dalam menghadapi sebarang risiko bencana sejak tahun 2006 lagi. MET Malaysia dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan sejumlah 19 siri Latih Amal Tsunami sejak tahun 2006 di seluruh negara dengan pecahan sepuluh (10) daripadanya dilaksanakan di Semenanjung, enam (6) di Sabah, satu (1) di Sarawak dan dua (2) di Wilayah Persekutuan Labuan. Keseluruhan 19 siri Latih Amal Tsunami ini telah melibatkan sejumlah 19,776 orang peserta.
Semua ini merupakan usaha untuk membolehkan kerajaan menguji keberkesanan sistem amaran awal tsunami serta tindak balas daripada agensi-agensi pengurusan bencana dan masyarakat terhadap amaran awal tsunami. Selain Latih Amal Tsunami, sejumlah 87 siri Kempen Kesedaran Awam turut dilaksanakan di seluruh negara sejak tahun 2007. Sejumlah 53 siri Kempen Kesedaran Awam dijalankan di Semenanjung, 23 siri di Sabah, sembilan (9) di Sarawak dan dua (2) kempen di WP Labuan. Kesemua 87 program kesedaran awam ini telah disertai oleh 20,172 orang peserta di seluruh negara.
Program Kesedaran Awam dan Latih Amal Tsunami disasarkan kepada orang awam khususnya komuniti setempat, pelajar-pelajar dan warga sekolah, agensi awam atau swasta, pasukan pengurusan bencana tempatan atau negeri, NGO, sukarelawan serta pihak media. Pengisian program yang dirancang dalam bentuk sesi akademik iaitu taklimat dan ceramah kesedaran awam mengenai risiko bencana dan simulasi atau praktikal pengungsian untuk menilai tahap kesiapsiagaan komuniti setempat dalam menghadapi bencana.
Program ini turut memberi pengetahuan dan panduan kepada peserta mengenai cara menyelamatkan diri sekiranya berlaku bencana selain perkongsian pengetahuan berkenaan perkhidmatan dan peranan MET Malaysia dan agensi-agensi di bawah pengurusan bencana di Malaysia. Aktiviti turun padang sebegini telah berjaya mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya penduduk tempatan yang tinggal di kawasan berisiko tinggi seperti di pesisir pantai.
Kerjasama dan penglibatan orang awam, masyarakat setempat serta agensi-agensi yang terlibat di dalam pengurusan bencana sangat diperlukan dalam usaha mempersiapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, disiplin, moral dan semangat agar mempunyai kesedaran dan bersedia menghadapi ancaman bencana gempa bumi dan tsunami. MET Malaysia komited dan akan berterusan melaksanakan program-program sebegini demi memupuk kesedaran awam dan kesiapsiagaan di kalangan rakyat Malaysia.
Hari Kesedaran Tsunami Sedunia 2020
Tanggal 5 November setiap tahun telah dipilih sebagai ‘Hari Kesedaran Tsunami Sedunia’ atau World Tsunami Awareness Day (WTAD) berdasarkan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 22 Disember 2015 bertujuan untuk memupuk kesedaran, moraliti dan kesiapsiagaan setiap negara di peringkat antarabangsa terhadap bencana tsunami. WTAD disambut sejak tahun 2016 bagi memperingati kejadian-kejadian tsunami di seluruh dunia.
Fokus utama penganjuran WTAD pada tahun ini adalah untuk mempromosikan Sasaran Global (e) Kerangka Kerja Sendai Bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030: Meningkatkan bilangan negara yang mempunyai strategi pengurangan risiko bencana kebangsaan dan tempatan menjelang 2020. Sememangnya di peringkat kebangsaan, MET Malaysia sebagai agensi penting menyambut baik saranan kempen kesedaran tsunami melalui sambutan WTAD ini bagi memenuhi objektif dan misi di peringkat global.
Peristiwa di sebalik tarikh 5 November adalah untuk menghormati kisah sebenar dari negara Jepun iaitu Inamura-no-hi yang bermaksud api dari tompokan padi. Kisah ini menceritakan bencana tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi di Ansei-Nankai pada tahun 1854. Tsunami tersebut telah membadai Semenanjung Kii yang kini dikenali sebagai Hirokawa yang berada di sebelah barat Jepun. Seorang ketua kampung dan petani di daerah tersebut yang bernama Hamaguchi Goryo telah berjaya menyelamatkan seluruh penduduknya dengan cara membakar padi miliknya yang berada di atas bukit. Hal ini dilakukan supaya penduduk kampung lari ke atas bukit untuk memadamkan kebakaran tersebut sekaligus menyelamatkan mereka dari bencana tsunami. Rancangan Hamaguchi itu sebenarnya sangat berkesan dan ia merupakan cara yang disarankan oleh pakar apabila berlakunya tsunami iaitu dengan lari ke tempat tinggi. Dengan memperingati kisah ini di kalangan masyarakat Jepun, tarikh tersebut telah menjadi hari penuh bersejarah bagi kejadian alam ini. Justeru itu, sempena WTAD kali ini
MET Malaysia menyeru agar kita bersama-sama bersiap sedia bagi menghadapi sebarang situasi andai bencana gempa bumi dan tsunami berlaku di negara kita pada masa akan datang.
-- BERNAMA
Artikel ini sumbangan Jabatan Meteorologi Malaysia