DIARI MEDIA

TERSIRAT DI BALIK KEWARTAWANAN KEUSAHAWANAN

17/11/2020 12:54 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Dr Chamil Wariya

Selain subjek keusahawanan media (media entrepreneurship), satu lagi modul baharu yang diperkenalkan oleh pusat-pusat pengajian kewartawanan dan media di universiti-universiti di Amerika Syarikatialah kewartawanan keusahawanan atau entrepreneurial journalism.

City University New York (CUNY) merupakan institusi pengajian tinggi pertama memperkenalkan subjek tersebut kepada para pelajar kewartawanannya pada 2011. Hari ini boleh dikatakan hampir semua universiti utama di Amerika Syarikat telah memperkenalkan subjek yang dikenali sebagai entrepreneurial journalism ini.

Subjek ini juga sudah mula diajar secara meluas di universiti-universiti di United Kingdom, Kanada, Perancis, Colombia, Mexico dan lain-lain. Memahami ekonomi berita ini diajar sama ada sebagai satu subjek khusus atau sebahagian daripada kursus pengurusan dan perniagaan media.

Hal ini berlaku kerana mendidik para pelajar kewartawanan dengan paradigma bilik berita (newsroom paradigm) yang memisahkan wartawan dengan operasi perniagaan organisasi di mana mereka bekerja, dianggap tidak lagi sesuai dan sudah ketinggalan zaman. Saiz bilik-bilik berita menguncup akibat pembuangan wartawan.

Kekal relevan

Untuk kekal relevan, sekolah-sekolah kewartawanan itu tiada pilihan kecuali mengubah kurikulum yang memberi tumpuan kepada pemupukan pelbagai kemahiran digital, selain pengurusan, perniagaan dan keusahawanan.

Agaknya wartawan mengusahakan sendiri perniagaan media yang dimiliki adalah model masa depan perniagaan bidang kewartawanan. Barangkali senarionya sama seperti hanya peguam, doktor perubatan dan akauntan bertauliah dan berkelayakan sahaja boleh menjalankan perniagaan bidang masing-masing.

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan kewartawanan entrepreneurial atau entrepreneurial journalism? Apakah kelainan, kelebihan dan kekurangan ciri-cirinya apabila dibandingkan dengan kewartawanan lama yang kita kenali sebelum ini? Apakah perbezaannya dengan keusahawanan media? Apakah tanggapan para wartawan tradisional terhadap entrepreneurial journalism?Dan yang tidak kurang penting apakah faktor-faktor yang telah melahirkan kewartawanan entrepreneurial tersebut sehingga ia menjadi satu subjek khusus untuk para pelajar kewartawanan di pusat-pusat pengajian tinggi?

Pertanyaan-pertanyaan ini akan cuba dijawab dalam tulisannya, walaupun tidaklah mengikut urutan soalan-soalan diajukan.

Tidak dapat tidak untuk memahami apakah yang dimaksudkan sebagai kewartawanan entrepreneurial, kita kena kembali kepada penjelasan yang diberikan oleh Dekan CUNY, Profesor Stephen B. Shepard sewaktu beliau mula-mula memperkenalkan modul tersebut pada peringkat sarjana di universitinya lebih 10 tahun yang lalu iaitu pada 2011.

Beliau antara lain menghuraikan: “We plan to design and launch a program in entrepreneurial journalism – providing students with the education and research tools needed to build a sustainable future for journalism. Training our students is just the beginning. We need research to find the economic model that will replace the financial underpinnings that no longer work and new products to reach new audiences in new ways.”

Adalah jelas bahawa terkandung dalam kenyataan itu adalah tiga elemen yang membezakan kewartawanan entrepreneurial dengan kewartawanan tradisional atau klasikal. Ketiga-tiga elemen itu ialah: pertama untuk membina masa depan kewartawanan yang dapat berterus bertahan; kedua, mengusahakan model baharu perniagaan media khususnya organisasi berita dan maklumat bagi menggantikan topangan kewangan model lama yang tidak lagi berfungsi dan ketiga, menghasilkan produk-produk baharu kewartawanan untuk menembusi audiens baharu dengan cara-cara baharu.

Dengan kata lain, tersirat di balik kenyataan itu adalah krisis dunia kewartawanan dan media berikutan kehadiran teknologi digital dan kesungguhan pusat-pusat pengajian tinggi bertaraf universiti untuk memupuk mindset keusahawanan yang diperlukan dalam kalangan para pelajarnya untuk melakar masa depan industri media pada era digital.

Selain itu ia juga bertujuan untuk membantu calon-calon wartawan yang berada di universiti-universiti mencipta pekerjaan sendiri setelah berlaku penguncupan dari segi peluang kerja yang disediakan oleh media tradisional; menyediakan mereka dengan kemahiran-kemahiran untuk meneroka peluang baharu perniagaan media dan peluang-peluang jurnalistik era digital dalam dunia media.

Hal ini kerana terpukul teruk berikutan kehadiran teknologi digital dalam dunia media adalah penerbitan dan kewartawanan cetak. Cerita surat khabar atau majalah ditutup, edaran akhbar merudum dan tidak mungkin kembali ke tahap zaman gemilangnya, pendapatan pengiklanan yang berkurangan dengan banyaknya dan wartawan kehilangan kerja atau lulusan media dan kewartawanan sukar mencari pekerjaan sudah tidak lagi menjadi berita sensasi.

Industri matahari terbenam

Malah ada yang mengatakan semua itu sudah menjadi cerita basi. Setelah kebal daripada sebarang impak negatif ekonomi yang agak ketara sejak sekian lama, persuratkhabaran, sebagai satu perusahaan kini dianggap sebagai industri matahari terbenam.

Kecuali segelintir penerbitan cetak yang teguh kedudukan kewangan kerana perkhidmatan yang disediakan dilanggan khalayak seperti The New York Times, The Wall Street Journal dan The Washington Post atau akhbar-akhbar yang disokong oleh jutawan kaya raya, industri penerbitan legasi yang lain – akhbar dan majalah – sebenarnya berada dalam keadaan nazak.

Di Amerika Syarikat, di mana surat khabar dianggap sebagai salah satu komponen penting demokrasi, dari sudut sebagai pembekal maklumat dan juga sebagai jagawan, Profesor Penny Abernathy, pensyarah Kewartawanan dan Ekonomi Media Digital di University of North Carolina, menganggarkan 2,100 surat khabar telah menghentikan operasinya antara 2004 hingga awal 2020.

Sebanyak 70 daripada jumlah akhbar yang gulung tikar itu merupakan penerbitan harian manakala bakinya akhbar mingguan. Sebahagian besar akhbar yang berkubur itu pula ialah pembekal maklumat dan jagawan estet keempat di peringkat negeri dan daerah atau kaunti.

Menurut Profesor Abernathy “berikutan keruntuhan industri persuratkhabaran, separuh daerah di Amerika Syarikat hanya memiliki sebuah akhbar sahaja, biasanya akhbar mingguan. Menurut perkiraan terbaharu, 171 kaunti langsung tidak mempunyai surat khabar.”

Sebuah badan penyelidikan media, Pew Research Center pula menganggarkan dalam tempoh 10 tahun antara 2008 hingga 2018, 47% wartawan dalam bilik berita organisasi akhbar telah kehilangan mata pencarian. Bilangan wartawan yang berkhidmat dengan surat khabar di negara tersebut hanya tinggal sebanyak 38,000 pada 2018 berbanding 71,000 pada 2008.

Sekiranya angka lima segmen media diambil kira meliputi akhbar, radio, TV, kabel dan perkhidmatan-perkhidmatan maklumat yang lain, seramai 32,000 orang wartawan telah kehilangan pekerjaan. Pada 2008, terdapat 118,000 wartawan bekerja dengan lima segmen media itu di Amerika Syarikat. Angkanya pada 2018 merosot kepada 86,000 sahaja.

Bagaimanapun, di balik kemuraman industri media cetak, terdapat cahaya baharu dalam dunia penerbitan dan kewartawanan kali ini bukan di alam nyata, tetapi di alam maya. Di sinilah kewartawanan entrepreneurial itu berkembang.

Rupanya teknologi digital dunia media bukan sahaja memusnahkan, tetapi membangunkan platform-platform baharu dalam talian untuk bertindak sebagai pembekal maklumat kepada khalayak. Cuma dari segi menyediakan peluang pekerjaan dalam dunia kewartawanan, portal berita dan pelbagai website maklumat, tidaklah sebesar yang mampu disediakan oleh media cetak. Tenaga kerja yang diperlukan juga memerlukan satu set kemahiran-kemahiran baharu yang tidak wujud sebelum itu.

Model bisnes portal berita, dari segi operasinya, lazimnya tidak menggaji bilangan wartawan yang besar seperti suratkhabar. Justeru bilangan wartawan yang boleh diambil bekerja dengan portal berita juga tidaklah seramai yang direkrut oleh media cetak. Selain itu bekerja dengan organisasi media digital memerlukan kemahiran-kemahiran tambahan yang berbeza yang tidak diajar di sekolah-sekolah kewartawanan sebelum ini.

Nilai semula subjek kewartawanan

Menyedari hakikat tersebut, terdapat kesedaran dalam kalangan ahli-ahli akademik kewartawanan di peringkat universiti di Amerika Syarikat untuk menilai semula subjek kewartawanan yang diajar kepada para pelajar masing-masing. Subjek teras kewartawanan itu sendiri yang mendidik para pelajar dengan kemahiran asas seperti mengenal berita, menghasilkan pelaporan yang saksama dan seimbangan, penulisan rencana, melakukan analisis, penyuntingan dan lain-lain yang berkaitan tidak dimansuhkan. Malah kewartawanan penyiasatan yang dianggap tiang seri pemberitaan kekal sebagai subjek teras.

Sebaliknya melalui subjek entrepreneurial journalism para pelajar didedahkan dengan pemahaman mantap unsur-unsur penting dalam perniagaan organisasi berita: produk, audiens, pendapatan, pengedaran, kos dan risiko. Para pelajar yang dilatih untuk menjadi wartawan itu perlu mempelajari perubahan-perubahan yang dibawa oleh teknologi digital seperti efisiensi-efisiensi baharu, hubungkait ekonomi yang berubah selain mengenai pertumbuhan platform dan rangkaian.

Seperti yang dihuraikan oleh Benjamin Bathke dari Lindenwood University dalam tulisan beliau yang berjudul: Entrepreneurial Journalism pada 2014: “To succeed in the new marketplace, entrepreneurial journalists must have a grounding in basic business fundamentals, i.e. core principles of finance, strategy, marketing and other areas so they can comprehend and evaluate basic business documents. What is more they need to develop analytical tools for assessing entrepreneurial business ideas.”

Beliau juga berpendapat: “It is apparent that journalists in the digital era need to be more than journalists in the traditional sense. It is no longer feasible to just produce stories you are told to write. Media members are forced to acquire skills that had not needed previously and need to learn aspects of an organization they had nothing to do with before… journalists’ success and the longevity of their careers depend on how well they understand how business work in the context of digital disruption.”

Tetapi sudah tentu bukan semua ahli akademik di Amerika Syarikat meraikan kelahiran apa yang dipanggil sebagai kewartawanan entrepreneurial ini. Ada yang sangsi dengan pendidikan baharu kewartawanan tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana kurikulum kewartawanan bentuk baharu ini tidak lagi mempertahankan autonomi bilik berita. Sebaliknya ia telah merobohkan tembok yang memisahkan bilik berita dengan urusan perniagaan dan komersial organisasi media itu sendiri.

Estet Keempat

Bagi mereka yang ingin melihat media memainkan peranannya sebagai jawagan estet keempat bagi menyemak dan mengimbangi golongan yang berkuasa, dan bertindak sebagai pembekal maklumat yang tidak berpihak atau dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan, termasuk kepentingan perniagaan media itu sendiri, kewujudan tembok yang menjamin kebebasan editorial adalah penting.

Menurut golongan itu, kewartawanan dan media sebagai entiti bisnes yang mempunyai misi perkhidmatan awam memaklumatkan masyarakat untuk membantu mereka membuat keputusan-keputusan yang bernas dalam kehidupan demokratik mereka, tidak boleh berada di bawah telunjuk kepentingan perniagaan.

Justeru pengkritik kewartawanan entrepreneurial akan senantiasa melihat kewartawanan jenis itu sebagai bukan sahaja bertentangan dengan gagasan kebebasan media itu sendiri tetapi akan mentakrifkan semula hubungan media sebagai penyubur dan pelindung demokrasi di dunia Barat.

Bagaimanapun golongan yang mempertahankan kewartawanan entrepreneurial melihat bahawa industri berita dan maklumat sedang melalui perubahan radikal dan sekolah-sekolah kewartawanan hendaklah membantu para pelajar yang bakal menyertai dunia kewartawanan menerajui perubahan-perubahan yang dijangka berlaku, memanfaatkan gangguan teknologi untuk menyelamatkan kewartawanan itu sendiri daripada berkubur dalam ekosistem media yang pantas berubah.

--BERNAMA

Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)