Oleh Nor Azrul bin Mohd Zin, PhD
Belia Malaysia kini berhadapan dengan landskap cabaran yang semakin kompleks di tahun 2025, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) yang pesat berkembang serta integrasi pembangunan keusahawanan yang holistik.
Perubahan teknologi dan keperluan pasaran kerja global telah menuntut belia untuk lebih bersedia, fleksibel, dan inovatif dalam menghadapi cabaran tersebut.
AI berperanan penting dalam pembangunan ekonomi dan keushawanan
Justeru, peranan AI dalam pembangunan ekonomi serta keusahawanan telah menjadi elemen utama yang menentukan masa depan belia negara.
AI kini menjadi pemacu utama teknologi global, mencipta lebih 97 juta pekerjaan baharu menjelang 2025 yang secara secara tidak lansung menggantikan beberapa sektor pekerjaan tradisional.
Di Malaysia, sektor AI berkembang pesat pada kadar 20 peratus setahun, dengan permintaan tinggi untuk kemahiran analitik data, pembelajaran mesin, dan automasi.
Tahap celik teknologi belia Malaysia masih sederhana
Bagaimanapun, tahap celik teknologi belia Malaysia masih sederhana, dan kekurangan kemahiran digital boleh menghalang mereka memanfaatkan peluang AI yang sedia ada.
Lantas program latihan AI yang dibiayai kerajaan perlu diperluaskan untuk memberi belia akses kepada pendidikan dan latihan teknologi terkini.
Dalam pada itu, keusahawanan merupakan inisiatif berkesan untuk menangani cabaran ekonomi dan sosial dengan 25% belia Malaysia berminat memulakan perniagaan namun hanya 8% berjaya mencapainya, disebabkan kekurangan modal, bimbingan, dan akses kepada pasaran global.
TUBE dan Dana Bantuan Usahawan Muda
Kerajaan Malaysia telah melaksanakan inisiatif seperti Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dan Dana Bantuan Usahawan Muda yang dilihat perlu diperluaskan dengan menekankan integrasi teknologi dalam keusahawanan.
Tindakan itu akan memberi laluan kepada belia untuk menambah ilmu dengan kemahiran digital, seperti AI bagi menganalisis pasaran dan automasi operasi dan meningkatkan daya saing perniagaan.
Antara strategi pembangunan kemahiran AI dan keusahawanan ialah melalui pendidikan dan latihan, yang menajadi kunci untuk mempersiapkan belia menghadapi cabaran masa depan.
Integrasi modul AI dalam kurikulum pendidikan tinggi, seperti yang dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui program AI dan data besar, adalah langkah penting.
Malah usaha itu perlu diperluaskan ke institusi vokasional dan teknikal agar lebih ramai belia boleh mendapat manfaatnya.
Kerjasama pelbagai pihak
Sementara itu, kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, dan industri swasta perlu dipergiatkan terutamanya apabila syarikat seperti Grab dan Microsoft telah melaksanakan inisiatif latihan AI untuk pembangunan belia di Asia Tenggara.
Malaysia perlu mengambil iktibar dan contoh dalam usaha kerjasama berkenaan bagi menyediakan latihan praktikal dan peluang pekerjaan sektor teknologi tinggi.
Bukan itu sahaja, ekosistem keusahawanan yang inklusif perlu diwujudkan bagi menyokong kepada pembangunan belia.
Akses kepada modal kerjasama dan inkubator perniagaan adalah kunci kejayaan kepada penjanaan perniagaan baharu seperti Cradle Fund dan MaGIC yang membimbing usahawan muda serta menghubungkan mereka dengan pelabur diperingkat global.
Kempen kesedaran AI
Kempen kesedaran tentang AI dan potensinya perlu diperluaskan apabila golongan belia masih memandang AI secara negatif, melihatnya sebagai ancaman kepada pekerjaan.
Pendekatan secara holistik menerusi pendidikan awam dan program kesedaran yang dibiayai kerajaan dapat mengubah persepsi itu serta mendorong lebih ramai belia meneroka bidang AI.
Selain kemahiran teknikal, kesediaan mental dan kepimpinan memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran AI dan keusahawanan.
Keadaan itu dapat dilihat apabila tahap keyakinan diri belia Malaysia masih sederhana dalam menghadapi perubahan teknologi lantas program pembangunan diri seperti latihan kepimpinan, pengurusan tekanan, dan kemahiran komunikasi perlu diberi keutamaan.
Akhir sekali, kesediaan belia Malaysia menghadapi cabaran 2025 dalam AI dan keusahawanan memerlukan pendekatan strategik menerusi pendidikan, sokongan keusahawanan, dan kerjasama pelbagai pihak lantaran akan memberi peluang kepada belia beradaptasi dan memimpin dalam dunia teknologi.
Malaysia perlu memperkasakan belia sebagai aset utama negara dengan memastikan mereka memiliki kemahiran, pengetahuan, dan keyakinan untuk menghadapi masa depan.
-- BERNAMA
Nor Azrul bin Mohd Zin, PhD ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.