Tahun ini merupakan tahun yang penuh mencabar yang melibatkan seluruh populasi di peringkat global dan sudah semestinya tidak terkecuali buat dunia sukan. Seperti saya dan kebanyakan daripada kita sama ada terlibat secara langsung atau membuat pelaburan dalam dunia sukan sebagai jurulatih, atlet, penyelidik, guru pendidikan jasmani, pemain industri ataupun tidak sekurang-kurangnya terlibat sebagai penonton.
Setelah banyak penangguhan dan pembatalan jadual dan temasya sukan ekoran situasi pandemik yang masih berlarutan namun bersyukurlah kerana kita masih lagi disajikan dengan beberapa perlawanan sukan yang masih boleh ditonton atau sama ada terlibat secara langsung atau tidak langsung. Namun adakah corak, persekitaran dan persembahannya masih sama?
Perubahan Agenda
Pandemik ini telah mempengaruhi pola dan cara kita berfikir, hidup, bekerja, bermain dan dunia sukan sudah pastinya tidak terkecuali. Dengan perubahan kebiasaan baharu atau “new norm”, pemegang taruh dunia sukan dan sukan itu sendiri terpaksa menyesuaikan diri daripada keadaan yang tidak biasa kepada kebiasaan baharu dengan persekitaran sukan yang terus berubah.
Penyesuaian terhadap peraturan dan gaya bermain mengikuti teknologi dan peralatan baru, kaedah latihan yang lebih baik, kemajuan dalam kecergasan, teknik dan tidak terkecuali harapan peminat.
Kehadiran COVID-19 menyebabkan wujudnya banyak perubahan penting yang dilakukan dengan cepat demi memenuhi keadaan baharu ini. Penangguhan Olimpik Tokyo telah mencetus gelombang kejutan ke seluruh dunia sukan dan memberi kesan kepada atlet. Begitu juga penundaan Piala Thomas dan Uber, AFC bawah 19 dan 21 tahun dan banyak lagi kejohanan sukan bertaraf antarabangsa, selain persediaan atlet-atlet muda negara dalam menghadapi SUKMA Johor.
Atlet yang mengerahkan semua usaha mereka untuk mencapai puncak prestasi pada waktu yang tepat kini harus mengubah semua latihan mereka jika mereka dapat berlatih dan menyertai kejohanan itu.
Pertandingan yang dibatalkan atau musim dikurangkan memberi impak kepada masa permainan yang mungkin disingkatkan atau dimainkan pada masa yang berlainan dalam setahun pada keadaan yang berbeza lalu menjadi lebih sukar memilih pemenang.
Integrasi Teknologi Dalam Sukan
Di sebalik musibah yang melanda pasti ada hikmah di sebaliknya untuk kita kecapi, begitu juga dengan dunia sukan yang mana ianya bukanlah menjadi titik penamat. Teknologi dalam sukan telah dibawa ke barisan hadapan bagi menghadapi perubahan yang berlaku. Contohnya, teknologi pengadilan jarak jauh yang mula diperkenalkan secara berperingkat di kejohanan elit.
Bukan sekadar membantu pertingkatkan ketepatan mutu dan corak pengadilan malah teknologi seperti ini juga membantu untuk mengurangkan jumlah orang di gelanggang. Kejohanan Tenis Terbuka USA telah menggantikan hakim yang dulunya daripada kalangan manusia di kebanyakan gelanggang kepada Hawk-Eye Live, sistem elektronik yang membuat panggilan talian automatik. Dalam erti kata lain, teknologi ini mampu untuk diamalkan sebagai satu operasi standard dalam mengekang penularan pandemik ini.
Mungkin suatu hari nanti kita tidak lagi memerlukan pengadil sama sekali seperti tempat kerja, universiti atau sekolah yang kini yang sudah mula berinteraksi secara atas talian. Jurulatih dan atlet juga telah bergerak secara atas talian untuk memberikan perkhidmatan mereka justeru tiada lagi keperluan untuk melakukan perjalanan dan keperluan seumpamanya.
Rentetan senario ini, maka jurulatih juga berupaya untuk berkongsi kepakaran dan bimbingan kualiti mereka dengan lebih ramai orang dan kawasan serantau yang lebih luas.
Sukan Masa Hadapan
Sebelumnya bagi menyaksikan sesebuah perlawanan secara fizikal di sesebuah stadium maka kita dihadkan pada bilangan keterbatasan jumlah penonton dan kini tumpuan beralih lebih kepada pengalaman penonton dalam talian dan penonton televison. Justeru adakah kita memerlukan stadium yang besar lagi dan pada masa kini? Sebilangan besar pemegang taruh industri sukan juga telah mengorak langkah baru ke alam maya dan sebahagian besar sukan yang dipertandingkan secara fizikal juga telah mula menggantikan manusia kepada teknologi.
Sepanjang tempoh “lockdown” pelbagai versi, terdapat jenis-jenis sukan yang menggantikan sukan fizikal kepada “e-sports”. Adakah ini yang dikatakan sukan masa hadapan? Sebilangan besar perubahan itu akan berlaku suatu hari nanti, namun sekarang ianya turut dipercepatkan.
Namun begitu sejauh mana perubahan ini berkekalan kita tidak mengetahuinya. Apa yang pasti ia merupakan satu pengalaman yang boleh dijadikan asas kepada hasil yang lebih baik di masa akan datang kerana mungkin keadaan senario sukan semasa ini akan menjadi tren berterusan.
-- BERNAMA
Mohd Firdaus Abdullah merupakan Pensyarah, Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)