Siapa sangka dengan penularan wabak COVID19, kaedah pembelajaran telah mengalami revolusi yang mengejutkan daripada kaedah penyampaian dalam bilik darjah kepada pembelajaran secara dalam talian. Sejujurnya ia merupakan satu cabaran yang amat besar, bukan sahaja kepada pendidik, malahan kepada murid dan ibu bapa. Guru perlu bijak melaksanakan blended learning dengan mencampurkan pelbagai kaedah pembelajaran bagi memastikan pembangunan murid secara holistik dapat dicapai.
Cabaran
Tidak dapat dinafikan pelbagai cabaran dan masalah timbul dalam menjayakan usaha mewujudkan pembelajaran secara berterusan dan mampu melahirkan murid yang holistik daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Pada peringkat awal perlaksanaan pembelajaran dalam talian, telah wujud pelbagai situasi canggung apabila pendidik dengan penuh bersemangat memberikan kerja rumah yang banyak kepada pelajar. Pelajar pula terkejar-kejar dengan jadual kelas yang padat dan menyebabkan mereka mengalami ketidakseimbangan emosi.
Ibu bapa pula menuding jari kepada guru dengan harapan dapat menyediakan pembelajaran yang lebih bermutu tinggi dan mengikuti cita rasa mereka. Kecanggungan situasi ini dilihat berpunca daripada kegagalan semua pihak memahami peranan mereka dalam membentuk pelajar yang menepati keperluan FPK.
Peranan semua pihak
Bagi mendepani cabaran ini, semua pihak perlu berganding bahu memahami peranan masing-masing dalam mendidik murid secara seimbang. Warga pendidik perlu semangat menyampaikan ilmu dan perlu dilaksanakan secara istiqamah dalam apa juga keadaan. Pembentukan murid bukan sekadar memberikan santapan intelektual sahaja, tetapi penerapan nilai murni dan moral yang berterusan perlu disulam bagi melahirkan insan yang berkeperibadian tinggi dan holistik.
Pendidik juga perlu bersifat kreatif dan bersedia mempelajari ilmu baharu bagi mendepani cabaran masa kini. Pendidik perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian selari dengan konsep Pembelajaran Abad Ke-21(PAK21) seperti menggunakan platform aplikasi media sosial dan telesidang seperti Aplikasi Zoom, Google Classroom selain Aplikasi TV Pendidikan seperti Tutor TV di saluran Astro dan Kelas @ Rumah Okey TV RTM.
Penggunaan platform-platform yang bersesuaian dan kreatif ini diharapkan mampu menarik minat murid mengikuti sesi pembelajaran dan bagi mengelakkan keciciran. Kaedah pentaksiran yang bersifat menyeluruh dan merangkumi pengintegrasian semua mata pelajaran bukan sahaja dapat mengurangkan beban tugasan murid, malahan juga mampu melatih murid menyelesaikan masalah aras tinggi serta aplikasi seharian.
Jika sebelum penularan wabak COVID19, tugas dan beban mendidik dan membentuk keperibadian murid diletakkan sepenuhnya di atas bahu pendidik.
Akan tetapi, semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) ini, tugas membentuk keperibadian murid sedikit sebanyak ditanggung oleh ibu bapa yang juga bekerja dari rumah.
Ibu bapa perlu memastikan pelajar berada di hadapan komputer atau gajet pintar tepat pada waktunya bagi sesi kelas dalam talian, memerima maklumat tugasan murid yang disampaikan oleh pendidik melalui media sosial, memantau murid-murid menyiapkan kerja-kerja sekolah, serta menjalankan aktiviti pembelajaran bersama dengan murid. Ibu bapa perlu terbuka dan bersedia menjadi sebahagian individu yang membentuk murid yang mempunyai keperibadian tinggi dan holistik.
Berfikiran positif
Pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) merupakan rahmat kepada ibu bapa dan murid dalam aspek hubungan. Hubungan menjadi semakin rapat apabila menjalankan pelbagai aktiviti keluarga bersama. Solat berjemaah di rumah atau aktiviti mengemas rumah yang dijalankan secara tidak langsung menyemai nilai dan tauladan yang baik kepada murid, sekali gus membentuk akhlak yang mulia. Maka kesanggupan ibu bapa membantu pendidik menjadi pemudah cara meneruskan usaha pembelajaran secara dalam talian di rumah wajar dipandang tinggi.
Murid adalah klien utama dalam sektor Pendidikan dan aset masa hadapan negara. Mereka perlu dibentuk dan dilentur secara berhemah bagi membentuk insan masa hadapan yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan agama.
Usaha yang berterusan ini tidak akan mencapai matlamat sekiranya pelajar tidak bersedia dan tidak membantu dirinya memajukan diri. Oleh yang demikian, murid harus sedar, usaha yang dilakukan oleh pendidik dan ibu bapa akan memberikan kesan yang lebih mendalam sekiranya murid memahami hikmah setiap usaha yang dilakukan pendidik dan ibu bapa.
Tingkat pengetahuan dan potensi diri
Pelaksanaan blended learning dapat dioptimumkan bagi murid mencari ilmu pengetahuan dan meningkatkan potensi diri. Kebolehcapaian maklumat dihujung jari sewajarnya digunakan secara maksimum dan positif oleh murid dalam mencari maklumat bagi memperkayakan diri dengan ilmu pengetahuan, dan memajukan diri demi menjadi insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Kesimpulan, mendepani satu kelaziman baharu yang belum pernah dilakukan sebelum ini, dan dijadikan norma kehidupan secara tiba-tiba adalah suatu yang mengejutkan dan tidak pernah dijangka. Tetapi, ia boleh dicapai dan dilaksanakan apabila semua pihak bekerjasama dan memahami peranan masing-masing. Sama seperti pembelajaran secara dalam talian, ia tidak akan terjadi dan mencapai sasarannya sekiranya semua pendidik, ibu bapa dan murid tidak memainkan peranan mereka yang tersendiri. Dengan kerjasama yang berterusan, usaha yang istiqamah serta kesediaan berkorban semua pihak, tidak mustahil, usaha mendepani cabaran pembelajaran dalam talian akan menjadi lebih mudah.
-- BERNAMA
Dr Ehwan Ngadi adalah Pensyarah, Kolej GENIUS Insan