TINTA MINDA

PENDIDIKAN INKLUSIF DI MALAYSIA : PELAKSANAAN DAN CABARAN

24/03/2025 12:40 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Nor Aniza Ahmad

Kerjaya Cikgu Amirul bermula di sebuah sekolah di Temerloh, Pahang dengan diberi tanggungjawab mengajar kelas yang mempunyai kepelbagaian pelajar.

Majoriti adalah pelajar normal, juga mereka yang berkeperluan khas seperti masalah pembelajaran, disleksia, autisme, dan masalah pendengaran.

Sejak bergelar pendidik, Cikgu Amirul bertekad untuk memastikan semua pelajarnya mendapat akses kepada pendidikan dan peluang pembelajaran yang sama.

Beliau menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi pengajaran untuk memastikan setiap murid dapat belajar serta memahami pelajaran dengan cara mereka sendiri.

Melalui konsep pendidikan inklusif yang diterapkan, semua murid dalam kelasnya berasa kebersamaan semasa belajar malah, dapat mempelajari bagaimana memahami kepelbagaian, mengamalkan sikap bertoleransi, bekerjasama dan saling menyokong sesama mereka.

Bilik darjah menjadi tempat pendidikan yang penuh nilai dan kasih sayang, adil dan saksama.

Setiap murid berasa diri mereka dihargai dan diterima dalam konteks pendidikan nilai khususnya pembentukan karekter murid yang bersahsiah cemerlang.

Amanah yang dilakukan oleh Cikgu Amirul tersebut merupakan inisiatif pendidikan inklusif yang mampu memberi manfaat kepada murid-murid di negara ini.

Impak Pendidikan Inklusif

Pendidikan inklusif penting kerana semua murid dapat belajar tanpa mengira keupayaan atau latar belakang, mendapat peluang yang sama untuk belajar dan mengembangkan potensi diri mereka secara maksimum.

Pendidikan inklusif berupaya memberikan impak positif kepada pembentukan personaliti dan karektor diri murid sebagai insan yang cemerlang.

Menerusi kepelbagaian pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), murid dapat memahami pelajaran dengan lebih baik berdasarkan gaya pembelajaran mereka.

Murid disleksia misalnya, akan lebih mudah memahami teks bacaan sekiranya mereka diberikan bahan pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap kebolehan dan seterusnya dapat meningkatkan pencapaian pembelajaran mereka.

Inklusif juga dapat memacu interaksi sosial dan pembelajaran kolaboratif menerusi sikap bekerjasama dan saling membantu kerana murid akan lebih cepat memahami konsep yang dipelajari.

Hal ini boleh dilihat menerusi rakan pembimbing bilik darjah, yang mana murid belajar bersama dalam satu pasukan yang menjadikan pembelajaran lebih bermakna serta lebih berkesan.

Bilik darjah inklusif pula membentuk sikap empati dan toleransi dalam kalangan murid.

Mereka menghormati perbezaan, memahami kepelbagaian dan keperluan rakan mereka yang berbeza.

Apabila semua murid diterima tanpa diskriminasi, mereka akan lebih selesa untuk berinteraksi dan berkawan tanpa rasa rendah diri atau terpinggir.

Hal ini membantu mengurangkan masalah buli di samping mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih positif, harmoni dan mesra pembelajaran.

Murid berpeluang belajar mengikut keperluan mereka serta mempunyai keyakinan tinggi terhadap kebolehan sendiri.

Murid yang mempunyai perasaan malu yang tinggi kerana kesukarannya dalam memahami mata pelajaran tetapi selepas mendapat sokongan daripada rakan pembimbing dan guru, mereka menjadi lebih berani untuk bertanya dan belajar.

Dalam bilik darjah inklusif dan mesra pembelajaran, pelajar lebih berani mencuba dan tidak takut membuat kesilapan kerana mereka tahu mereka akan disokong oleh guru dan rakan-rakan.

Keadaan ini lebih memotivasikan murid untuk terus berusaha di samping mengurangkan tekanan dan kebimbangan akademik.

Tuntasnya, pendidikan inklusif memberikan manfaat serta impak yang besar kepada pelajar dalam aspek akademik, membentuk nilai, keperibadian, sahsiah dan membina hubungan serta interaksi sosial yang baik.

Hal ini bukan sahaja sekadar memastikan setiap pelajar mendapat hak untuk belajar, tetapi juga membina generasi pelajar sekolah masa kini yang lebih prihatin, berdaya saing, saling menyokong serta menghormati antara satu sama lain.

Pendekatan Pendidikan Inklusif

Inklusif telah menjadi satu pendekatan utama dalam sistem pendidikan global, termasuk Malaysia.

Pendekatan ini bertujuan memastikan semua pelajar, termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas, mendapat peluang pendidikan yang sama rata dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif dan mesra pembelajaran.

Sekolah inklusif adalah sekolah yang berusaha untuk mengurangkan pengasingan, dan menambahkan penglibatan kanak-kanak dengan keperluan khas dalam kehidupan sekolah dan komuniti.

Malaysia telah mengambil langkah terkehadapan serta proaktif dalam melaksanakan inisiatif pendidikan inklusif, selaras dengan Pendidikan Untuk Semua (Education for All) dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD).

Malaysia juga mempunyai dasar yang menggariskan kepentingan pendidikan inklusif yang menetapkan sasaran untuk meningkatkan penyertaan pelajar berkeperluan khas dalam sistem pendidikan arus perdana.

Akta Pendidikan Kebangsaan (1996) pula memperuntukkan hak kepada kanak-kanak berkeperluan khas untuk menerima pendidikan yang setara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan Program Pendidikan Inklusif (PPI) untuk menggalakkan penempatan murid berkeperluan khas (MBK) dalam kelas perdana bersama murid lain dengan sokongan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan mereka.

Sebanyak tiga model pendekatan inklusif digunai pakai dalam bilik darjah iaitu:

1. Kelas inklusif penuh yang bermaksud murid berkeperluan khas yang belajar sepenuhnya dalam kelas biasa dengan sokongan tambahan.

2. Kelas separa inklusif di mana murid mengikuti sebahagian pembelajaran dalam kelas biasa dan sebahagian dalam kelas khas mengikut keperluan pembelajaran mereka.

3. Kelas pendidikan khas yang disediakan untuk murid yang memerlukan pendekatan lebih khusus tetapi tetap diberikan peluang berinteraksi dengan pelajar lain dalam aktiviti tertentu di dalam bilik darjah.

Pelaksanaan pendidikan inklusif oleh KPM menunjukkan perkembangan yang positif. Namun demikian, perkembangan pendidikan inklusif dilihat mempunyai pelbagai cabaran dalam pelaksanaannya.

Antara cabarannya adalah kekurangan guru terlatih dalam pendidikan inklusif, penambahbaikan fasiliti dan sumber pembelajaran serta stigma dan penerimaan masyarakat terhadap pelajar berkeperluan khas yang masih perlu dipertingkatkan.

Pihak KPM perlu berusaha gigih dalam meningkatkan pendidikan inklusif khususnya aspek latihan guru, penyediaan fasiliti, dan kesedaran masyarakat.

Negara maju dilihat lebih terkehadapan dalam melaksanakan program pendidikan inklusif ini.

Namun, pihak KPM dilihat terus bekerja keras ke arah sistem pendidikan yang lebih inklusif untuk memastikan semua pelajar mendapat peluang dan akses pembelajaran yang lebih adil dan berkualiti.

Pemerkasaan Pendidikan Inklusif

Dalam usaha memperkasakan dan menjayakan pendidikan inklusif tumpuan perlu terarah kepada dua perkara iaitu:

  1. Meneliti ekosistem persekolahan sedia ada dan memahami bagaimana dan mengapa sekolah biasa perlu memenuhi potensi menyeluruh individu pelajar.
  2. Pendekatan dasar pendidikan inklusif perlu dilakukan secara sistematik, berkaitan dan intrinsik kepada konteks dasar pendidikan kebangsaan lantas menghapuskan halangan pembelajaran dan penglibatan pelajar di peringkat hala tuju pendidikan, struktur, kurikulum, pedagogi dan penilaian.

Kementerian Pendidikan Malaysia berperanan penting dalam memastikan pelaksanaan pendidikan inklusif di Malaysia berjalan dengan berkesan.

Dengan dasar dan inisiatif yang selaras dengan piawaian antarabangsa seperti Deklarasi Salamanca (1994) dan Agenda Pendidikan 2030 (SDG 4), tentunya KPM berusaha memberikan peluang pendidikan yang sama rata kepada semua pelajar, termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas.

Penetapan sasaran untuk meningkatkan kadar penyertaan MBK dalam pendidikan arus perdana sehingga 75 peratus memerlukan perancangan teliti.

Inisiatif yang dibuat menerusi Program Pendidikan Inklusif (PPI) yang menggalakkan penempatan MBK dalam kelas biasa dengan sokongan khas perlu diteruskan.

Di samping itu, sekolah inklusif dan pelbagai fasiliti sokongan turut memastikan murid berkeperluan khas mempunyai hak yang sama untuk mendapat pendidikan berkualiti.

Latihan peningkatan profesionalisme guru yang berterusan wajar dipergiatkan dengan penekanan terhadap pedagogi dan pendekatan pengajaran terkini supaya mereka lebih bersedia dan kompeten mengajar serta mengendalikan bilik darjah inklusif.

Penyesuaian kurikulum dan bahan pengajaran bersesuaian seperti penggunaan teknologi bantuan pendidikan (Assistive Technology) berdasarkan keperluan pelajar berkeperluan khas juga membantu perkembangan dan pencapaian mereka.

Selain itu, kesedaran terhadap pendidikan inklusif juga penting untuk menggalakkan sekolah menerima dan menyokong pelajar berkeperluan khas tanpa diskriminasi.

Ibu bapa murid dan masyarakat pula perlu menyokong inisatif yang dilaksanakan KPM dan sekolah yang memberi ruang kepada pelajar berkeperluan khas untuk belajar dalam kelas arus perdana.

Kerjasama KPM dengan UNICEF, UNESCO, dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui jaringan penyelidikan, bantuan kewangan, dan latihan profesional turut membantu memperkasa pendidikan inklusif.

Sementara, kerjasama strategik KPM dengan Kementerian Kesihatan Malaysia pula adalah penting dalam mengenal pasti sasaran murid yang memerlukan intervensi awal dan sokongan dalam pembelajaran.

Namun, bagi melihat impak secara menyeluruh mungkin memerlukan penyelidikan oleh pihak berwajib terhadap inisiatif ini.

Jelas bahawa, pendidikan inklusif bukan sekadar tanggungjawab kepada guru seperti Cikgu Amirul dalam penyampaian kurikulum di bilik darjah, namun memerlukan sokongan penuh daripada semua pihak.

Apabila wujud kerjasama ini, tentunya setiap pelajar berkeperluan khas mendapat pendidikan berkualiti dalam suasana yang adil dan menyokong, seperti dalam kisah Cikgu Amirul dan kelasnya yang penuh dengan kasih sayang.

--BERNAMA

Prof. Madya Dr Nor Aniza Ahmad ialah Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Antarabangsa) di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)