Pandemik COVID-19 telah menyebabkan negara berdepan dengan masalah gangguan rantaian bekalan makanan yang membimbangkan. Justeru, Belanjawan 2021 perlu meletakkan peruntukan untuk memperkasa strategi industrilisasi pertanian dalam bentuk pembangunan agribisnis.
Pertanian dalam bentuk agribisnis sangat baik untuk membantu krisis ekonomi. Penyelidik berpendapat bahawa sektor agribisnis adalah salah satu penyumbang eksport yang penting untuk negara.
Ketika krisis ekonomi, biasanya sektor ekonomi yang masih mampu bertahan adalah sektor agribisnis. Pengalaman ini seharusnya menyedarkan kita semua terutama pihak kerajaan, bahwa negara harus menyeimbangkan strategi industrilisasi berspektrum luas dan canggih dengan strategi industrilisasi berasaskan agribisnis.
Pemulihan Ekonomi Nasional
Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang penting yang mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana sektor ini merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk di dunia.
Di Malaysia, sektor pertanian amat penting dan menyumbang kepada pendapatan kasar negara. Hal ini dapat membantu meningkatkan pendapatan negara dan secara tidak langsung dapat membantu ekonomi negara kita.
Memberi keutamaan pada percepatan pembangunan sektor agribisnis, akan mampu memberikan penyelesaian bagi pemulihan ekonomi nasional.
Meningkatnya pengeluaran produk-produk agribisnis akan meningkatkan eksport tanpa bergantung kepada mengimpot bahan mentah. Peningkatan eksport akan meningkatkan penawaran pertukaran asing (dollar) sehingga akan memperkukuhkan ringgit secara berperingkat.
Berikutan daripada itu, selain produk agribisnis untuk ekspot, produk agribisnis bahan makanan juga akan meningkat, sehingga ketersediaan bahan makanan di dalam negara turut meningkat.
Seperti yang diketahui, harga bahan makanan masih merupakan komponen terpenting dalam menentukan inflasi domestik. Oleh itu, peningkatan produksi bahan makanan tersebut akan dapat menurunkan kadar inflasi yang dikhuatiri sudah tinggi ketika ini.
Dengan adanya strategi agribisnis serta teknologi produksi agribisnis yang mampan, keperluan tenaga kerja akan meningkat. Justeru, peningkatan produksi agribisnis dalam negara akan diikuti dengan penyerapan tenaga kerja. Hal ini dapat menurunkan kadar pengangguran yang sangat tinggi pada ketika ini.
Penurunan kadar inflasi dan kadar pengangguran serta kestabilan ringgit akan menjadi pemangkin utama ke arah pemulihan ekonomi nasional.
Norma Baharu dan Pertanian Mampan
Mungkin ada yang akan kelaparan sekiranya tiada usaha mampan dalam kegiatan norma baharu (new normal) pasca pandemic COVID-19. Oleh itu, kegiatan pertanian yang mampan serta berasaskan agribisnis akan menjamin kelangsungan bekalan makanan.
Justeru itu, pertanian mampan perlu diperkasakan. Ianya juga bersesuaian dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang meletakkan ‘Kelaparan Sifar’ sebagai salah satu matlamat utama.
Matlamat ‘kelaparan sifar’ dihuraikan sebagai "Menamatkan kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik serta menggalakkan pertanian mampan."
Pertanian mampan ditakrifkan sebagai "satu sistem bersepadu amalan pengeluaran tumbuhan dan haiwan yang mempunyai aplikasi khusus tapak yang akan berlangsung dalam jangka panjang".
Objektifnya adalah :-
Pertanian mampan boleh dilihat sebagai langkah baharu untuk mempercepatkan pengeluaran makanan tempatan akibat wabak COVID-19. Antara norma baharu yang kelihatan termasuklah usaha pengomposan atau menjadikan laman rumah di kawasan perumahan awam sebagai kebun bandar.
Pun begitu, pertanian mampan perlu dijiwai oleh segenap lapisan masyarakat agar ia tidak menjadi agenda ‘hangat-hangat tahi ayam’. Keberkesanan pertanian mampan harus keterhadapan agar tidak berlaku masalah pembelian tempatan dengan rantaian bekalan makanan pendek.
Sememangnya pandemik COVID-19 mengganggu sektor pertanian dan rantaian bekalan makanan, sekaligus menimbulkan kebimbangan berlakunya kebuluran suatu hari nanti.
Sektor pertanian di Malaysia berfungsi sebagai pembekal sumber makanan kepada seluruh penduduk di Malaysia. Justeru, pertanian mampan perlu dijadikan agenda dalam pembangunan ekonomi pasca pandemik COVID-19 dengan memperkasa strategi industrilisasi pertanian dalam bentuk pembangunan agribisnis.
-- BERNAMA
Oswald Timothy Edward merupakan pensyarah kanan (Pengurusan Risiko), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA, Johor