Pertemuan bersejarah dengan pemimpin Republik Sosialis Libya, Muaamar Gaddafi pada petang 26 Disember 1987 di Tripoli itu genap 33 tahun berlalu hari ini – 26 Disember 2020. Tetapi sampai sekarang ia terpahat indah dalam kenangan saya.
Catatan pertemuan itu telah saya rakamkan dalam sebuah tulisan berjudul 'Apa Gaddafi beritahu Pemuda UMNO' yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, bertarikh pada 21 Januari 1988. (Lihat keratan akhbar di hujung catatan ini.)
Saya tidak sendirian pada pertemuan tersebut yang berlangsung dalam sebuah khemah dalam kawasan salah satu kediaman rasmi pemimpin Libya itu kerana saya difahamkan Gaddafi mempunyai beberapa kediaman rasmi di Tripoli.
Saya sebenarnya menyertai rombongan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang dipimpin oleh ketuanya, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak atas undangan kerajaan Libya untuk lawatan satu minggu ke negara itu. Najib ketika itu adalah Menteri Belia dan Sukan.
Turut serta dalam rombongan bertemu Gaddafi itu adalah isteri Najib, Datin Sri Rosmah Mansor, ibunda Najib, Tun Hajah Rahah Noah, Duta Malaysia ke Libya, Hasmy Agam (sekarang Tan Sri) serta seluruh ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO yang menyertai rombongan tersebut.
Saya merupakan satu-satunya wartawan yang diundang oleh Najib untuk menyertai kunjungan ke Libya yang ketika itu dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-kutunya.
Kunjungan Najib dan Pergerakan Pemuda UMNO itu berlangsung kira-kira setahun setengah selepas negara Uncle Sam itu mengebom Tripoli dalam usaha untuk melumpuhkan kekuatan rejim Muaamar Gaddafi pada 15 April 1986.
Gaddafi sendiri terselamat dalam serangan ganas itu yang salah satu sasarannya adalah kediaman rasmi beliau. Tetapi seorang anak perempuannya, Hana Gaddafi, dilaporkan terbunuh dalam serangan udara tersebut.
Tindakan itu dilancarkan oleh Barat terhadap Gaddafi sebagai tindak balas pengebomban ke atas sebuah disko di Berlin Barat yang kononnya didalangi dan dilakukan oleh orang-orang Gaddafi.
Tetapi hakikat bahawa Libya berada di bawah sekatan udara Amerika ketika itu tidak menakutkan Najib dan para pemimpin lain Pergerakan Pemuda UMNO untuk menerima undangan Libya bagi mengadakan lawatan – dengan restu Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tentunya.
Secara tidak langsung, kedatangan Najib ke Tripoli membayangkan Malaysia menyokong Gaddafi, walaupun Washington dan negara-negara Barat yang lain melabelnya sebagai pengganas.
Najib tahu bahawa dengan berkunjung ke Libya, Amerika Syarikat akan beranggapan ia sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap negara Arab itu.
Dalam atur cara rasmi, pertemuan dengan Gaddafi tidak disenaraikan semasa kami berada di Libya. Tetapi hasrat untuk bertemu dengan pemimpin Libya telah disuarakan oleh Najib kepada para pegawai Libya yang mengiringi rombongan kami.
Bagaimanapun, sehingga kami bertolak ke lapangan terbang Tripoli pada tengah hari 26 Disember 1987 itu untuk meneruskan lawatan kami ke Arab Saudi pula sambil mengerjakan umrah, tidak ada berita mengenai pertemuan tersebut.
Hanya setelah bagasi kami didaftar masuk, barulah kami dimaklumkan bahawa Gaddafi menyatakan kesediaan berjumpa kami pada hari kami sepatutnya berangkat ke Jeddah.
Ada reaksi dalam kalangan kami menyatakan pemimpin Libya itu menyusahkan kami kerana memberitahu pada saat-saat akhir setelah kami telah melakukan daftar masuk untuk ke Jeddah.
Tetapi tidak kurang juga yang berasa teruja untuk bertemu dengan pemimpin yang mempelopori pemerintahan yang dipanggil jamahiriyah yang terkandung dalam buku hijau beliau berjudul The Third Universal Theory iaitu bentuk pemerintahan alternatif kepada sistem kapitalis dan komunis.
Setelah berbincang dengan para pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO yang lain, Najib memutuskan untuk membatalkan keberangkatan ke Jeddah dengan syarikat penerbangan Mesir.
“Alang-alang kita berada di sini, kita jumpalah. Kita balik semua ke hotel dan kita tunggu arahan selanjutnya bila kita akan berjumpa Gaddafi. Bukan senang untuk kita datang ke sini semula,” kata Najib.
Tetapi kami tahu dengan membuat keputusan itu risikonya adalah kami terpaksa tinggal lebih lama di Tripoli.
Hal ini kerana pada waktu itu, Libya sedang dikenakan sekatan udara oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu negara Uncle Sam yang lain.
Tidak ada penerbangan dibenarkan masuk dan keluar sesuka hati ke Tripoli.
Hanya syarikat penerbangan terpilih yang dibenarkan ke Libya oleh Washington dan sekutu-kutunya. Antara syarikat penerbangan yang dizinkan terbang beberapa kali ke Tripoli dalam seminggu adalah syarikat penerbangan milik Jordan, Mesir dan Switzerland.
Syarikat penerbangan lain diancam untuk ditembak jatuh sekiranya mereka memasukki ruang udara Libya. Jet-jet pejuang dan kapal terbang domestik Libya juga dilarang untuk terbang, walaupun dalam negara sendiri kerana Amerika Syarikat menempatkan beberapa kapal perang di Laut Maditerranean berhampiran negara itu.
Kami tiba ke Tripoli dengan pesawat Alia Royal Jordanian Airlines dari Kuala Lumpur melalui ibu negaranya melalui Amman. Oleh kerana dari Tripoli, kami hendak ke Jeddah, maka satu-satunya yang menyediakan perkhidmatan terus ke sana adalah Egyptair.
Itupun seminggu sekali. Jadi ini bermakna rombongan Najib Razak terpaksa berada sekurang-kurangnya seminggu lagi di Tripoli.
Pertemuan yang dirancang dengan Gaddafi itu tidak berlaku serta merta setelah kami tiba ke hotel kami, Pondok Al-Kabir. Kami terpaksa menunggu petang menghampiri senja baru kami benar-benar di bawa untuk mengadakan pertemuan tersebut.
Bagi saya secara peribadi, pertemuan satu jam setengah dengan Gaddafi itu agak anti-klimaks. Ia juga lebih berbentuk monolog dalam erta kati hanya Gaddafi sahaja yang bercakap kepada kami mengenai isu—isu domestik Libya, termasuk tentang pemerintahan jamahiriyah yang diamalkan dan pendirian antarabangsa Libya terhadap Barat untuk kami dengari.
Kami tidak diberi peluang untuk bertanya. Saya sendiri berharap selepas beliau menyampaikan ucapannya kepada kami, diikuti dengan ucapan balas oleh Najib yang agak ringkas, sesi soal jawab dapat diadakan.
Tetapi diharapkan itu tidak berlaku. Sebaik sahaja Najib menyelesaikan ucapan balas, pegawai yang membawa kami bertemu dengan Gaddafi mengisytiharkan pertemuan berakhir.
Tetapi sebagai tanda kenangan, dia memberitahu pemimpin Libya itu bersetuju untuk mengambil foto secara berkumpulan bersama-sama dengan rombongan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di luar khemah. Di dalam khemah, di mana pertemuan berlangsung, merakamkan gambar tidak dibenarkan.
Mungkin bukan tradisi Gaddafi untuk melayan pertanyaan bagi siapa juga yang berkesempatan bertemu dengannya.
Agaknya itulah sebabnya, Gaddafi, yang mati di tangan para penentang yang menggulingkannya selepas memerintah Libya selama 42 tahun pada 20 Oktober 2011, digelar diktator oleh musuh-musuh politiknya semasa beliau hidup.
--BERNAMA
Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)