TINTA MINDA

PROPAGANDA DEMI PERPADUAN NASIONAL

30/12/2020 10:10 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohd Azmir Mohd Nizah

Propaganda sering kali dilihat dalam konotasi yang negatif, sedangkan fungsi dan peranannya adalah sama luasnya dengan ideologi, termasuk membawa kestabilan sebuah negara merdeka.

Dewasa ini, kajian tentang propaganda memperlihatkan ia bukan hanya melibatkan proses atas-bawah oleh elit, atau hanya unik untuk rejim totalitarian semata-mata. Propaganda wujud dalam semua spektrum kehidupan, tetapi sering tidak disedari.

Propaganda biasanya terbina terhadap kepercayaan yang sedia ada, secara halus ditakrifkan dan disusun semula dan seterusnya memberi makna dalam komuniti.

Agenda melalui propaganda

Slogan, poster, iklan mahupun motto melalui pelbagai media massa, media cetak atau media sosial merupakan antara alat propaganda yang sering digunakan oleh kumpulan berkepentingan mencipta propaganda demi melunaskan agenda masing-masing.

Sebagai contoh, slogan “Keep Calm and Stay at Home” sebenarnya hampir serupa dengan slogan “Keep Calm and Carry On” yang digunakan oleh kerajaan British dalam persediaan menghadapi Perang Dunia Kedua suatu ketika dulu. Begitu juga slogan “Make America Great Again” yang akhirnya membawa kejayaan kepada Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat pada 2017, “Awake Germany”, “Take Back Control” di Britain dalam kempen Brexit.

Di Malaysia, propaganda sering juga menjadi alat dalam politik, sejarah, pengajian media mahupun sosiologi dalam kehidupan seharian. Dalam konteks politik, perpaduan nasional merupakan pengharapan, sebagaimana idea Benedict Anderson dalam bukunya yang terkenal Imagined Community, iaitu sebuah usaha mewujudkan bangsa idaman, begitu juga idea besar Prof Ulung Dr Shamsul Amri mahupun nations-of-intent buah fikiran Robert Rotberg.

Namun, ia adalah propaganda yang diurus dengan niat bagi menjalani kehidupan yang harmoni di samping proses tawar-menawar dan perundingan yang berlangsung dalam kalangan warga.

Begitu juga parti politik yang lebih giat dan tekal menterjemah propaganda, demi kelangsungan parti menggunakan elemen kebebasan, komuniti, agama, keadilan dan pilihan. Maka wujudlah dua spektrum dalam politik - yang kiri dan yang kanan, walhal, uniknya dalam politik di Malaysia yang utama hanyalah survival ahli politik sendiri yang rata-rata bersikap pragmatik.

Untuk propaganda ini mengalir dan memberi makna kepada masyarakat, ia memerlukan agen khusus untuk menterjemah kehendak pemegang taruh. Sebagai contoh, kewujudan sekumpulan unit khas Einsatzgruppe oleh Nazi pada 1942.

Di Malaysia, wujud beberapa institusi atas nama masyarakat sivil, badan pemikir, firma pengkaji dan firma tinjauan awam mahupun bermacam-macam portal media yang menjalankan urusan propaganda, sama ada dalam bentuk yang ekstrim mahupun liberal, tetapi sangat konsisten. Institusi-institusi ini juga memerlukan sokongan dan bantuan dalam bentuk fizikal, prasarana, mahupun kewangan untuk bergerak secara efektif dan kompleks.

Media baharu

Dahulu propaganda dilakukan menerusi media cetak sebagai medium komunikasi, namun pada masa sekarang dengan perubahan teknologi dan kecanggihan peralatan, media sosial dan media baharu menjadi alat yang sangat dominan dalam penyampaian komunikasi propaganda.

Penghasilan poster, video, temu bual dalam talian, forum dan komik semakin pantas dan luas, dan pastiya memerlukan pembiayaan yang sangat besar. Maka tidak hairan, organisasi ekstrim dan ganas mesti mempunyai sumber biaya sendiri, serta menggunakan media sosial sebagai medium untuk meraih simpati dan sokongan.

Propaganda dalam membina perpaduan adalah sangat penting kerana kelangsungannya. Ini kerana sesebuah negara melalui proses bersatu, konflik, berpecah, dan kembali menjadi satu entiti sebagaimana terukir dalam sejarah di negara-negara Eropah, Asia dan Afrika pasca 1945.

Bangsa dan semangat kebangsaan tidak dapat mendiami jiwa rakyat, sekiranya tiada motivasi dan sedikit tekanan daripada negara.

Simbol nasional, seperti bendera, lagu kebangsaan, duit, akhbar nasional dan bahasa kebangsaan merupakan alat yang menjadi medium terhadap proses harian dan objek memanifestasikan semangat kebangsaan seperti penekanan yang diberi dalam karya Banal Nationalism oleh Michael Billig.

Tetapi, propaganda tidak harus dilihat secara vertikal atas-bawah semata-mata. Ia juga perlu berlaku secara psikologi tanpa disedari, iaitu dalam aktiviti harian seorang warganegara Malaysia. Bak kata pepatah Melayu, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, walau langit tidak selalu cerah, namun mendung bukan bererti hujan akan turun.

-- BERNAMA

Dr Mohd Azmir Mohd Nizah merupakan Ketua Program Pasca Siswazah Generik, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)