TINTA MINDA

BAHASA DAN AGAMA SALING MELENGKAPI

13/01/2021 09:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Fahimi Zakaria

Bahasa dan agama adalah dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama yang lain. Setiap bahasa mempunyai sejarah dalam penyebaran agama di dunia sehingga agama tersebut dapat disebarluaskan dan ajarannya dianuti oleh sekalian manusia.

Semua kitab suci agama ditulis dalam bahasa tertentu yang mesti difahami oleh penganutnya, contohnya kitab al-Quran ditulis dalam bahasa Arab, kitab Veda dalam bahasa Sanskrit dan Bible dalam bahasa Yunani. Justeru bahasa memainkan peranan yang penting dalam penyampaian agama dan membawa penganut agama tersebut untuk lebih mengenali tuhannya.

Bahasa dan pembinaan tamadun

Bahasa juga merupakan teras pembinaan sesebuah tamadun manusia seperti tamadun Islam, tamadun India, tamadun China dan sebagainya yang lahir melalui proses dan sistem bahasa yang difahami antara anggota dalam tamadun tersebut. Contohnya tamadun Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW pada tahun 610 masihi ketika baginda diangkat menjadi rasul pada usia 40 tahun di Mekah.

Secara rasminya tamadun Islam lahir melalui risalah Islam yang dibawa oleh baginda untuk mengajak seluruh bangsa Arab menyembah Allah SWT dengan bahasa Arab yang difahami oleh semua penduduk Mekah pada ketika itu.

Dimensi bahasa Arab menjadi lebih luas apabila al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang mengandungi sistem bahasa seperti sintaksis, morfologi dan retorik yang tinggi sehingga bahasa Arab menjadi antara mukjizat besar Rasulullah SAW.

Maka, memahami bahasa Arab dengan baik menjadi syarat utama seseorang yang beragama Islam untuk menjadi muslim yang lebih sempurna kerana bahasa Arab menjadi bahasa al-Quran, sumber hukum dan asas amalan beragama dalam kehidupan seorang muslim.

Maka, perlu difahami bahawa bahasa Arab merupakan sumber agama Islam yang menjadi teras kefahaman setiap muslim untuk memahami agama Islam melalui isi kandungan al-Quran dan bacaan sumber-sumber hukum secara terus dari bahasa Arab.

Namun, tidak dapat dinafikan hari ini ahli bahasa telah mula menterjemah bahasa-bahasa asal agama ke dalam bahasa dunia khususnya bahasa Inggeris. Walaupun usaha penterjemahan bahasa suatu yang baik, namun terdapat implikasi yang tidak baik iaitu penganut agama gagal memahami agama secara terus dari bahasa asal agama itu.

Hubungan bahasa dan agama semakin berkembang

Hubungan bahasa dan agama semakin berkembang apabila ahli bahasa mula membincangkan ilmu-ilmu linguistik terapan seperti sosiolinguistik, sintaksis, semantik, semiotik, falsafah bahasa, pemikiran dan tamadun manakala agamawan pula membincangkan ilmu-ilmu agama khususnya teologi yang menjadi asas penghayatan penganut agama untuk mengenal tuhannya.

Bahasa akan menjadikan manusia itu beragama dalam masa yang sama agama akan menjadikan manusia itu pandai berbahasa kerana bahasa dan agama saling berupaya membentuk manusia menjadi lebih sempurna.

Sejarah agama dunia jelas membuktikan bahawa agama tersebut datang dengan sistem bahasa yang baik dan muncul istilah dan kosa kata bahasa agama yang baharu seperti yang terdapat dalam agama Islam yang dipakai dalam bahasa Arab antaranya Tauhid, Syariah, Akhlak dan sebagainya.

Mengkhususkan bahasa dan agama di Malaysia, bahasa Melayu mempunyai unsur simbiotisme antara semua agama di Malaysia iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Kristian. Ini adalah kerana bahasa Malayu sebagai bahasa rasmi Malaysia yang difahami oleh semua penganut agama di Malaysia meskipun senario pengalaman agama di Malaysia didominasi oleh bangsa seperti Islam dianuti oleh majoriti bangsa Melayu, Hindu oleh bangsa India dan Buddha oleh bangsa Cina.

Pengaruh sejarah bangsa

Bahasa dan agama di Malaysia dipengaruhi oleh sejarah bangsa yang melatari Tanah Melayu bermula era penjajahan kuasa besar Barat yang melahirkan kepelbagaian bangsa di Malaysia hari ini yang berteraskan acuan bangsa. Penjajah telah berjaya mencorak sistem bahasa dan agama melalui acuan bangsa atas nama ekonomi, politik dan sosial yang retorik semata-mata, kesannya terhadap warna warni bahasa dan agama yang wujud sehingga hari ini.

Hakikatnya, apa yang berlaku di Malaysia ialah bahasa Melayu dan agama Islam yang menjadi dominan. Ini kerana kedua-dua bahasa dan agama ini telah membawa revolusi baharu yang berasaskan rasionalisme dan intelektualisme seperti yang dibahaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Inilah titik pertemuan antara bahasa Melayu dengan agama Islam yang mengisyaratkan bahawa semakin tinggi kefahaman tentang agama, maka semakin meningkatlah keperluan kepada bahasa yang akan menyumbang kepada perkembangan penguasaan bahasa. Islam sampai ke Tanah Melayu melalui bahasa Arab sekali gus telah memperkenalkan reformasi baharu dalam agama kepada masyarakat Melayu.

Unsur simbiotisme bahasa Melayu dengan agama Islam melalui penerimaan elemen penting bahasa Arab dalam bahasa Melayu iaitu tulisan dan kosa kata kerana elemen ini telah membantu mengubah taraf kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca yang digunakan secara meluas di alam Melayu.

Lebih jelas apabila terciptanya tulisan Jawi yang sekali gus sebagai perangsang daya kreativiti masyarakat Melayu dan memperkembangkan tamadun Melayu ke tahap yang unggul melalui sistem tulisan Jawi. Kesannya lebih kurang 2,000 perkataan Arab diserap dan diguna pakai dalam bahasa Melayu yang sebahagian besarnya merupakan kosa kata keagamaan.

Kesimpulannya, pengaruh bahasa dan agama dalam aspek ilmu bahasa dan agama yang secara khususnya merujuk kepada bahasa Arab dan agama Islam. Setiap bab dibincangkan secara terperinci bagaimana bahasa dan agama menjadi sumber dalam pembinaan bangsa, tamadun dan wacana dalam konteks agama.

Hasil tulisan ini jelas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu dan agama Islam mempunyai titik persamaan dan hubungan simbiotik yang menjadi bukti bahawa perkembangan bahasa dan peranan agama sangat penting.

-- BERNAMA

Fahimi Zakaria adalah Pensyarah Bahasa Arab di Pusat Pengajian Asasi, Management and Science University

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)