DIARI MEDIA

ERTI DARURAT BAGI ORANG BIASA – PENGALAMAN HARI PERTAMA

15/01/2021 01:59 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Dr Chamil Wariya

Saya bukan seorang pakar undang-undang seperti sahabat lama saya, Profesor Dato’ Salleh Buang. Juga bukan seorang pakar perlembagaan macam dua lagi sahabat saya, Profesor Dr. Shamrahayu Abd. Aziz dan Dr. Aziz Bari.

Justeru, saya bukanlah orang yang layak untuk menzahirkan pandangan berwibawa mengenai Proklamasi Darurat yang dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan media baginda pada pagi 12 Januari 2020 (kemudian dibetulkan tahunnya kepada 2021) dan dihuraikan secara lebih terperinci oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 11 pagi hari yang sama.

Apa-apa yang saya ingin coretkan di sini adalah pengalaman orang biasa macam saya yang tidak terbabit dalam perebutan kuasa, menjalani kehidupan hari pertama setelah Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) dan darurat diisytiharkan.

Harapannya agar pengalaman hari pertama itu boleh diulang berkali-kali pada hari-hari berikutnya sehinggalah darurat ditamatkan.

Kesan PKP 2.0 di Selangor ( di mana saya tinggal) dan di lima negeri lain tidak perlu diperkatakan lagi.

Apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan sudah diketahui umum. Tujuannya jelas: untuk melandaikan lekuk pandemik Covid-19 yang sedang menggila di negara ini.

Titik tolak kepada pengalaman darurat masa PKP yang ingin saya catatkan di sini adalah kenyataan Dato’ Salleh Buang dalam komen yang beliau berikan kepada media bahawa darurat tidak menjejaskan untuk rakyat menjalani kehidupan normal.

Terdetik di hati saya: Betulkah?

Saya dapati, setelah ke sana ke sini untuk melakukan urusan-urusan yang perlu saya laksanakan pada hari pertama PKP era darurat dikuatkuasakan, saya boleh simpulkan kenyataan itu memang betul.

Saya sendiri telah mengujinya dan kebenarannya tidak lagi dapat dipertikaikan.

Darurat yang dijangka tamat pada 1 Ogos 2021 ini tidak membuat rakyat biasa terkurung di rumah seperti yang pernah saya alami semasa darurat dikuatkuasakan selepas berlaku tragedi berdarah pada 13 Mei 1969.

Saya waktu itu ditingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Saya tidak boleh ke sekolah kerana sekolah-sekolah ditutup.

Bapa saya melarang saya untuk merayau di luar Kampung Pasir Kerling, di mana saya dilahirkan dan dibesarkan.

Saya juga dilarang untuk ke Kampung Baru yang penghuninya seratus orang Cina, warganegara Malaysia.

Beliau bimbang saya ditahan oleh pihak polis kerana melanggar perintah berkurung. Atau diserang oleh orang-orang Cina di Kerling.

Maklumlah tragedi berdarah 13 Mei 1969 digembar-gemburkan sebagai pergaduhan kaum antara Melayu dengan bukan Melayu yang tercetus di Kuala Lumpur, kemudian merebak di bandar-bandar lain.

Tetapi di Kerling, pergaduhan kaum itu tidak berlaku pada 1969.

Tetapi sentimen yang berlaku di Kuala Lumpur itu turut menimbulkan kesangsian dan keraguan dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu di tempat saya.

Malah setelah keadaan kembali normal beberapa bulan kemudian, kesangsian itu masih ada. Orang Melayu di Kampung Pasir, takut untuk ke Kampung Baru pada waktu itu. Orang Kampung Baru takut untuk ke Kampung Pasir atau Kampung Jawa, yang terletak satu batu jauhnya dari Pekan Kerling.

Hari ini keadaaannya berbeza kerana taman-taman perumahan baharu telah dibangunkan bersebelahan dengan Kampung Baru di Kerling di mana para pemilik rumah terdiri daripada orang Melayu.

Tetapi, darurat yang diproklamasi oleh Yang di-Pertuan Agong pada pagi 12 Januari 2021 (bukan 2020) itu tidak sama dengan darurat yang diisytiharkan pada 1969, atau darurat sewaktu Republik Indonesia melancarkan konfrontasi untuk menggagalkan penubuhan Malaysia antara 1963 hingga 1966 atau malah sewaktu darurat pertama untuk menangani ancaman komunis dikuatkuasakan antara 1948 hingga 1960.

Darurat kali ini bertujuan untuk menangani pandemik Covid-19 secara berkesan dan tuntas.

Cuma ia ada sedikit tempias politik, berikutan penggantungan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri atau kemungkinan Pilihan Raya Umum yang menjadi idaman parti-parti politik tertentu tidak dapat dilangsungkan sewaktu darurat berkuatkuasa.

Peluang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin atau memilih Perdana Menteri baharu juga terlepas berikutan penggantungan bukan pembubaran Dewan Rakyat.

Oleh kerana darurat Januari 2021, tidak sama dengan darurat Mei 1969, maka tiada perintah berkurung secara total dilaksanakan. Setakat inilah. Kuasa kekal di tangan sebuah kerajaan awam. Peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal untuk mendokong sebuah kerajaan sivil.

Kebebasan asasi rakyat biasa tidak disekat oleh darurat, tetapi sebaliknya oleh SOP PKP, PKPB dan PKPP. Elit-elit politik mungkin berbeza pandangan kerana secara langsung terkesan dengan pelaksanaan darurat.

Kita dibenarkan beriadah dan melakukan senaman asalkan SOP PKP dipatuhi.

Tetapi pada hari pertama PKP/darurat, saya tidak berbuat demikian.

Rancangan saya adalah untuk memperbaharui cukai jalan kereta saya yang tamat pada 19 Januari.

Untuk tujuan itu, saya ke pejabat pos di OneUtama di Bandar Utama. Pejabat pos dibuka dan saya tiada masalah untuk memperbaharui cukai jalan saya.

Kemudian saya meninjau ke ruang niaga dan komersial dalam OneUtama. Tidak banyak yang beroperasi kecuali yang dianggap perlu (termasuk kedai emas).

Restoran dan kafe di buka. Cuma tak boleh makan di sana.

Dari OneUtama saya ke Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur untuk membeli makanan segera di sana. Tiada masalah.

Saya juga keliling Taman Tun Dr. Ismail, juga aman dan tenang.

Tiada sekatan jalan raya dari Bandar Utama yang terletak dalam negeri Selangor untuk ke Taman Tun Dr. Ismail, yang berada dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sewajarnya begitu kerana Bandar Utama dan Taman Tun Dr. Ismail sudah menjadi semacam bandar kembar, walaupun kedua-duanya terletak dalam dua negeri yang berbeza, untuk penghuni kedua-dua tempat melakukan pelbagai urusan.

Jadi setelah ke sana ke sini pada hari pertama darurat dalam kawasan tidak melebihi 10 kilometer oleh peraturan PKP, saya setuju dengan Profesor Salleh bahawa darurat yang diproklamasi oleh Ketua Negara Malaysia atas permintaan Perdana Menteri itu, tidak menghalang untuk rakyat biasa menjalani kehidupan normal mereka.

Cuma peraturan PKP 2.0 melarang mereka untuk merentas daerah dan negeri untuk tempoh dua minggu bermula hari ini hinggalah 26 Januari 2021. Harapannya selepas tempoh itu berakhir, kita kembali kepada PKPP atau PKPB setelah kadar jangkitan Covid-19 berjaya dikawal.

Pada waktu itu adakanlah PRU ke-15 supaya keadaan politik yang tidak menentu dapat ditamatkan. Terpulang kepada pengundi membuat perhitungan.

Tetapi ketidakstabilan politik yang berlaku selepas PRU yang lalu wajar dijadikan pengajaran kerana keadaaan politik yang tidak menentu yang menghantui negara ini sejak Mei 2018 puncanya adalah para pengundi itu sendiri!

Buatlah pilihan secara rasional bukan ikut perasaaan sama ada mahu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau PN diangkat sebagai kerajaan baharu. Setiap satu gabungan politik itu mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri.

Tetapi, yang penting pastikan kerajaan yang dipilih itu mempunyai majoriti yang selesa untuk memerintah untuk tempoh lima tahun selepas PRU berlangsung. Jika tidak ketidakstabilan politik yang kita alami hari ini akan berulang.

-- BERNAMA

Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)