TINTA MINDA

ERTI MUSIBAH

05/02/2021 10:46 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Kolonel Dr Burhanuddin Jalal

Dunia mengalami perubahan cuaca, ekonomi, politik, sosial serta pelbagai aspek kehidupan manusia yang amat ketara sejak akhir-akhir ini. Dalam konteks musibah penyakit, dunia secara keseluruhannya telah dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

Sesungguhnya ini merupakan siri ujian dari Allah terhadap manusia secara keseluruhannya dan telah diperingatkan oleh Alah SWT melalui ayat 155 surah al-Baqarah yang bermaksud, “dan sesungguhnya akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan (makanan), dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar”.

Ujian dan musibah

Berdasarkan tafsir ayat tersebut, ulama menyatakan ujian atau musibah tersebut pasti akan diberikan kepada manusia sebagai satu persiapan kepada manusia seluruhnya bahawa hidup ini tidak selalu indah, ceria, gembira.

Daripada aspek antropologi, seorang tokoh yang menekuni bidang ini melihat musibah daripada aspek krisis iaitu manusia mengalami kegetiran dalam kehidupan. Secara umumnya tidak ada manusia yang inginkan susah, sukar atau getir dalam kehidupannya tetapi manusia tidak mungkin dapat menghindari kesukaran atau kegetiran itu.

Untuk itu, manusia berusaha mendekatkan diri dengan pelbagai pendekatan agama atau ritual bagi menenangkan diri. Dalam aspek antropologi, manusia berupaya mencipta pelbagai bentuk ritual untuk berdamai dengan krisis yang dialami dan teori ini dipanggil ‘rites the passage’ atau lingkaran ritual kehidupan.

Musibah menjadi ‘madrasah’

Jika ini dapat difahami dengan baik, barangkali ada baiknya untuk kita reda atas musibah yang berlaku ini dengan cara mencari serta menimba hikmah daripadanya dan musibah yang kita hadapi kini perlu menjadi ‘madrasah’ yang dapat membina jiwa dengan hikmah dan ibrah.

Kita meyakini bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak menurunkan atau memberikan musibah kepada manusia kecuali untuk mengisyaratkan sesuatu kepada mereka.

Ini penting bagi menunjukkan kebijaksanaan yang tinggi atau wisdom Allah untuk meningkat darjat ketakwaan dalam kalangan umat atau untuk diberikan kejayaan di dunia atau akhirat.

Dalam hal ini bagaimana pula musibah dalam aspek agama Islam? Perkataan musibah berasal dari kata Bahasa Arab ‘musibah’ dari kata akar ‘ashaba, yushibu dan musibah’, yang bermakna menimpa atau mengenai.

Secara umumnya dapat disimpulkan bahawa musibah merupakan krisis yang menghilangkan kesenangan atau kebahagian manusia (human’s pleasure and happiness).

Oleh yang demikian, bencana alam, penyakit, kematian, tanggungjawab atau amanah yang diberikan boleh terkena musibah sebagai satu bentuk ujian kepada manusia seluruhnya.

Dalam hal ini secara umumnya juga musibah boleh dikategorikan kepada dua jenis berdasarkan dari perspektif al-Quran iaitu musibah sebagai satu pendekatan hukum alam dan musibah disebabkan kerosakan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Namun kedua-duanya merupakan ketepatan dari Allah SWT, ini berdasarkan dari firman Allah dalam surah al-Taghabun ayat 11 yang bermaksud, “Tidak ada kesusahan atau bala bencana yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya untuk menerima apa sahaja yang telah berlaku itu, dengan tenang dan sabar dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan tiap-taip sesuatu”.

Selain itu, tujuan musibah itu juga sebagai ujian yang melatih dan mendidik jiwa manusia untuk ke arah kesabaran sebagai proses kenaikan taraf ketakwaan manusia atau kemungkinan sebagai satu bentuk ‘hukuman dan peringatan’ atas kelalaian atau kerosakan yang telah dilakukan oleh manusia sendiri.

Berdasarkan kesemua itu, apakah ibrah atau pengajaran yang boleh diambil oleh manusia seluruhnya dari musibah ini? Berdasarkan firman dalam surah al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud, “Orang-orang yang apabila ditimpa oleh kesusahan, mereka berkata; sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali”.

Melalui ayat ini Allah SWT mengingatkan tentang ciri-ciri orang yang sabar ketika ditimpa bencana, musibah atau keburukan dan kumpulan ini sentiasa menyerahkan dirinya kepada Allah. Kata kunci untuk kembali dan berserah kepada Allah kerana kesemua itu urusan Allah dan ini telah pun diberi peringatan oleh Allah melalui ayat 11 surah at-Taghabun yang bermaksud, “Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Sebagai sebuah ‘madrasah’, tentunya ‘musibah’ mengandungi rahsia dan ‘hikmah dan ibrah’ yang tersendiri untuk memberi pengajaran kepada jiwa manusia dan antaranya:

Pertama: Musibah akan memberikan erti kebahagian kepada individu yang telah berjaya melepasinya. Kepedihan, kepayahan dan kesukaran dalam mendepani musibah berlangsung dapat memberikan pengertian dan perbandingan sebenar antara yang pahit dan manis. Pengalaman tersebut sudah tentunya dapat membina sikap simpati dan empati terhadap orang lain pada kemudian hari. Kepekaan atas penderitaan orang lain akan membuat kita menghargai dan memahami pengertian penderitaan, dan sudah tentu kita tidak akan melakukan sesuatu yang memungkinkan orang lain menderita.

Kedua: Melalui musibah Allah Subhanahuwataala akan menumbuhkan rasa cinta dan belas kasihan antara manusia. Dengan berlakunya musibah manusia akan berubah perasaan, pemikiran dan tindakan ke arah yang lebih baik, positif, tolong menolong dan sentiasa ingin membantu orang lain serta menghilangkan perasaaan benci dan dendam yang ada dalam diri. Manusia akan lebih dan cepat belajar melalui krisis atau musibah yang berlaku, berbanding dengan pelbagai kenikmatan kehidupan yang boleh melalaikan serta lupa.

Ketiga: Daripada segi pendekatan tasawuf atau spiritual, musibah merupakan salah satu pendekatan untuk memperoleh ‘cahaya kehidupan’. Tokoh tasawuf, Jamaluddin al-Rumi menyatakan bahawa, “musibah merupakan luka-luka yang memasuki cahaya dalam diri. Untuk mencapai pencerahan dan ketinggian rohani, nurani manusia perlu memasuki pelbagai lembah penderitaan, seumpama burung yang memasuki tujuh lembah penderitaan”. (Jamaluddin al-Rumi- Musyawarah Burung). Mengikut Jamaluddin al-Rumi lagi, tahap penderitaan dan kesukaran biasanya akan ditempuhi oleh golongan salih yang ingin mencapai tahap atau maqam yang tinggi dalam tahap kerohanian. Oleh yang demikian, penderitaan atau kesusahan yang menimpa bukanlah sesuatu yang buruk, tetapi ia mesti dilalui dan dinikmati dengan erti kata sebenar.

Keempat: Musibah berlaku kesan daripada sikap dan kerakusan manusia yang ingin mengeksploitasi atau menggunakan kekayaan sumber alam tanpa mengambil kita faktor ekosistem alam sekitar atas nama pembangunan dan kemajuan. Oleh yang demikian, terjadi banyak masalah alam sekitar seperti banjir, tanah runtuh, pencemaran, penyakit dan juga masalah sosial masyarakat yang memberi kesan negatif. Jared Diamond dalam bukunya Collapse (2005) menyatakan bahawa perang dan juga pandemik telah banyak meragut nyawa manusia dan ia merupakan satu bencana atau musibah kepada manusia seluruhnya. Untuk itu manusia perlu terus berhati-hati dan manusia perlu menghindarkan perasaan tamak dan haloba atau kepentingan diri semata-mata.

Semoga pelbagai musibah atau bencana yang menimpa umat dan dunia pada hari ini memberikan erti dan pengajaran untuk kita, seterusnya menghadapinya dengan penuh kekuatan dan kesabaran serta ketabahan.

-- BERNAMA

Kolonel Dr Burhanuddin Jalal ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)