TINTA MINDA

KEMISKINAN DIGITAL HALANG PENDIDIKAN BERKUALITI

15/02/2021 11:29 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Mohamad Ika Danial ‘Abdullah

Tanggal 20 Januari 2021 menjadi tarikh yang bersejarah kepada seluruh murid dan pendidik yang pertama kali mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR). PdPR merupakan eksperimen kali pertama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menguji kesediaan para pelajar dan pendidik untuk menjalankan kelas atas talian sehingga satu tempoh yang masih tidak diketahui. Persoalannya, adakah percubaan berani itu berjaya ataupun sebaliknya?

Hanya dalam tempoh seminggu, media tempatan sudah mula dibanjiri dengan pelbagai keluhan dan rungutan yang diluahkan oleh para ibu bapa, pelajar dan pendidik atas kesulitan yang harus mereka lalui sepanjang sesi PdPR. Antara kes yang dilaporkan ialah sebuah keluarga di negeri Sabah yang terpaksa mendaki bukit selama 20 minit demi mencari sambungan internet yang stabil untuk mengikuti kelas dalam talian. Sudah pasti laporan tersebut hanyalah satu daripada ratusan ataupun ribuan lagi kesukaran yang dihadapi oleh para pelajar.

Walaupun satu kajian telah menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai capaian internet lebih daripada 80 peratus, satu realiti pahit yang mesti kita telan adalah tidak semua pelajar berkemampuan untuk mendapatkan akses kepada pendidikan digital yang baik khususnya mereka yang datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan di bawah garis kemiskinan. Lebih-lebih lagi, faktor kehilangan pekerjaan bagi sesetengah ibu bapa juga telah mengurangkan lagi keupayaan mereka untuk membekalkan peralatan yang baik kepada anak-anak dalam era pendidikan digital ini. Malahan terdapat juga anak-anak yang terpaksa berkongsi gajet yang sama dengan ibu bapa mereka.

Selain daripada faktor sosioekonomi, faktor geografi juga menyumbang kepada peningkatan jurang digital di Malaysia. Hal ini dikatakan kerana masih banyak lagi kawasan pedalaman di Malaysia terutamanya Sabah dan Sarawak yang masih belum menerima capaian talian yang baik. Masalah ini sudah pasti akan membataskan keupayaan pelajar untuk mengikuti sesi PdPR dengan lancar sekali gus mencabar keberkesanan PdPR dalam mewujudkan kesaksamaan dalam pendidikan.

Pada tahun lalu, sebuah kaji selidik tentang jurang digital telah dilaksanakan oleh sekumpulan ahli akademik wanita dari Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Daripada keseluruhan 738 responden, 69 peratus bersetuju bahawa terdapat jurang digital yang ketara di antara kawasan bandar dengan luar bandar. Tambahan pula, kaji selidik tersebut turut melaporkan sebilangan 76 peratus responden mempercayai wujudnya jurang digital antara golongan kaya dan miskin.

Jurang digital dalam kalangan pelajar isu serius

Sebenarnya isu jurang digital antara bandar dan luar bandar serta antara kaya dan miskin bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia. Sebelum berlakunya pandemik COVID-19, isu ini tidak mendapat liputan yang meluas biarpun terdapat banyak kertas kajian yang telah ditulis kerana kita sudah selesa dengan sistem PdP secara konvensional. Namun begitu, pandemik COVID-19 telah memaksa pendidikan digital untuk diimplementasikan secara menyeluruh bagi memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam lapangan akademik.

Dalam situasi yang serba tidak menentu ini, pendidikan digital bukan lagi kehendak tetapi satu keperluan demi kelangsungan pendidikan negara. Dalam keterujaan pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendepani pendidikan secara digital di dalam negara, kerajaan seharusnya memastikan terlebih dahulu bahawa setiap pelajar mempunyai akses yang sama rata untuk mengikuti sesi PdPR. Hal ini merangkumi penyediaan peranti elektronik dan capaian internet yang baik di tempat tinggal para pelajar. Perlu ditegaskan juga bahawa terdapat juga pendidik yang mengalami masalah serupa yang turut perlu diberikan perhatian.

Matlamat ini dapat direalisasikan dengan penubuhan sebuah jawatankuasa khas di setiap Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah untuk mengumpul statistik dan memantau keperluan para pelajar dari semasa ke semasa. Jawatankuasa ini boleh berfungsi dengan memberikan laporan secara terus kepada KPM berkenaan keperluan khas yang wajar diberikan kepada para pelajar yang memerlukan di dalam daerah atau negeri tersebut.

Apakah lagi yang dapat dilakukan?

Melalui media sosial, ramai ibu bapa dan pengguna yang mengharapkan supaya rancangan TV Pendidikan yang sedang dijalankan oleh KPM dapat diperluaskan lagi rangkaiannya. Guru-guru cemerlang juga diharapkan supaya dapat menawarkan khidmat mereka untuk mengajar melalui TV Pendidikan supaya para pelajar dapat dibekalkan dengan tips menjawab peperiksaan.

Usaha ini dipercayai dapat memenuhi keperluan para pelajar khususnya mereka yang tidak berkemampuan untuk memiliki peranti elektronik seperti komputer riba dan telefon pintar. Selain itu, TV Pendidikan juga dapat dimanfaatkan bagi para pelajar yang menetap di kawasan yang tidak mempunyai jaringan internet yang memuaskan.

Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram turut berpendapat bahawa kerajaan sepatutnya memanfaatkan sumber sedia ada berbanding memfokuskan kepada suatu sistem yang aksesnya tidak dimiliki oleh semua pelajar atau keluarga di Malaysia. Dalam pada itu, pihak KPM perlu mengukuhkan lagi kerjasama dengan industri swasta khususnya syarikat-syarikat telekomunikasi untuk memenuhi keperluan digital dalam kalangan pelajar di Malaysia.

Kita harus memuji tindakan yang telah dan sedang dijalankan oleh pelbagai pihak bagi membantu para pelajar. Sebagai contohnya, Ustaz Ebit Lew yang baru-baru ini menawarkan bantuan tablet secara percuma kepada pelajar yang memerlukan. Selain itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga giat mengumpulkan dana untuk memastikan setiap keluarga di daerah tersebut memiliki sebuah komputer riba. Sememangnya usaha mengatasi kemiskinan digital memerlukan sinergi daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah kerajaan, pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO). Kita tidak seharusnya menormalisasikan budaya menunggu sehingga sesuatu isu menjadi tular, barulah tindakan ingin diambil.

Antara perkara lain yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan termasuklah reformasi kurikulum, pembangunan modul khas bagi pelajar pendidikan khas dan pelajar di bawah garis kemiskinan, sokongan psikologi serta latihan buat para pendidik. Pendidikan adalah untuk semua. Semua pelajar dan kanak-kanak di Malaysia berhak mendapatkan akses yang sama rata kepada pendidikan berkualiti dalam negara. Walaupun benar kata peribahasa “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, tetapi kita juga perlu memastikan agar kesemua pelajar mampu berjalan di atas jalan yang sama, lurus dan saksama.

-- BERNAMA

Mohamad Ika Danial ‘Abdullah merupakan pensyarah Pengajian Malaysia di Jabatan Mata Pelajaran Umum, Netherlands Maritime University College Johor.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)