NOTA KAMPUS

SINERGI TENTERA DARAT DAN RAKYAT TUNJANG KEDAULATAN NEGARA

05/03/2021 10:43 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Kolonel Dr Burhanuddin Jalal

Tentera Darat Malaysia (TDM), menyambut ulang tahun ke-88, pada 1 Mac 2021 dengan tema sambutan ‘Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara’. Tentunya sambutan ulang tahun kali ini amat berbeza dengan tahun-tahun lepas, khususnya dalam keadaan norma baru kesan penularan pandemik COVID-19.

Peranan dan pertambahan tanggungjawab tentera darat terhadap negara dalam suasana negara sedang mendepani cabaran COVID-19 turut diakui oleh Panglima Tentera Darat ke-28 Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain. Bagi memastikan TDM terus kekal relevan dengan peranan dan tugas yang sedia ada, Panglima Tentera Darat itu mengingatkan keseluruhan organisasi agar dapat berperanan dengan melaksanakan tiga prinsip utama iaitu laksanakan apa yang harus dilakukan, lakukan apa yang dikatakan akan dilaksanakan dan laksanakan perkara yang betul.

Menurut beliau lagi kesemua prinsip ini hanya akan berjaya dilakukan oleh organisasi jika pihak dalam organisasi dapat melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan melalui lima tonggak yang penting iaitu, kelangsungan misi dan kesiagaan, memperkasakan keutuhan organisasi, pelestarian kesejahteraan warga, pengukuhan perhubungan pertahanan dan peningkatan hubungan TDM dengan pihak awam.

Dalam aturan kehidupan norma baharu ini, tonggak empat dan kelima berkait rapat dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara’, justeru TDM diharap memainkan peranan proaktif dan berkesan untuk membantu kepimpinan negara mengurus cabaran pandemik COVID-19.

Peranan MOOTW

Dalam konteks peranan tentera, secara umumnya ialah untuk bersiap siaga dan berperang tetapi pada masa sama tentera juga mempunyai peranan dalam operasi ketenteraan selain daripada perang atau dinamakan military operations other than war, (MOOTW). Contohnya peranan memberi bantuan bencana alam, Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana’ (Humanitarian Assistance and Disaster Relief Operations) dan juga ‘Operasi Dalam Kawasan Terbina’ (Operations in Build-Up Areas).

Penglibatan TDM dalam pelbagai operasi MOOTW di luar negara sememangnya telah mendapat pengiktirafan dan sanjungan dunia, khasnya dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini secara tidak langsung menyokong agenda negara dari aspek menjaga hubungan baik dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat antarabangsa demi mengekalkan keamanan dunia. Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh oleh anggota TDM semasa di bertugas luar negara itu seharusnya kini dimanfaatkan bagi membantu negara menghadapi ‘darurat kesihatan’ sekaligus meneguhkan relevansi dan peranannya dalam kalangan rakyat dan negara.

Hubungan antara tentera dan masyarakat telah berlaku sejak wujudnya konsep ‘bernegara’ iaitu konsep negara dan rakyat mendapat perlindungan dan keselamatan daripada peranan organisasi ketenteraan dalam sesebuah negara tersebut. Sejarah hubungan ini telah dicatatkan oleh Sun Tzu melalui bukunya ‘The art of war’ dan juga oleh Clausewitz melalui bukunya ‘On war’. Kedua-dua pemikir ini berpendapat bahawa organisasi ketenteraan merupakan ‘servant of state’ dan ia suatu kemestian dalam bagi menjamin keselamatan rakyat, kedaulatan negara dan juga ‘survival of the states’.

Dalam konteks peranan ketenteraan dalam sesebuah negara, Huntington (1957) dalam bukunya ‘The soldier and the state: The theory and politics of civil military relations. telah menggariskan empat elemen profesional tentera iaitu:

  • A high level of military professionalism and recognition by military officers of the limits of their professional competence; (Tahap profesionalisme ketenteraan yang tinggi dan pengiktirafan oleh organisasi tentera berhubung dengan tahap kecekapan profesional mereka).
  • The effective subordination of the military to the civilian political leaders who make the basic decisions on foreign and military policy (Kepimpinan organisasi berkesan kepada pemimpin politik awam dalam membuat keputusan asas mengenai dasar luar dan ketenteraan)
  • The recognition and acceptance by that leadership of an area of professional competence and autonomy for the military (Pengiktirafan dan penerimaan oleh kepemimpinan politik awam terhadap kompetensi profesional dan autonomi pihak tentera).
  • The minimization of military intervention in politics and of political intervention in the military (pengurangan campur tangan ketenteraan dalam politik dan campur tangan politik dalam tentera).

Menjadi harapan bersama, semoga dalam suasana cabaran pandemik COVID-19, TDM dapat berperanan melalui pendekatan MOOTW. Terdapat jumlah anggota TDM yang besar dalam barisan hadapan membantu polis memantau dan memastikan orang awam mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga kini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) melalui Ops Penawar dan juga Ops Benteng yang telah dimulakan sejak 18 Mac 2020 yang lalu.

Sempena sambutan ulang tahun Tentera Darat ke-88 ini, organisasi TDM perlu terus menjadi penggerak bagi mengorak langkah memperkasakan pertahanan bagi melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah. Semoga kesedaran rakyat terhadap keselamatan dan kedaulatan negara menjadi titik tolak untuk sama-sama peka terhadap pengurusan pertahanan serta isu keselamatan dalam pelbagai dimensi dan tidak menyerahkan kepada organisasi tentera sahaja kerana sesungguhnya 'Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara’.

-- BERNAMA

Profesor Madya Kolonel Dr. Burhanuddin Jalal, ialah Profesor Madya di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)