TINTA MINDA

PROSES PDP DI IPT KETIKA COVID-19

10/03/2021 10:09 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh:Prof Madya Dr Shahrir Rizal Kasjoo

Menuju dunia tanpa sempadan, kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada di dalam mahupun luar negara menyasarkan sebahagian program pengajian yang ditawarkan dapat dilaksanakan secara maya, bermula lima tahun akan datang.

Di Malaysia, pelbagai inisiatif dibuat untuk memacu sasaran ini agar dapat direalisasikan dengan lebih cepat. Ini termasuk mewujudkan dasar-dasar kerajaan berkaitan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian, serta penganjuran pelbagai bengkel untuk pelaksanaan PdP secara maya.

Bagaimanapun, usaha ini kurang mendapat sambutan kebanyakan pensyarah di IPT kerana proses PdP lebih berkesan dilaksanakan secara bersemuka berbanding dalam talian. Ini cerita sebelum pandemik COVID-19.

PdP di IPT

Tidak dinafikan, pandemik COVID-19 yang mula melanda dunia pada Disember 2019 telah merubah senario di atas. “Cambridge University: All lectures to be online-only until summer 2021”, ini antara berita yang dipaparkan oleh BBC pada Mei 2020. Beberapa universiti terkemuka dunia termasuk Harvard University turut mengambil langkah yang sama. Proses PdP secara bersemuka terpaksa ditangguhkan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Senario yang sama juga berlaku di IPT Malaysia. Tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) yang diambil kerajaan bermula 18 Mac 2020, serta polisi Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang PKP dan PKPB untuk penjawat awam dan kebanyakan pekerja swasta telah merancakkan perbincangan pelaksanaan PdP secara maya di pusat-pusat pendidikan termasuk IPT.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan badan-badan akreditasi seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) turut mengeluarkan garis panduan khusus bagi memastikan kualiti program-program pengajian di IPT tidak terjejas ekoran perubahan kepada proses PdP.

Medium Digital

Perkara yang menarik ialah terdapat terma-terma yang dahulunya jarang didengari seperti Google Meet, Google Classroom, Zoom, Webex dan Microsoft Teams, kini menjadi ‘buah mulut’ bukan sahaja setiap pensyarah di IPT, malah masyarakat umum termasuk murid-murid sekolah dan tadika.

Terma-terma ini adalah nama kepada medium digital yang membolehkan kita berkomunikasi dua hala secara maya. Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, hampir setiap hari sepanjang tempoh PKP dan PKPB, pelbagai seminar, kuliah agama dan forum menggunakan platform digital ini telah banyak dianjurkan.

Ada yang dibuat tertutup dan ada juga dibuat terbuka kepada umum secara lintas langsung melalui media sosial seperti Facebook.

Di IPT, penggunaan platform digital untuk menyampaikan kuliah kepada pelajar secara dalam talian telah menjadi satu keperluan sepanjang tempoh PKP dan PKPB. Malahan, ramai pensyarah telah menguasai dengan terperinci pengoperasian hampir semua platform yang ada.

Mereka menjadi kreatif dan berupaya mencadangkan platform yang sesuai untuk setiap keadaan PdP yang akan dilaksanakan mengambilkira pelbagai faktor seperti bilangan pelajar, capaian dan penggunaan data internet.

Cabaran PdP

Bagi pelajar yang menghadapi masalah capaian internet terhad dan tidak stabil, serta kekangan data internet yang memerlukan kos tinggi, penggunaan platform digital yang ringkas seperti WhatsApp dan Telegram menjadi pilihan. Kedua-dua aplikasi ini kebiasaanya ada di setiap telefon bimbit.

Justeru, sesi PdP dapat melibatkan hampir semua pelajar. Malahan, ada pensyarah yang berupaya mengurangkan saiz data internet yang digunakan dengan memilih format-format tertentu untuk menyimpan data sebelum dimuat naik untuk kegunaan pelajar.

Namun, suasana PdP sebegini tidaklah kondusif malah pensyarah sukar untuk berinteraksi dengan pelajar secara dua hala dengan efektif. Contoh di atas adalah antara realiti cabaran-cabaran PdP secara dalam talian yang berlaku.

Sesungguhnya COVID-19 membawa seribu bentuk pengalaman berharga dalam mencari alternatif kepada proses PdP yang biasa dijalankan sebelum ini tanpa sama sekali mengabaikan aspek kualiti.

Pensyarah IPT kini dilihat semakin ‘celik’ melaksanakan PdP secara dalam talian. Ini merupakan antara hikmah di sebalik pandemik COVID-19 yang melanda negara. Dengan perkembangan positif ini, diharapkan pihak IPT telah bersedia untuk melaksanakan sepenuhnya program-program pengajian secara maya dengan lebih awal berbanding sasaran yang diletakkan.

Manfaatnya bukan sahaja membuka ruang kepada umum untuk merasai program pengajian di IPT yang dinamik dan anjal, malah dapat membantu melahirkan masyarakat berpendidikan di negara yang kita cintai ini.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Shahrir Rizal Kasjoo merupakan pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)