Oleh: Dr Nur Saadah Khair
Usaha dalam memperkasakan wanita telah pun bermula sejak kedatangan Islam. Namun, kelemahan dalam penghayatan nilai-nilai Islam telah meruntuhkan kedudukan wanita dengan menyekat kebebasan dan hak yang sewajarnya diberikan kepada wanita. Lalu, Islam dipersalahkan.
Wanita di kebanyakan negara-negara Islam juga turut menerima impak negatif. Walhal, Islam adalah solusi terbaik yang menyokong advokasi wanita, dan bukan menjadi penyebab kepada kemunduran wanita.
Melalui Islam, anak perempuan tidak lagi dibunuh tetapi menjanjikan penyelamat buat ibu bapanya dari azab api neraka. Tetapi sadisnya, masih ramai anak perempuan di luar sana yang menjadi mangsa penderaan seksual oleh bapa dan ahli keluarganya sendiri.
Keganasan Terhadap Wanita
Keganasan rumah tangga juga masih berleluasa sehingga kini. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak telah dilaporkan meningkat apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penularan wabak COVID-19. Berdasarkan hal ini, beberapa pihak dan organisasi berpandangan bahawa rupa-rupanya rumah bukanlah tempat yang selamat bagi kebanyakan wanita dan juga kanak-kanak.
Sekiranya rumah telah dianggap sebagai penjara atau lokasi yang menakutkan, maka kesedaran perlu diambil untuk mengembalikan norma bahawa rumah adalah syurga bagi keluarga yang bahagia. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Nahl, ayat 80: “Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat rehat dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah (khemah-khemah) dari kulit binatang ternak yang kamu berasa ringan (membawa)nya di waktu kamu berjalan dan waktu kamu bermukim dan (dijadikan-Nya pula) dari bulu domba, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumah tangga dan perhiasan (yang kamu pakai) sampai waktu (tertentu).”
Melalui ayat ini, rumah merujuk kepada dua perkataan bahasa Arab iaitu bayt dan maskan. Kedua-duanya ialah simbolik kepada fungsi pertama rumah sebagai tempat berehat yang diambil dari perkataan Arab “bata – yabitu – baytan” yang bermaksud tempat bermalam, dan fungsi kedua sebagai kawasan yang tenang yang diambil dari perkataan Arab “sakana – yaskunu – sakinah” yang menunjukkan maksud ketenangan. Ini menunjukkan bahawa rumah menurut Islam adalah tempat utama bagi keluarga untuk mencapai kerehatan dan ketenangan seterusnya mencari kebahagiaan.
Kepentingan Rumah Buat Wanita
Di dalam setiap rumah, lelaki dan wanita mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Ia seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk sesebuah keluarga menjalani kehidupan. Rumah juga adalah tempat wanita berupaya mencipta perubahan kerana pendidikan pertama bermula dari rumah dan wanita sebagai ibu adalah pendidik pertama bagi anak-anaknya. Bukankah rumah pertama yang didiami manusia juga adalah bermula dari rahim seorang wanita yang menjadi rumah paling selamat buat bayi yang menunggu masa untuk dilahirkan ke alam dunia.
Pemerkasaan wanita yang bermula dari rumah juga merujuk kepada persepsi untuk melihat keadaan wanita sebagai isteri dan ibu dilayan dan bagaimana keadilan dipertontonkan kepada anak lelaki dan perempuan di rumah. Keadaan yang berlaku di dalam rumah sebenarnya sedikit sebanyak memberi kesan kepada persekitaran yang berlaku di luar rumah.
Tambahan itu, setiap individu di dalam sesebuah rumah baik lelaki mahupun wanita dibenarkan mempertahankan dirinya dari segala bentuk diskriminasi dan diberi hak yang selayaknya bagi memelihara lima tujuan syari’ah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, harta dan maruah daripada sebarang ketidakadilan dan pencerobohan. Kebebasan untuk menuntut hak wajar diberikan kepada lelaki mahupun wanita selagi mana tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Walaupun demikian, ini tidak bermakna wanita perlu berada di rumah sahaja dan dilarang sama sekali untuk berada atau bekerja di luar rumah. Para sahabat wanita pada zaman Rasulullah telah menjadi contoh dan membuktikan bahawa wanita boleh berjaya sama ada di dalam mahupun luar rumah.Sebagai contoh, Ummu Salamah telah mengikuti banyak peristiwa di luar rumah bersama Rasulullah SAW, iaitu peperangan Khaibar, Pembebasan Makkah, pengepungan Ta’if, peperangan Hawazin, Tsaqif dan kemudian ikut bersama baginda mengerjakan Haji Wada’. Tetapi dalam masa yang sama, Ummu Salamah dikenali sebagai isteri yang berilmu dan berjaya di dalam rumah, dan beliau juga menjadi rujukan para sahabat dalam persoalan hukum, terutama yang berkaitan dengan isu wanita.
Justeru, sempena Hari Wanita pada tahun 2021 yang bertemakan “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”, wanita harus bangkit memperkasakan diri sendiri dengan ilmu dan berani menghadapi pelbagai cabaran sama ada di dalam dan di luar rumah. Ini adalah kerana wanita adalah penyebab kemajuan sesebuah keluarga, bangsa dan negara. Syed Syeikh al-Hadi yang merupakan pejuang emansipasi wanita pernah berkata, “…nescaya mendapatlah kita mengetahui bahawa tiap-tiap qawm dan bangsa itu hanya sanya mendapat kemajuan mereka itu dengan sebab kemajuan sekalian perempuan-perempuannya.” (Kitab Alam Perempuan, hal. 30)
Wanita adalah permata di dalam rumahnya yang juga aset penting bagi bangsa dan negara yang berjaya. Kata Hamka, “Jika perempuannya baik, baiklah negara, dan jika mereka bobrok, bobrok pulalah negara. Mereka adalah tiang, dan biasanya tiang rumah tidak begitu kelihatan. Namun, jika rumah sudah condong, periksalah tiangnya. Tandanya tianglah yang lapuk.” (Buya Hamka Berbicara tentang Perempuan, hal. 15)
-- BERNAMA
Dr Nur Saadah Khair merupakan Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan EXCO Kajian Islam dan Hadis WAFIQ