TINTA MINDA

PEMERKASA MEMBELA NASIB RAKYAT DAN KUKUHKAN EKONOMI

22/03/2021 09:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Profesor Madya Dr. Rohami Shafie

Rabu minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengumumkan inisiatif kerajaan untuk membela nasib rakyat dan kukuhkan ekonomi negara. Sejak negara berada dalam krisis kesihatan pandemik COVID-19, kerajaan telah mengumumkan pelbagai strategi dan inisiatif melalui pakej rangsangan ekonomi untuk membela nasib rakyat. Ramai rakyat yang terkesan dengan krisis kesihatan ini. Tidak kira mereka yang makan gaji dengan bekerja di sektor awam mahupun swasta atau mereka yang bekerja sendiri dan berniaga, mereka ini menjadi “mangsa” pandemik COVID-19.

Justeru, inisiatif kali ini yang merupakan peringkat kelima strategi kerajaan untuk menjaga keseluruhan ekosistem ekonomi yang perlulah dilihat bukan setakat dari sudut ekonomi semata-mata tetapi juga dari sudut sosial.

Bantuan bersasar

Hal ini cukup penting kerana di bawah PEMERKASA kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 bilion untuk menampung 20 inisiatif strategik. Bantuan-bantuan yang diberikan antaranya seperti RM1.2 bilion peruntukan kepada golongan B40 yang telah kehilangan pekerjaan dan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah, RM100 juta bantuan barangan dapur kepada 300,000 isi rumah dan RM20 juta bantuan kepada golongan usahawan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas sedikit sebanyak membantu rakyat untuk menghadapi suasana ekonomi yang amat suram sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

PEMERKASA juga membantu mereka yang terlibat dalam projek berskala kecil seperti kontraktor kelas G1 hingga G4 dan kemudahan mikro kredit untuk peniaga-peniaga kecil. Bantuan juga disasarkan kepada 5,000 agensi pelancongan dengan bayaran RM3,000 sekali bayar. Begitu juga, bantuan sebanyak RM600 sekali bayar kepada pengusaha inap desa (homestay). Kedua-dua golongan ini perlulah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Longgar peraturan, kurangkan tekanan

Meskipun keadaan ekonomi negara mula bergerak lancar sedikit demi sedikit ekoran kes jangkitan COVID-19 mula menurun dan kerajaan juga telah beransur-ansur melonggarkan kawalan ekonomi agar ekonomi dapat diperkasakan pada tahap yang lebih baik, namun aspek lain selain ekonomi seperti masalah sosial rakyat Malaysia juga perlu diberikan perhatian. Maka, mahu tidak mahu, kita semua mengetahui ada dalam kalangan masyarakat kita yang berasa amat tertekan dengan pandemik COVID-19. Ini lebih-lebih lagi bagi golongan yang kehilangan punca pendapatan ekoran telah diberhentikan pekerjaan mahupun tidak dapat bekerja seperti biasa ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan pergerakan rakyat Malaysia untuk bergerak ke satu tempat ke tempat lain.

Keadaan ini boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental bagi seseorang manusia. Malah, ada rakyat Malaysia masih tidak pulang mengunjungi ibu bapa sendiri sejak 18 Mac tahun lalu hanya semata-mata untuk memastikan kesihatan ibu bapa terjaga.

Kerajaan sudah tentu mengetahui hal ini. Atas sebab itu, kerajaan pada minggu lalu telah mengumumkan bahawa PKP hanya dilaksanakan secara lokaliti dan tertumpu, bukannya secara menyeluruh. Ini sedikit sebanyak melegakan rakyat Malaysia untuk bergerak bagi mencari rezeki dan bersosial sesama mereka mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Dengan kata lain, kerajaan berusaha menyeimbangkan antara ekonomi dan kesihatan serta kehidupan sosial masyarakat Malaysia.

Perlu sokongan rakyat

Maka, untuk membela nasib rakyat bukan hanya semata-mata bantuan kewangan diberikan kepada rakyat tetapi juga kerajaan berusaha untuk memastikan setiap rakyat Malaysia tidak berisiko dijangkiti COVID-19. Dengan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion untuk program imunisasi melalui suntikan vaksin COVID-19, sudah tentulah ini memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia agar pandemik COVID-19 ini berakhir seberapa segera yang mungkin. Meskipun ada segelintir golongan masyarakat yang masih ragu-ragu dengan vaksin COVID-19, namun jumlah ini semakin hari semakin berkurangan. Buktinya semakin ramai yang mendaftar untuk diberikan suntikan vaksin COVID-19.

Yakinilah bahawa tindakan kerajaan ini untuk menjaga kesihatan seluruh rakyat Malaysia. Usah ragu-ragu kerana sudah banyak pendapat dalam kalangan pakar-pakar kesihatan dan perubatan yang menyokong pengambilan suntikan vaksin COVID-19. Malah, mereka sendiri antara yang terawal telah mengambil suntikan vaksin ini kerana menjadi barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus menjaga kesihatan rakyat Malaysia. Kalau sebelum ini kita amat menyokong segala usaha barisan hadapan untuk menjaga kesihatan rakyat Malaysia, maka marilah sekali lagi kita menyokong mereka secara sepenuhnya untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 pada tahap minimum dan seterusnya rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan seperti biasa sebagaimana sebelum bermulanya pandemik COVID-19 di Malaysia.

PEMERKASA adalah antara langkah kerajaan yang memerlukan sokongan semua pihak tidak kiralah mereka yang berada di bandar mahupun di luar bandar, bekerja makan gaji mahupun sendiri dan tidak kira apa pun latar belakang, sokongan jitu akan memberi banyak kebaikan kepada negara dan rakyat Malaysia. Dengan ini, baharulah PEMERKASA benar-benar dapat memperkasakan nasib rakyat dan mengukuhkan kembali kemampanan ekonomi negara pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr. Rohami Shafie merupakan Pengarah Institut Kajian Strategik & Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD) Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)