TINTA MINDA

TERCEMARNYA HARI AIR SEDUNIA DENGAN PENCEMARAN SUNGAI YANG BERTERUSAN

22/03/2021 12:28 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Ts. Dr. Ismaniza Ismai dan Dr. Nurul Nadiah Mohd Firdaus Hum

‘Sungai nadi kehidupan’- frasa yang sering kita dengar dalam kempen penjagaan alam sekitar, khususnya untuk sungai. Namun berapa ramai antara kita yang benar-benar menghayatinya dan tidak menjadi penyumbang kemusnahan sumber air yang tak ternilai ini.

Di Malaysia kini, hanya 53 peratus sahaja lembangan sungai yang dikelaskan sebagai sungai bersih manakala sebanyak 42 peratus adalah sungai tercemar dan 5 peratus lagi dikategorikan sebagai tercemar teruk.

Malahan, sejak akhir-akhir ini, kes pencemaran sungai air minum semakin berleluasa hinggakan mengakibatkan gangguan bekalan air bersih. Ini berikutan masih kurangnya pendidikan dan kesedaran orang ramai tentang kelestarian sungai dan bagaimana menguruskan sungai bagi memastikan kualiti air sungai terjamin.

Anjakan paradigma masyarakat terhadap sikap not in my backyard (NIMBY) ke keprihatinan akan kelestarian sungai secara menyeluruh seharusnya menjadi tunjang dalam kehidupan kita. Dengan ini, bukan sahaja bekalan air bersih yang berterusan dapat dikekalkan, malahan kelangsungan hidup masyarakat dapat dilestarikan.

Sambutan hari air dan ironinya

Pada tanggal 22 Mac setiap tahun, Hari Air Sedunia disambut bagi meningkatkan kesedaran mengenai krisis air global, dan fokus utama pemeliharaan adalah untuk menyokong pencapaian Sustainable Development Goals (SDG) 6: air bersih dan sanitasi menjelang tahun 2030. Untuk tahun ini, tema sambutan adalah menghargai air.

Ironinya, bulan Mac juga pernah tercalar dek satu insiden besar berhubung pencemaran bahan kimia berbahaya di Sungai Kim Kim yang berlaku pada 7 Mac 2019. Pencemaran sungai tersebut mungkin masih dipandang enteng jika bukan kerana beberapa murid dan pelajar mengalami gejala pening, loya dan muntah-muntah dan pengsan secara tiba-tiba akibat terhidu wap bahan kimia yang dibuang secara haram dari sungai berhampiran.

Insiden tersebut telah mengakibatkan 111 buah sekolah di kawasan berkenaan ditutup sementara dan menjejaskan kira-kira 6,000 penduduk Pasir Gudang. Malah proses pembersihan juga telah menelan perbelanjaan yang besar untuk melupuskan 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar dari sungai tersebut.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lalu, tahap kebersihan Sungai Kim Kim telah beransur pulih, dipercayai akibat pemberhentian operasi kebanyakan kilang dan industri di sekitar kawasan tersebut. Air sungai yang busuk dan keruh mula dijadikan habitat ikan-ikan kecil dan air tawar.

Namun, umpama sambutan ulangtahun, tahun ini menyaksikan Sungai Kim Kim tercemar kembali. Aduan penduduk setempat dan hasil pengawasan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati bahan pencemar dan sisa kimia masih di paras yang membimbangkan. Lebih mengecewakan apabila disyaki pembuangan sisa kimia ke dalam sungai ini dilakukan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab pada waktu malam supaya tidak mudah dikesan oleh penguatkuasa.

Isu air tiada penghujung

Di negeri Selangor pula, pencemaran sungai menjadi polemik kerana sering dibabitkan dengan gangguan bekalan air. Rata-rata boleh dikatakan selang beberapa bulan akan ada kes yang membabitkan pencemaran air sungai dan bekalan air. Sektor industri dan masyarakat setempat mula terjejas akibat gangguan air yang berterusan. Rungutan mula kedengaran apabila sudah acapkali loji rawatan air terpaksa dihenti tugas ekoran beberapa insiden pencemaran seolah-olah tiada usaha yang dilakukan oleh pihak berwajib. Walaupun hakikatnya langkah sewajarnya telahpun di ambil oleh pihak berkuasa, namun, semua jari tetap menuding kepada kerajaan negeri untuk mengambil langkah drastik bagi memastikan ia tidak berulang.

Sikap menuding jari tidak menyelesaikan masalah pencemaran mahupun bekalan air yang ada. Andai hanya satu pihak sahaja yang berusaha untuk membendung masalah yang ada. Perlu ada kerjasama antara masyarakat dan pihak berkuasa; ibarat aur dengan tebing, kedua-dua pihak hendaklah bekerjasama untuk melestarikan sumber air ini.

Peranan masyarakat

Masyarakat dapat memantau dan melestarikan sungai yang berhampiran dengan kediaman mereka dengan mengadakan projek komuniti atau melaporkan kejadian pencemaran kepada pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar negeri masing-masing. Manakala pihak berkuasa menjalankan tugas melestarikan sungai mengikut enakmen bidang masing-masing.

Andai tidak ada penggemblengan tenaga, tampaknya perkara ini hanya membuka mata apabila kesulitan yang dialami berbalik kepada orang awam, sedangkan pihak yang tidak bertanggungjawab bersenang-lenang meneruskan onar selagi tidak dibawa ke muka pengadilan.

Justeru, penghayatan sebenar melestarikan sungai dan sumber air mentah ini seharusnya dihayati dalam erti kata yang sebenarnya, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Sambutan Hari Air Sedunia saban tahun mungkin boleh dianggap tidak berjaya selagi masih ramai yang tidak menghargai dan salah mengurus sumber yang terbatas dan tidak tergantikan ini.

-- BERNAMA

Ts. Dr. Ismaniza Ismai dan Dr. Nurul Nadiah Mohd Firdaus Hum merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)