KETAMADUNAN

MELESTARI TULISAN JAWI MELALUI PROSUMERISME

16/04/2021 11:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin

Baru-baru ini (12 April 2021) Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyentuh mengenai penggunaan tulisan Jawi di Malaysia. Beliau mengharapkan agar pelbagai pihak khususnya institusi dan agensi kerajaan dapat memainkan peranan untuk menghidupkan dan mempromosikan penggunaan tulisan tersebut. Tidak terkecuali pihak swasta seperti syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan disamping organisasi bukan kerajaan (NGO).Semasa berucap pada Majlis Pelancaran Buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia, beliau berpandangan bahawa semangat, roh serta perkembangan tulisan Jawi mesti sentiasa dihidupkan di negara ini.

Sejarah tulisan Jawi

Tulisan Jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang berniaga di kepulauan Melayu. Perkembangan tulisan Jawi di Nusantara adalah seiring dengan penyebaran agama Islam yang menjadi pegangan orang Melayu (Hashim Musa, 1995). Menurut Kamus Dewan (Edisi keempat), huruf Jawi adalah huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu.

Tulisan Jawi digunakan secara meluas di Negeri-negeri Kesultanan Melaka, Johor, Brunei, Sulu, Patani dan Acheh untuk tujuan surat-menyurat diraja, titah-perintah, puisi serta kaedah komunikasi utama sesama pedagang di pelabuhan Melaka. Dalam Sejarah Melayu seperti dijelaskan oleh Hashim Musa (1996), tulisan Jawi telah digunakan dalam pelbagai perkara termasuk, mata wang, batu bersurat, batu nisan, surat kiriman antara raja, surat-surat perjanjian antara raja, kitab, buku, surat khabar dan majalah.

Dua dokumen sejarah tanah air yang penulis rujuk membuktikan signifikannya tulisan Jawi kepada negara ini. Pertama, kandungan Pemasyuran Kemerdekaan yang dibaca dan ditandatangani oleh Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 menggunakan sepenuhnya tulisan tersebut. Kedua, Watikah Pemasyhuran Malaysia yang ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman pada 16 September, 1963 juga ditulis dalam Jawi. Hakikatnya, tulisan Jawi telah diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Pada 28 Disember 2019, isu memartabatkan tulisan Jawi menjadi bualan hangat di media sosial. Hal ini kerana Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memulakan inisiatif dengan menciap di Twitter menggunakan tulisan Jawi. Dalam ciapan tersebut baginda bertitah, “Mulai hari ini saya akan menulis Jawi dalam Twitter memperkasakan tulisan Jawi warisan kita.”

Seperti dilaporkan oleh media, usaha Baginda mendapat pujian dan sokongan daripada ramai netizen termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Beliau menyokong dengan ciapan juga bertulisan Jawi, "Alhamdulillah Tuanku, patik sokong agar dapat memartabatkan jawi semula." Tentunya, inisiatif baginda mampu mendorong orang Melayu untuk mengamal tulisan Jawi di media sosial seterusnya, memperkasakan dan memartabatkannya.

Dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggerakkan ‘Kempen Hari Jumaat Hari Jawi’ bermula pada 10 Julai tahun lepas. Kempen tersebut telah disokong penuh oleh jemaah menteri. Beliau menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, NGO dan seluruh rakyat untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan budaya negara ini.

Penulis mendapati sejak sekian lama pihak kerajaan serta tokoh dan pemimpin menggerakkan dan memartabatkan tulisan Jawi. Usaha tersebut perlu diteruskan khususnya institusi-institusi pendidikan sementara masyarakat terutama generasi muda mempelajari dan mengamalkan dalam kehidupan mereka seperti menulis dalam media sosial agar tulisan tersebut terus wujud dan subur di negara ini.

Antara pendekatan yang boleh dilakukan dalam zaman Covid-19 ini adalah dengan menganjurkan kursus-kursus pendek pembacaan teks Jawi dan penulisan khat Jawi secara dalam talian atau melalui media sosial kepada masyarakat dengan harapan dapat mengembalikan kecintaan kepada budaya tersebut. Ilmu yang diperolehi peserta itu boleh dikongsi dan diperturunkan kepada orang lain.

Prosumerisme

Dalam konteks ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dilihat seiring dengan usaha kerajaan dengan mengadakan beberapa aktiviti melibatkan tulisan Jawi. Usaha USIM tersebut menggunakan pendekatan prosumerisme yang diperkenalkan oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin dengan tujuan untuk melestarikan budaya tulisan Jawi. Konsep prosumerisme sebagai salah satu teras strategik dalam Misi USIM 2022 berupaya menjadi pemangkin kepada inovasi dalam melaksanakan pembaruan agar tulisan Jawi, salah satu warisan budaya masyarakat negara ini dapat dilestarikan.

Prosumerisme pertama kali diciptakan dan dipopularkan oleh penulis terkenal, Alvin Toffler dalam bukunya, The Third Wave pada tahun 1980. Konsep tersebut adalah mengenai pemerkasaan pengguna biasa dan berpotensi merevolusikan ekonomi perkongsian melalui penyertaan aktif pengguna. Dengan kata lain, pengguna juga adalah pengeluar.

Prosumer ialah individu yang menggunakan dan pada masa sama menghasilkan sesuatu produk tersebut. Konsep ini telah lama diamalkan di negara maju seperti Amerikat Syarikat, Eropah dan Jepun. Konsep perniagaan ini telah membantu ramai orang memulakan perniagaan dan berjaya meningkatkan ekonomi keluarga mereka hanya sebagai pekerja sambilan.

Menurut Dr Mohamed Ridza, USIM melalui Pusat Kebudayaan, mengambil inisiatif memperkasakan konsep prosumerisme dalam kalangan pelajar melalui penghasilan produk-produk seni temasuk tulisan Jawi yang mampu memenuhi permintaan pasaran serta selari dengan kehendak pasaran kerjaya dalam industri tersebut. Pelajar-pelajar yang mempunyai bakat seni dilatih menjadi prosumer dengan menggunakan platform media sosial agar mereka boleh memanfaatkan platform yang ada dengan menghasilkan produk-produk seni budaya melalui konsep Learn More, Make More and Share More. Langkah kreatif tersebut mampu memberi impak dalam meningkatkan kreativiti dan inovasi produk seni pelajar dan pemikiran mewujudkan pekerjaan selepas tamat pengajian kelak.

Sebagai contoh, sekumpulan pelajar Khat Khufi Farisi, Universiti yang dibimbing oleh alumni USIM bergiat aktif dalam aktiviti kelas menulis khat juga menyertai pertandingan anjuran dalam dan luar universiti. Aktiviti tersebut bukan sahaja boleh meningkatkan pengetahuan peserta malah dapat mengajar orang lain menulis khat Jawi seterusnya boleh dijadikan bidang kerjaya sebagai penulis khat. Antara alumni USIM yang telah berjaya ialah Muhammad Alif Nasir (Ikon Seni USIM) yang menjadikan khat sebagai bidang kerjaya mereka.

Kesimpulannya, prosumerisme dilihat mampu memainkan peranan untuk mempopularkan dan mengekalkan tulisan Jawi yang merupakan warisan budaya Malaysia zaman-berzaman. Usaha melestarikan tulisan jawi dalam masyarakat harus terus disegarkan dan dikembangkan. Dengan keberadaan para ilmuwan di universiti, akan mampu menghasilkan dan memanfaatkan tulisan Jawi dalam masyarakat secara bersama.

--BERNAMA

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan), Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)