Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas masih belum berakhir sehingga hari ini dan kesannya bukan hanya dirasai di Malaysia malah seluruh dunia. Pelbagai isu timbul berikutan penularan COVID-19 termasuk yang melibatkan kekeluargaan. Sehubungan itu, dalam suasana yang mencabar ini, suami isteri perlu mengukuhkan hubungan kekeluargaan dengan menjalankan hak dan tanggungjawab secara bersama.
Peranan Suami Isteri
Jelasnya, secara teori, suami dan isteri menjalankan fungsi yang berbeza dalam rumah tangga disebabkan perbezaan dan kelebihan yang ada antara kedua-duanya. Contohnya, suami bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga dan berlaku baik kepada anggota keluarga. Manakala isteri pula bertanggungjawab mentaati suami, menjaga dan menguruskan kebajikan rumah tangga. Namun begitu, berdasarkan ilmu Fiqh Islam terdapat hak dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara bersama untuk memastikan perjalanan rumah tangga yang baik dan seimbang.
Suami isteri hendaklah menjalankan tiga tanggungjawab ini secara bersama tanpa perlu menyalahkan sebaliknya saling bekerjasama dan tolong-menolong untuk saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Tiga tanggungjawab yang dimaksudkan ialah:
Pertama, hak dan tanggungjawab untuk saling saying menyayangi antara satu sama lain. Sesebuah rumah tangga hendaklah didasari oleh perasaan kasih dan sayang bersesuaian dengan hikmah perkahwinan. Menurut Imam al-Ghazali, suami isteri hendaklah memperelokkan akhlak dan hubungan bersama dalam kehidupan berumah tangga. Sifat kasih sayang akan melahirkan keharmonian dalam rumah tangga.
Hubungan antara ibu bapa dan anak serta suami dan isteri disatukan dalam hubungan cinta yang istimewa iaitu sifat rahim. Cinta dan kasih sayang dalam rumah tangga termasuk menunaikan hak anggota keluarga, menahan marah dan memaafkan kesalahan orang lain. Suami dan isteri hendaklah menghormati hubungan persemendaan yang melibatkan hubungan keluarga yang besar di kedua-dua belah pihak. Hak untuk hidup bersama dalam keluarga saling hormat-menghormati dari segi kedudukan, perasaan, fikiran, peranan dan pergaulan. Justeru itu, pasca pandemik ini adalah masa yang berkualiti untuk menganjurkan pelbagai aktiviti dan program yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan bersama. Peluang mengajar anak di rumah semasa sesi pembelajaran dalam talian, solat berjemaah, membaca al-Quran, beriadah dan makan berjemaah sepatutnya menjadi aktiviti yang menyeronokkan dalam keluarga. Suami isteri hendaklah menukarkan tekanan berkurung di rumah kepada ruang untuk membina hubungan dan keceriaan bersama.
Kedua, hak mendapat kepercayaan dan menjaga maruah rumah tangga. Rumah tangga yang bahagia berlaku apabila suami dan isteri saling percaya antara satu sama lain. Kedua-duanya saling menghormati dan berbaik sangka dalam urusan kehidupan. Tidak berlaku dalam kalangan mereka tuduhan membuta tuli sehingga menyebabkan pertengkaran dan akhirnya membawa kepada perceraian akibat cemburu yang keterlaluan. Rasa percaya akan membuahkan kejujuran dan kesetiaan dalam keluarga. Kepercayaan juga wujud apabila suami isteri mempunyai sifat amanah. Cemburu yang didasari keraguan dan diikuti kata-kata kesat terhadap pasangan suami isteri ditegah oleh Rasulullah SAW.
Sifat cemburu yang dibenarkan oleh Islam ialah cemburu yang didasari dengan keraguan tetapi masih mampu mengawal perasaan dan berusaha mendapatkan maklumat yang sebenar sebelum melakukan sebarang tindakan. Cemburu yang boleh meningkatkan motivasi diri dan keimanan adalah dibenarkan. Cemburu berasaskan iman juga akan membawa kepada kebahagiaan rumah tangga berbanding nafsu. Selain itu, menjaga maruah atau rahsia rumah tangga juga menjadi tanggungjawab bersama antara suami dan isteri. Islam melarang suami atau isteri membicarakan berkaitan hubungan seksual antara mereka kepada orang lain. Perkara ini merupakan amanah yang perlu dipelihara terutamanya bagi pihak isteri. Hal ini juga termasuk dalam adab Islam untuk mengekalkan ikatan perkahwinan, menutup fitnah dan menghindari keburukan yang besar.
Ketiga, hak menjaga dan mendidik anak-anak. Setiap pasangan yang berkahwin berharap agar dikurniakan cahaya mata sebagai penyambung zuriat dan pengikat kasih antara mereka. Malah, salah satu daripada fungsi perkahwinan ialah untuk melahirkan generasi yang soleh. Kelahiran anak dalam keluarga tidak harus dipersia-siakan. Pendidikan anak-anak menurut Mohd Hamid dan Khaulah (1994) termasuklah pendidikan dari aspek jasmani, rohani, agama, akhlak, masyarakat dan akal. Lantaran itu, Islam mewajibkan ibu bapa memberi nafkah dan mendidik anak-anak supaya taat kepada perintah Allah SWT dan berakhlak mulia. Menurut al- Buty, pendidikan utama anak-anak sebenarnya bermula dari rumah. Al-Qardawi juga menegaskan bahawa pekerjaan yang lebih utama bagi wanita adalah mendidik generasi. Wanita bertanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak bermula dari alam rahim sehinggalah mereka dilahirkan ke dunia. Isteri perlu mendidik anak-anak dengan ilmu agama yang mantap dan melaksanakan segala kewajipan yang dituntut Islam. Oleh kerana itu, Allah SWT telah memperlengkapkan wanita dengan persiapan fizikal dan spiritual bagi menggalas tugas tersebut. Maka, tidak wajar bagi wanita menyibukkan diri dengan urusan pekerjaan dan mencari harta sehingga mengabaikan tanggungjawab utama dalam pendidikan anak.
Walaupun kelihatan secara teorinya tanggungjawab menjaga dan mendidik anak diletakkan sepenuhnya kepada ibu, namun Rasulullah SAW menggalakkan tugasan ini dilaksanakan secara bersama. Tanggungjawab mendidik anak bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan seorang diri. Ketika pandemik ini anak-anak mempunyai banyak masa di rumah berbanding sebelum ini anak-anak akan berada di pusat-pusat pendidikan.
Suami isteri juga berdepan dengan penggunaan gajet ketika pandemik ini oleh anak-anak mereka. Ia memberi ruang kepada suami isteri menerangkan tujuan gajet yang sebenar bagi memenuhi tuntutan pembelajaran dalam talian bukan sekadar bermain permainan dalam talian atau menonton video sahaja. Masyarakat remaja dan anak-anak perlu dilenturkan akhlak dan hati nurani mereka agar tidak semakin rosak jiwanya. Rasulullah SAW bersabda daripada Abdullah Amr bin al-‘Ash yang bermaksudnya,
“Sesungguhnya anakmu mempunyai hak terhadap dirimu.” (Muslim, 1996: 7-9: 1159).
Sejarah menunjukkan bahawa Rasulullah SAW kasih kepada anak-anak baginda dan turut sama mendidik mereka dengan akhlak yang mulia. Rasulullah SAW bersabda daripada Umar bin Abi Salamah yang bermaksud,
“Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah apa yang dekat darimu.”(al-Bukhari, 1997: 9: 5376).
Oleh itu, suami isteri perlu menggalas tugas berat ini secara bersama. Suami isteri wajar mendidik anak dengan berkesan bagi mengembangkan potensi diri mereka. Kehadiran suami membantu pendidikan psikologi anak terutamanya anak lelaki. Ketegasan suami sebagai bapa dapat mengurangkan masalah keruntuhan akhlak anak remaja melalui pemerhatian dan pemantauan yang berterusan. Persepsi buruk terhadap bapa yang sibuk bekerja sehingga mengabaikan hak keluarga dan pendidikan anak dapat dielakkan sama sekali. Oleh itu, suami isteri mestilah meluangkan masa yang khusus untuk bersama keluarga, memantau perkembangan anak dan mencurahkan kasih sayang.
Tanggungjawab Bersama
Hakikatnya, tugasan dalam mendidik generasi yang soleh tidak boleh berjaya sekiranya dilakukan secara berseorangan oleh wanita. Tambahan pula, ramai wanita yang terlibat dalam dunia pekerjaan dan menyebabkan sebahagian besar masa dihabiskan untuk memikirkan urusan kerja. Fenomena ini boleh merencatkan perkembangan anak yang sihat jika tidak mempunyai gandingan yang mantap antara keduanya.
Akhirnya, suami isteri diseru agar terus menjalankan hak dan tanggungjawab secara bersama tanpa saling menyalahkan antara satu sama lain apabila terdapat masalah dan kekurangan yang berlaku. Duduklah bersama dan bermuhasabah tentang tanggungajwab yang perlu dijalankan. Rumah tangga yang penuh mawaddah dan rahmah adalah impian semua. Banyakkan berdoa agar diberikan rumah tangga yang bahagia di dunia dan akhirat.
-- BERNAMA
Dr Naemah Hamzah merupakan Penolong Pengarah, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia