NOTA KAMPUS

MENGUKUHKAN GENERASI STRAWBERI: DARI RAPUH KEPADA RESILIEN

24/11/2025 10:34 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Dr Mohammad Noor Jalil

Istilah "Generasi Strawberi" semakin kerap kedengaran dalam wacana masyarakat kita hari ini. Ia merujuk kepada generasi muda, terutamanya Generasi Z (lahir antara 1997-2012), yang digambarkan bagai buah strawberi yang menarik pada luaran, tetapi lembut dan mudah terjejas pada dalamannya.

Ia muncul sebagai label masyarakat dan kritikan budaya pada awal tahun 2000-an, terutamanya di Taiwan. Sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam pembangunan pelajar, saya melihat perlunya kita memahami konteks ini secara lebih mendalam, bukan hanya sekadar melebel.

Memahami Akar Umbi

Kewujudan setiap generasi manusia tidak terlepas daripada pengaruh sosioekonomi dan didikan.

Bagi Generasi Z, mereka membesar dalam era yang relatif aman dan makmur, bebas daripada ancaman survival asas seperti peperangan atau kemelesetan ekonomi besar.

Justeru, fokus hidup mereka beralih kepada pencapaian kualiti hidup yang lebih baik, termasuk penekanan terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi. Terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada kerapuhan generasi yang dirasai pada hari ini.

Faktor pertama dikenali sebagai Pengaruh ‘Helicopter Parenting’. Iaitu satu gaya keibubapaan yang terlampau melindungi, mengawal setiap gerak-geri anak, dan tidak memberi ruang untuk mereka membuat kesilapan dan belajar daripadanya.

Akibatnya, remaja ini membesar dengan kurang keyakinan diri, tinggi tahap kerisauan, dan sukar untuk berdikari. Faktor kedua ialah pengaruh Dunia Digital dan Kesedaran Kesihatan Mental yang tidak tepat.

Walaupun kesedaran terhadap isu kesihatan mental adalah satu perkembangan positif, akses tanpa tapisan ke internet mendorong sesetengah anak muda kepada ‘diagnosis kendiri’ tanpa pengesahan pakar.

Perbuatan ini bukan sahaja meningkatkan tekanan maladaptif, malah ada yang menjadikannya sebagai justifikasi untuk mengelak tanggungjawab.

Persoalan di sini ialah bagaimana kita, ibubapa dan masyarakat menggalakkan Mutasi Positif terarah kepada yang lebih baik? Istilah "mutasi" di sini bukanlah sesuatu yang negatif.

Ia adalah proses transformasi ke arah keteguhan dan ketahanan. Generasi inilah yang bakal memimpin negara dan membentuk generasi seterusnya. Justeru, komitmen kolektif diperlukan untuk membimbing mereka. Terdapat tiga pendekatan yang boleh diambil sebagai langkah proaktif ke arah transformasi yang di inginkan.

Pendekatan Proaktif

Pertama: Peralihan daripada Kawalan kepada Bimbingan

Ibu bapa dan pendidik perlu beralih daripada corak ‘helicopter’ kepada ‘pemandu co-pilot’. Beri ruang kepada anak muda untuk mencuba, membuat keputusan, dan menghadapi akibat semula jadinya.

Peranan kita adalah membimbing mereka melalui proses ini, menyediakan sokongan moral, dan membantu mereka merumus penyelesaian, bukannya menyediakan semua jawapan.

Kedua: Pendedahan kepada ‘Pengalaman Hidup Sebenar’

Pengalaman adalah guru terbaik. Galakkan dan wujudkan lebih banyak peluang untuk golongan muda terlibat dalam program praktikal seperti latihan industri, kerja sambilan, atau aktiviti sukarelawan.

Pengalaman sebegini mengasah kemahiran insaniah, mengajar mereka erti tanggungjawab, dan membina ketahanan melalui interaksi dunia sebenar.

Ketiga: Mendidik, Bukan Mendiagnos

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi pendidikan kesihatan mental yang tepat. Kempen kesedaran harus menekankan bahaya diagnosis kendiri dan menggalakkan akses kepada khidmat kaunseling dan pakar yang sah. Institusi pendidikan memainkan peranan kritikal dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling yang mudah, mesra, dan bebas stigma.

Sebagai kesimpulan, usaha membina ketahanan bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak boleh dilakukan hanya dengan meningkatkan bebelan. Namun ianya lebih dari itu.

Adalah tidak adil untuk menyamaratakan semua anak muda sebagai "strawberi". Ramai dalam kalangan mereka yang gigih, berdaya tahan, dan penuh dengan potensi untuk dicungkil.

Sejarah pernah membuktikan bahawa pemuda mampu menggoncang dunia, seperti Sultan Muhammad Al-Fateh yang membebaskan Konstantinopel pada usia 21 tahun.

Cabaran kita hari ini ialah untuk semua pihak bekerjasama iaitu ibu bapa, pendidik, dan masyarakat dalam usaha memupuk persekitaran yang membina ketahanan minda dan watak.

Marilah kita beralih daripada naratif yang melemahkan kepada pendekatan yang memperkasa, membimbing Generasi Strawberi untuk bermutasi menjadi generasi yang bukan sahaja cantik pada luaran, tetapi juga teguh, berdaya saing, dan berdaya tahan pada dalamannya.

Masa depan negara bergantung pada transformasi ini.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Mohammad Noor Jalil ialah Pengarah Pembangunan Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar UiTM Shah Alam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)