TINTA MINDA

RAMADAN DIKENDONG, PERPADUAN DIJUNJUNG

05/05/2021 08:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw dan Abdul Hamid Moiden

Ramadan bulan yang mulia. Ramadan bulan penuh rahmat. Jika kita menilai kemuliaan dan rahmat bulan Ramadan hanya untuk umat Islam sahaja, kita silap. Kedatangan Ramadan membawa seribu satu rahmat yang tersirat untuk rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Pandemik COVID-19

Di Malaysia 1 Ramadan disambut pada 13 April 2021, iaitu pada hari Selasa. Ini adalah pengalaman kedua umat Islam menyambut Ramadan dalam situasi penjarakan sosial. Pada tahun ini juga sembahyang terawih secara berjemaah dan pembukaan bazar-bazar Ramadan dibenarkan dengan penetapan beberapa peraturan kawalan COVID-19. Pada musim pandemik COVID-19 ini, tidak ramai peniaga yang berniaga di bazar Ramadan. Namun, masyarakat masih lagi menyokong peniaga-peniaga kecil yang berniaga di bazar Ramadan. Mungkin mereka ingin mempertahankan tradisi membeli aneka juadah berbuka puasa di bazar Ramadan sekali gus kemeriahan lagi Ramadan.

Bazar Ramadan Memperkukuh Ukhuwah

Bazar Ramadan pada pasti dinantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ia secara tradisinya menghimpunkan beberapa peniaga di suatu kawasan tumpuan orang ramai. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan bazar sebagai sekelompok kedai kecil atau gerai tempat menjual berbagai-bagai-bagai barang.

Peniaga bazar Ramadan menjual aneka jenis juadah, pakaian serta beberapa barangan lain. Namun, kebanyakan gerai di bazar Ramadan menjual makanan. Keunikan bazar Ramadan di negara kita adalah ia bukan sekadar menjadi tumpuan umat Islam yang ingin membeli juadah untuk berbuka berpuasa tetapi turut menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat yang bukan beragama Islam membeli pelbagai jenis makanan. Sebagai contohnya, cikgu Tan jiran saya berbangsa Cina hampir setiap hari pada bulan Ramadan mengunjungi bazar Ramadan. Beliau gemar membeli pelbagai jenis lauk-pauk dan kuih-muih. Beliau dengan ikhlas memuji kesungguhan kaum Melayu berniaga pada bulan puasa. Selain menawarkan banyak pilihan makanan, harga makanan pula sangat berpatutan.

Cikgu Tan kerap memberikan saya juadah berbuka puasa. Jangan lupa doakan saya sewaktu berbuka puasa. Doa orang berpuasa pasti dimakbulkan Allah. Begitulah permintaannya kepada saya sambil menghulurkan bungkusan kuih petang semalam. Saya terkejut. Cikgu Tan seorang lelaki berbangsa Cina yang sangat kental jiwa setia kawan. Beliau sedar kemuliaan bulan Ramadan. Hampir 15 tahun kami berjiran. Kami akrab.

Tiada pagar rasis dalam jiwa kami. Kami bangunkan sempadan kemajmukan dalam hati dan pemikiran kami. Bicara kami acap kali bicara majmuk. Kami meraikan keserasian dalam kepelbagaian adat, budaya dan resam pelbagai kaum di negara ini. Kami berusaha agar tingkah laku dan tutur kata menjadikan simbolik bangsa Malaysia yang disatukan dengan jiwa majmuk. Cikgu Tan adalah simbolik jutaan rakyat Malaysia yang menghormati agama dan adat resam agama lain. Mereka sedar agama menyatupadukan kita. Bukan memecahbelahkan dan membentuk persempadanan ras dan etnik serta jiwa kita.

Majlis Berbuka Puasa

Setiap kali Ramadan menjelang, banyak majlis buka puasa dianjurkan oleh individu, jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Majlis-majlis ini diadakan di banyak tempat seperti di rumah, di premis perniagaan dan di hotel. Matlamat utama penganjuran majlis buka puasa ini adalah untuk meraikan Ramadan. Majlis-majlis ini bukan sekadar memuliakan golongan yang berpuasa, sebaliknya meraikan semua kakitangan untuk berkongsi kemeriahan Ramadan.

Majlis- majlis sebegini pastinya mengeratkan silaturahim serta memperkukuh ikatan kasih sayang sesama rakan sekerja. Hampir setiap tahun saya menerima undangan untuk majlis berbuka puasa. Selain majlis berbuka puasa rasmi yang dianjurkan oleh majikan saya, saya juga sering kali menerima undangan untuk berbuka puasa bersama rakan-rakan dan jiran-jiran saya. Saya berusaha sedaya upaya untuk memenuhi setiap undangan. Saya suka berkongsi kemeriahan berbuka puasa bersama rakan-rakan yang beragama Islam. Kini saya semakin jelas tentang konsep berpuasa dalam Islam, pantang larang ketika berpuasa dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Pemahaman ini merupakan input yang sangat bermanfaat untuk saya memahami spiritual rakan-rakan yang berpuasa.

Ucapan Selamat Menyambut Ramadan

Beberapa hari sebelum Ramadan, kita sering kali menerima pelbagai ucapan menyambut Ramadan. Hampir setiap hari kita menerima ucapan. Ada yang ucapan dalam bentuk karikatur dan video animasi. Ucapan-ucapan ini mengeratkan ukhuwah. Setiap kali menerima ucapan, ingatan kita tertumpu kepada pengirim yang menghantar ucapan. Sekurang-kurangnya muka mereka terbayang dalam potret minda kita. Ada kalanya kenangan indah bersama mereka bermain di fikiran. Kadang-kadang kita juga menerima ucapan daripada teman yang sudah lama tidak kita berhubung. Simpulan kasih sayang dan persahabatan diikat ketat. Asbabnya, Ramadan.

Ada ketika kita menerima ucapan maaf daripada teman yang telah lama terputus hubungan dan membalas ucapan teman juga dengan permohonan maaf. Ikatan persahabatan yang terputus terjalin semula. Ramadan mengikat hati kita.

Ramadan sangat unik sifatnya. Ramadan bulan yang penuh berakah. Bulan ini mengeratkan silaturahim dan memperkukuh perpaduan. Pandemik COVID-19, tidak berjaya melemahkan roh Ramadan. Umat Islam di Malaysia menyambut Ramadan dengan penjarakan sosial dan pematuhan SOP yang ditetapkan pihak kerajaan. Ramadan adalah bulan ukhuwah.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Abdul Hamid Moiden ialah pelajar Doktor Falsafah (Pendidikan) di Pusat Bahasa, UPNM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)